Data Kapal Selam Scorpene Bocor: Malaysia Tidak Terjejas, Panglima TLDM

Muzliza Mustafa
2016.08.24
Kuala Lumpur
160824-my-scorpene620.jpg Tentera Laut India mengeluarkan gambar kapal selam Scorpene kelas submarine 'Kalivari' yang mengambil bahagian dalam ujian laut sulungnya di luar pantai Mumbai, India, 1 Mei 2016.
[Tentera Laut India/AFP]

Malaysia berkata bahawa ia tidak terjejas dengan  kebocoran data rahsia syarikat kontraktor pertahanan Perancis, DCNS yang melibatkan kapal selam buatan syarikat berkenaan, yang turut dimiliki oleh Tentera Laut DiRaja Malaysia (TLDM), kata Panglimanya Ahmad Kamarulzaman Ahmad Badaruddin yang memberikan jaminan itu kepada BeritaBenar pada Rabu.

Beliau berkata, keupayaan dua kapal selam milik Malaysia dari model yang sama mempunyai ciri yang berlainan serta unik dan tidak sama seperti kapal selam dari negara Chile dan India.

Malaysia mempunyai dua kapal selam jenis Scorpene iaitu KD Tunku Abdul Rahman dan KD Tun Abdul Razak yang dibina oleh pembina kapal Direction des Constructions et Armes Navales(DCNS) dengan usahasama syarikat Sepanyol, Navantia sejak tahun 2010.

Selain Malaysia, kapal selam Scorpene itu turut digunakan serta dipesan oleh India, Chile, Brazil, Poland dan Australia.

"Saya melihat tiada apa yang perlu dibimbangkan mengenai dakwaan kebocoran maklumat seperti yang dilaporkan media antarabangsa kerana tiada sebarang maklumat kebocoran yang melibatkan TLDM," kata Ahmad Kamarulzaman ketika dihubungi BeritaBenar di Kuala Lumpur.

Media Australia melaporkan, sebuah dokumen setebal 22,400 halaman muka surat telah mendedahkan secara terperinci kemampuan tempur kapal selam DCNS kelas Scorpene yang direka bentuk untuk keperluan tentera laut India, dan pelbagai model yang digunakan Malaysia dan Chile.

Akhbar The Australian dalam laporannya mendakwa dokumen yang bocor itu dikenali sebagai Restricted Scorpene India, yang mendedahkan kemampuan tempur kapal selam baru milik India selain turut melaporkan mengenai ribuan halaman tentang sensor kapal selam dan juga ribuan halaman lagi tentang sistem navigasi dan komunikasi beserta hampir 500 muka surat memperincikan sistem pelancaran torpedo.

'Siasat kebocoran’


Beliau menambah yang paling penting pada masa ini adalah menyiasat mengenai kebocoran yang didakwa berlaku.

"Siasatan berlakunya kebocoran itu perlu dibuat dan disahkan terlebih dahulu, seperti maklumat jenis apa yang dimaksudkan serta tahap darjah keselamatan yang dipersoalkan," tambah beliau.

Ahmad Kamarulzaman berkata, walaupun isu tersebut tidak jelas melibatkan kapal selam Malaysia, ia bukannya sesuatu yang boleh dipandang rendah kerana membabitkan keselamatan negara.

“Kita tidak boleh leka atau ambil mudah tentang isu ini. Kita perlu tegas dan tidak boleh berkompromi dalam hal-hal yang melibatkan keselamatan negara," tambahnya lagi.

Menteri Pertahanan India, Manohar Parrikar sementara itu telah mengarahkan satu siasatan berhubung laporan akhbar berkenaan dengan menyifatkan dokumen tersebut mungkin digodam.

Manakala Perdana Menteri Australia, Malcolm Turnbull berkata, Canberra membeli Scorpene model yang berbeza daripada yang dinyatakan dalam dokumen yang bocor itu.

“Kapal selam yang sedang kita bangunkan bersama Perancis dipanggil Barracuda, jelas sekali berbeza dengan Scorpene yang dihasilkan DCNS untuk India.

“Kami mempunyai perlin­dungan keselamatan tertinggi daripada semua maklumat pertahanan kita, sama ada ia melibatkan usahasama dengan negara lain atau Australia sepenuhnya,” kata Turnbull seperti dilaporkan oleh Agence France-Presse [AFP] pada Rabu.

Sementara itu Ahmad Kamarulzaman berkata, isu yang melibatkan maklumat khas mengenai aset strategik negara sentiasa dikawal rapi dengan langkah pencegahan yang mantap dan tidak boleh dikompromi.

“Anggota TLDM, sentiasa diingatkan mengenai keselamatan maklumat bagi mengelakkan sebarang kebocoran dan mereka yang membocorkan infomasi dianggap sebagai pengkhianat negara,” tambah Panglima TLDM itu.

Kapal selam penuh kontroversi


Agensi Berita Nasional Malaysia (Bernama) melaporkan bahawa kapal selam pertama negara, KD Tunku Abdul Rahman ditempatkan
di TLDM di Teluk Sepangar sejak 17 September 2009 manakala KD Tun Razak yang tiba di Pangkalan TLDM di Lumut, Perak pada 2 Julai 2010 ditempatkan di pangkalan TLDM Teluk Sepanggar, Sabah pada 15 Julai 2010.

Kedua-dua buah kapal selam milik negara itu dilengkapi dengan aset persenjataan torpedo dan peluru berpandu jarak jauh anti kapal permukaan yang boleh ditembak dari bawah permukaan air.

Pembelian kedua-dua kapal selam itu telah mencetuskan kontroversi di Malaysia apabila Perdana Menteri Najib Razak telah dikritik berhubung skandal yang timbul daripada pembunuhan berprofil tinggi seorang model Mongolia sembilan tahun lalu, yang menjadi  perantara dalam urusan pembelian kapal selam Scorpene di Perancis, menurut laporan.

Selain itu, apabila kedua-dua kapal selam itu dibawa balik ke Malaysia, dari Perancis, terdapat pelbagai tuduhan dan kritikan bahawa kedua-dua kapal berkenaan tidak mampu untuk menyelam.

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.