Ahli Parlimen, Peguam dan Kartunis Cabar Akta Hasutan Di Mahkamah

Hata Wahari
2015.11.06
151106-MY-KARTUNIS620 Kartunis politik Zulkiflee Anwar Ulhaque atau lebih dikenali sebagai Zunar, 52 semasa ditemubual oleh Agence France Presse (AFP) di pejabat beliau di Kuala Lumpur. 13 April 2015.
AFP

Dua peguam dan kartunis politik Malaysia yang menghadapi tuduhan di bawah Akta Hasutan 1948 pada Jumaat memfailkan permohonan untuk mencabar pertuduhan tersebut di Mahakamah Sesyen Kuala Lumpur.

Kedua peguam itu ialah N. Surendran yang juga Ahli Parlimen Padang Serai dan Eric Paulsen serta kartunis Zulkiflee Anwar Ulhaque atau lebih dikenali sebagai Zunar.

Permohonan itu dikemukakan oleh peguam Latheefa Koya yang mewakili ketiga-tiga mereka di hadapan Hakim Mahkamah Sesyen, Amernudin Ahmad.

Amernudin kemudiannya menetapkan 2, 4 dan 8 Disember depan untuk mendengar permohonan dari Eric, Surendran dan Zunar.

Latheefa berkata, permohonan itu dikemukakan bagi mencabar kesemua pertuduhan terhadap mereka berdasarkan Perlembagaan Malaysia.

“Permohonan ini dibuat bagi mendapatkan perbicaraan yang adil, serta mengikut Perlembagaan Persekutuan dibawah beberapa peruntukan berkaitan dengan Perkara 5, 8 dan 10,” katanya.

Beliau berkata, sekiranya Hakim Mahkamah Sesyen menetapkan ia boleh mendengar permohonan berkaitan Perlembagaan Persekutuan maka ia akan didengar di Mahkamah Sesyen, tetapi sekiranya Hakim memutuskan tidak boleh, perkara itu akan dirujuk ke Mahkamah Tinggi.

Surendran didakwa pada 28 Ogos tahun lepas, oleh kerana perkataan yang diucapkan beliau terhadap keputusan Mahkamah Rayuan yang telah menjatuhkan hukuman penjara ke atas Ketua Pembangkang, Anwar Ibrahim. Beliau adalah peguam Anwar.

Eric pula didakwa pada 5 Februari lepas kerana menuduh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) terlibat dalam kegiatan menggalakkan ekstremisme.

Manakala Zunar, didakwa atas sembilan tuduhan hasutan juga pada Februari lepas, kerana menghina badan kehakiman Mahkamah Persekutuan yang menjatuhkan hukuman penjara 5 tahun ke atas Anwar atas kesalahan meliwat bekas pembantunya, Mohd Saiful Bukhari Azlan pada 2008.

Jika sabit kesalahan beliau boleh dikenakan hukuman penjara selama 43 tahun.

“Saya mempunyai keyakinan tinggi dapat dibebaskan dari segala pertuduhan memandangkan ia mempunyai merit yang tinggi di sisi undang-undang,” kata Zunar kepada BeritaBenar semasa ditemui di Kuala Lumpur.

Sementara itu, Gabungan Pilihanraya Bersih dan Adil (BERSIH 2.0) menggesa semua pertuduhan dan pendakwaan bermotifkan politik terhadap pemimpin parti pembangkang dan aktivis masyarakat, dihenti dan digugurkan.

Kenyataan tersebut dikeluarkan oleh BERSIH 2.0 memandangkan strategi ‘pukat tunda’ yang digunakan oleh pihak pemerintah yang cuba mengekang kemaraan golongan yang membangkang serta peningkatan kegiatan yang menakut-nakutkan orang ramai.

“Ini dilakukan setelah berkali-kali Perdana Menteri Najib Razak berjanji untuk memansuhkan Akta tersebut dan memungkirinya. Pendakwaan yang dilakukan pihak pemerintah adalah langkah untuk menjenayahkan pembantahan (politik), dan terus disalahgunakan tanpa sebarang bantahan daripada Perdana Menteri,” kata kenyataan itu.

Tambah kenyataan itu, proses pendakwaan bermotifkan politik terhadap aktivis dan ahli politik pembangkang semakin berleluasa sejak akhir-akhir ini di Malaysia.

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.