Follow us

Datuk Bersama Dua Lagi Dibebaskan Atas Tuduhan Membunuh Bill Kayong

Labid Balang
Kuching, Sarawak
2017-06-06
E-mel
Komen
Share
Tiga suspek yang dipercayai bersubahat membunuh seorang aktivis hak tanah asal, tiba di perkarangan Mahkamah Miri, Sarawak, 6 Jun 2017.
Tiga suspek yang dipercayai bersubahat membunuh seorang aktivis hak tanah asal, tiba di perkarangan Mahkamah Miri, Sarawak, 6 Jun 2017.
[Labid Balang/BeritaBenar]

Mahkamah Tinggi Miri pada Selasa telah membebaskan dan melepaskan seorang ahli perniagaan berpangkat Datuk bersama dua lagi lelaki atas tuduhan bersubahat membunuh seorang aktivis hak tanah yang berkempen untuk masyarakat pribumi di Sarawak selepas hakim mendapati kekurangan bukti.

Stephen Lee Chee Kiang, seorang ahli perniagaan berpangkat Datuk, berusia 46 tahun bersama pembantu peribadinya Chin Wui Ching, 51 dan pemilik sebuah pub, Lie Chang Loon, 38 telah dituduh terlibat dan bersubahat bersama Mohamad Fitri Fauzi, seorang ‘bouncer’  untuk membunuh Bill Kayong, juga Setiausaha Parti Keadilan Rakyat [PKR] Miri pada 21 Jun tahun lepas.

Kesemua mereka didakwa mengikut Seksyen 109 Kanun Keseksaan yang dibaca bersama Seskyen 320 kanun sama yang membawa hukuman mati mandatori jika sabit kesalahan.

Stephen Lee, Chin  dan Lie dibebaskan dan dilepaskan oleh mahkamah tanpa memanggil mereka untuk membela diri manakala Mohamad Fitri ,yang didakwa melepaskan tembakan terhadap Kayong, telah diarahkan oleh mahkamah untuk membela diri.

Hakim Ravinthran N. Paramaguru berkata terdapat bukti yang boleh dipercayai terhadap Mohamad Fitri tetapi pihak pendakwaan gagal untuk menghubungkan ketiga-tiga lelaki berkenaan dengan pembunuhan itu

“Tidak ada bukti yang mengaitkan ketiga-tiga mereka dengan kes pembunuhan itu. Satu-satunya kaitan dengan kes pembunuhan itu adalah bahawa Stepen Lee telah ditahan di Kuala Lumpur pada Disember lepas, dan sebelum itu didakwa terlibat dalam pertikaian tanah.

"Begitu juga, tidak terdapat bukti untuk mengaitkan Chin dan Lie dengan kes pembunuhan itu kecuali mereka dikehendaki memberi spesimen sampel DNA bagi laporan kimia, yang juga tidak memberi sebarang bukti untuk kes berkenaan. Oleh itu saya perlu membebaskan dan melepaskan ketiga-tiganya tanpa dipanggil membela diri, "katanya memberitahu mahkamah yang penuh sesak.

Hakim itu kemudiannya menetapkan tiga hari bermula 14 Jun ini untuk prosiding bela diri bagi Mohd Fitri.

Kayong, 43, seorang aktivis hak tanah dari suku kaum Dayak Sarawak, yang berkempen bagi pihak masyarakat pribumi di negeri yang masih membangun dan kaya dengan balak, ditembak mati di satu persimpangan di bandar Miri sekitar 8:20 pagi semasa memandu ke arah tempat kerjanya pada hari tersebut.

Sarawak, negeri yang kaya dengan sumber semula jadi telah lama menjadi medan pertempuran advokasi hak pemuliharaan dan tanah alam sekitar bagi suku kaum asal tempatan. Enam belas tahun lalu, Bruno Manser, seorang aktivis alam sekitar Swiss yang telah berkempen untuk hak-hak orang asal di negeri itu telah dilaporkan hilang dan dianggap telah meninggal dunia.

Ahli keluarga dan aktivis hak asasi meluahkan kemarahan mereka di luar mahkamah selepas keputusan yang dibuat oleh Hakim berkenaan untuk membebaskan ketiga-tiga tertuduh daripada semua pertuduhan.

Orang ramai kelihatan marah dengan keputusan itu sambil mendakwa bahawa Stephen Lee dan keluarganya mempunyai hubungan politik yang baik dengan beberapa parti pemerintah tempatan yang mewakili Barisan Nasional.

"Adalah jelas bahawa dia (Kayong) telah dibunuh kerana mempertahankan tanah orang asal tetapi pihak pendakwaan gagal meletakkan kes yang munasabah terhadap dalang (Stephen)," kata Ketua PKR Sarawak Baru Bian memberitahu BeritaBenar.

Baru turut mempersoalkan kecekapan pendakwaraya semasa mengendalikan kes jenayah utama.

"Adakah pihak pendakwaan telah benar-benar cuba untuk membina kes yang kukuh? Satu perkara yang boleh dirasakan ialah kekecewaan hakim yang terpaksa berdepan dengan pasukan pendakwaan yang tidak cekap,

"Pada akhirnya, ia kelihatan seperti yang kaya tidak bertanggungjawab terhadap tindakan mereka dan boleh berkelakuan seperti samseng tanpa mendapat sebarang akibat atau kesan selain kesulitan berada di dalam lokap polis selama beberapa bulan," tambah Baru.

Stephen Oil Palm Plantation iaitu syarikat yang terlibat dalam pertikaian pemilikan tanah dengan hak pemilik tanah adat orang asal di Sungai Bekelit, menurut seorang lelaki dari suku kaum orang asal yang enggan namanya disiarkan.

"Terdapat begitu banyak contoh di mana samseng tempatan telah digunakan untuk mengganggu dan menakut-nakutkan orang asal di rumah panjang dalam menyelesaikan pertikaian tanah," dakwa beliau.

Stephen Lee telah melarikan diri ke Australia dua hari selepas kejadian tembakan itu tetapi berpindah ke China untuk mengelakkan daripada ditangkap. Beliau telah ditangkap pada 12 Disember lalu,  di wilayah Fujian sebagai pelarian antarabangsa dengan para pegawai China menghantarnya pulang dan menyerahkannya kepada pihak berkuasa Malaysia.


Lihat Laman Penuh