Malaysia Tidak Iktiraf Status Pelarian, Anggap Sebagai Pendatang, kata Menteri

Hadi Azmi & Nisha David
2020.04.30
Kuala Lumpur, Malaysia
200430-MY-KDN-Rohingya1000.jpg Pelarian Rohingya yang diselamatkan oleh pihak berkuasa Bangladesh menunggu untuk dibawa dengan trak ke kem pelarian di luar Pusat Transit Bangladesh-Myanmar di Teknaf, daerah Cox’s Bazar, Bangladesh, 16 April 2020.
[Abdur Rahman/BeritaBenar]

Malaysia tidak mengiktiraf status pelarian dan mengklasifikasikan mereka sebagai pendatang tanpa izin yang memegang kad UNHCR, kata Menteri Dalam Negeri pada Kahmis semasa mempertahan tindakan kerajaan mengusir sebuah bot penuh dengan Rohingya daripada memasuki perairan negara pada 16 April lepas.

Hamzah Zainudin berkata langkah yang diambil kerajaan mengusir bot pelarian Rohingya kembali ke lautan terbuka adalah berlandaskan undang-undang dalam menjaga kedaulatan sempadan negara daripada diceroboh, dengan tindakan itu dibidas oleh badan hak asasi manusia sebagai bercanggah dengan undang-undang antarabangsa.

“Kerajaan tidak mengiktiraf status pelarian dan mengklasifikasikan mereka sebagai PATI (Pendatang Tanpa Izin) yang memegang kad Persuruhjaya Tinggi Bangsa-Bangsa Bersatu Mengenai Pelarian (UNHCR), dengan kementerian juga ingin menegaskan bahawa Malaysia bukan Negara Pihak kepada Konvensyen Status Pelarian 1951 atau Protokol Status Pelarian 1967, sekaligus tidak mempunyai rangka kerja perundangan atau pentadbiran yang mengawal status dan hak pelarian di negara ini,

“Atas dasar kemanusiaan, kerajaan telah membenarkan PATI yang memegang kad UNHCR untuk tinggal sementara di negara sebelum ditempatkan di negara-negara ketiga oleh UNCHR menerusi dasar 'satu kes ke satu kes', ”  kata Hamzah dalam satu kenyataan media yang pertama kali dikeluarkan oleh menteri sejak insiden pengusiran bot pada 16 April lepas.'

Beliau dengan tegas mempertahankan tindakan itu sambil berkata tindakan tersebut adalah usaha kerajaan memperketatkan sempadan termasuk lorong-lorong tikus adalah bagi menghalang pencerobohan PATI yang selari dengan langkah kerajaan menutup pintu masuk negara kepada warga asing bagi memutuskan rantaian penularan wabak COVID-19.

Pada 16 April lalu, sekumpulan 200 warga Rohingya dalam sebuah bot cuba memasuki perairan Malaysia telah dikesan oleh sebuah pesawat Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) dan dihalang oleh Tentera Luat Diraja Malaysia (TLDM) daripada berbuat demikian dan diarah berpatahbalik.

Panglima Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Jeneral Affendi Buang berkata, bot berkenaan dikesan oleh pesawat C-130H TUDM kira-kira 60 batu nautika di barat Pulau Langkawi sebelum dua buah kapal TLDM dikerahkan ke lokasi untuk mengiringi bot berkenaan keluar daripada perairan negara selepas memberi bantuan makanan.

Baru-baru ini, Pengawal Pantai Bangladesh menyelamatkan 396 Rohingya dari sebuah bot yang berlepas dari Bangladesh ke Malaysia hampir dua bulan lalu selepas mereka gagal memasuki perairan Malaysia seperti di dakwa pelarian di atas bot berkenaan.

Sehingga Mac 2020, terdapat seramai 179,521 pemegang kad UNHCR yang tinggal secara sementara di Malaysia di mana 56.5 peratus atau 101,584 orang adalah daripada etnik Rohingya.

Undang-undang antarabangsa

Dalam pada itu, Fortify Rights, sebuah kumpulan yang memperjuangkan hak asasi manusia dan memantau isu pelarian Rohingya dalam kenyataannya membidas tindakan Malaysia yang menurut kumpulan itu bercanggah dengan undang-undang antarabangsa.

Fortify Rights menyatakan bahawa tindakan "menolak" dan "membantu" tersebut melanggar prinsip ‘non-refoulement’ yang diterima pakai antarabangsa, yang menyatakan bahawa negara-negara tidak boleh menolak atau memintas individu yang berisiko ditindas, di sempadan masing-masing.

“Walaupun Bangladesh ataupun Malaysia tidak meratifikasi Konvensyen Pelarian PBB 1951 atau Protokol 1967, prinsip untuk tidak melakukan ‘refoulement’ adalah sebahagian daripada undang-undang antarabangsa yang lazim dan oleh itu mengikat semua negara.

“Berdasarkan prinsip ini, semua negara mempunyai tanggungjawab melindungi Rohingya agar tidak dikembalikan, termasuk melalui pengembalian yang tidak formal, seperti penarikan balik ke laut,” tambah kumpulan itu.

Ketua Pengarah Eksekutifnya, Matthew Smith turut menggesa pihak berkuasa Bangladesh untuk melancarkan misi mencari dan menyelamat secara serta merta bagi memastikan kapal tersebut serta beberapa kapal lain yang turut dilaporkan masih hanyut di lautan terbuka antara Malaysia dan Bangladesh dapat ditemui.

“Pengusaha bot-bot ini dengan kejam memperlakukan pelarian sebagai harta pakai buang dengan lebih banyak alasan untuk menyelamatkan bot-bot di laut. Bangladesh bertanggungjawab untuk menyiasat dan mendakwa kerana terlibat dalam pemerdagangan manusia,” kata beliau.

Michelle Bachelet, Pesuruhjaya Tinggi Hak Asasi Manusia PBB meminta supaya dibenarkan etnik Rohingya mendarat.

"Dengan semangat solidariti dan bermulanya bulan suci Ramadan, saya sesungguhnya merayu supaya membuka sempadan anda dan benarkanlah kapal-kapal ini mendarat," tulis Bachelet dalam suratnya menurut laporan Agence France-Presse yang memperoleh salinan surat tersebut.

Menurut kenyataan pelarian yang berjaya diselamatkan, ramai diantara mereka yang mati dan dibuang ke laut akibat ketiadaan makanan, dipukul serta kepanasan melampau di dalam perut kapal.

“Ramai yang mati akibat dipukul secara teruk, dan keadaan di bawah dek sangat panas terutama sekali apabila enjin dihidupkan. Ramai yang tidak dapat menahan haba lalu mati,” kata Atifa, 22, dari bandar Maungdaw di wilayah Rakhine, Myanmar.

Beri kerakyatan


Sementara itu, Menteri Luar Malaysia Hishamuddin Hussein dalam satu kenyataan lain yang merujuk kepada kenyataan Hamzah telah menggariskan pendekatan konsisten Malaysia dalam hal berkaitan Rohingya yang mahukan etnik Rohingya pulang ke kampung halaman mereka di Rakhine.

“(Pendirian Malaysia ialah) untuk menyumbang ke arah penciptaan lingkungan yang kondusif di wilayah Rakhine agar etnik Rohingya yang dalam pelarian dapat pulang ke Myanmar secara sukarela, aman dan bermaruah, dan meneruskan kehidupan normal mereka.

“Malaysia percaya bahawa penghantaran pulang ke negara asal mestilah mempunyai jaminan diberikan kewarganegaraan Myanmar bagi etnik Rohingya,” kata beliau dalam satu kenyataan di laman media sosial Facebook rasminya.

Di Bangladesh pula, Menteri Luarnya AK Abdul Momen menegaskan bahawa 396 Rohingya yang diselamatkan pihak berkuasa negara itu di laut pada 15 April lepas berasal dari Myanmar dan berusaha merentasi sempadan melalui laut kerana kawalan perbatasan darat negara itu yang sangat ketat.

"Rohingya berusaha menyeberangi sempadan melalui laut kerana mereka tidak dapat melintasi sempadan darat, kerana kawalan ketat di perbatasan darat," katanya kepada BeritaBenar.

Momen turut menepis dakwaan UNHCR bahawa Rohingya yang diselamatkan pihak berkuasa negara itu adalah dari kem penempatan pelarian di Cox’s Bazar, sebuah daerah di tenggara Bangladesh yang menempatkan lebih 1 juta pelarian etnik Rohingya yang mendapatkan perlindungan di kem-kem pelarian dan penempatan berhampiran sempadan Myanmar.

Minggu lalu, semasa munculnya laporan mengenai sekurang-kurangnya dua kapal pukat tunda yang membawa etnik Rohingya dilihat di Cox’s Bazar, Momen menyatakan bahawa negaranya tidak akan menerima pelarian itu lagi.
Pengawal Pantai Bangladesh, Pegawai Turus (Operasi) Zon Timur Chittagong M Saiful Islam memberitahu BeritaBenar pada Khamis, "Kami meneruskan rondaan di laut. Namun, sehingga kini tidak ada bot pukat yang membawa pelarian Rohingya ditemui."

Jasmine Papri di Dhaka dan Abdur Rahman di Teknaf, Bangladesh turut menyumbang kepada laporan ini.

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.