Inisiatif Keharmonian Kerajaan Dicemari Retorik Perkauman Semasa Kempen Politik

Dapatan Pusat KOMAS, sebuah badan bukan kerajaan itu dibuat semasa tempoh berkempen Pilihan Raya Negeri Melaka November lepas.
Noah Lee & Nisha David
2022.03.21
Kuala Lumpur
Inisiatif Keharmonian Kerajaan Dicemari Retorik Perkauman Semasa Kempen Politik Beberapa orang wanita berbangsa Tionghua sedang membeli sayur daripada seorang wanita Melayu-Islam yang sedang berniaga di Pasar Pagi Kampung Tiong di Kuaala Terengganu, Terengganu, 5 Mac 2021.
[Embong Budi/BenarNews]

Malaysia yang menjalankan pelbagai inisiatif untuk mempromosikan keharmonian di kalangan masyarakat berbilang kaum di negara itu telah dijejaskan oleh penggunaan retorik perkauman secara meluas semasa kempen politik, demikian menurut laporan yang dikeluarkan oleh sebuah badan bukan kerajaan, Pusat KOMAS pada Isnin.

Dokumen bertajuk 'Laporan Mengenai Diskriminasi Perkauman di Malaysia 2021', Pusat KOMAS telah memberikan beberapa contoh insiden termasuk komen yang dibuat oleh pemimpin parti Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu (UMNO) yang mengetuai Kerajaan Persekutuan bahawa bangsa Melayu akan menjadi lemah sekiranya mereka tidak kekal bersatu padu.

"Gabungan parti-parti politik seperti Barisan Nasional (BN) dan Perikatan Nasional (PN) perlu berhenti memainkan isu perkauman dan agama dalam kempen-kempen mereka.

"Ia adalah sesuatu yang ironik apabila mereka menganjurkan penyatuan [antara kaum] di kalangan rakyat Malaysia melalui kempen Keluarga Malaysia serta pelancaran Dasar Perpaduan Negara dan Rangka Tindakan Perpaduan Negara 2021-2030, tetapi pada masa yang sama mereka juga berkempen untuk satu etnik dan agama secara spesifik," kata laporan tersebut.

Pusat KOMAS, sebuah badan bukan kerajaan yang menggalakkan serta meningkatkan perpaduan melalui penggunaan media popular memberitahu hasil dapatannya yang dibuat daripada pemantauan terhadap penggunaan mesej perkauman dan agama oleh parti-parti politik di media sosial semasa tempoh berkempen pada Pilihan Raya Negeri Melaka Novermber tahun lepas.

Berdasarkan analisis badan berkenaan, strategi komunikasi yang digunakan oleh parti-parti politik semasa kempen pilihan raya di Melaka itu berkisar kepada beberapa topik utama, termasuk mesej berkaitan kaum dan agama, selain isu politik dan ekonomi.

Pusat KOMAS menyatakan bahawa parti yang paling banyak didapati menggunakan mesej mengenai bangsa dan agama adalah Barisan Nasional (BN), terutama sekali mengenai polisi kerajaan yang berasaskan kaum.

"Perbandingan bilangan mesej yang berkait kaum dan agama oleh parti-parti politik, BN mencatat bilangan tertinggi mengenai topik bangsa (terutama mengenai polisi berasaskan kaum), dan memperjuangkan naratif mengenai hak serta keistimewaan bumiputera. Mereka juga menganjurkan kepentingan bahasa kebangsaan," kata Pusat KOMAS.

Perikatan Nasional (PN) pula adalah parti yang paling banyak menyebut mengenai isu keagamaan disebabkan slogan kempen mereka 'Islam Menyatukan Ummah' selain memperjuangkan mengenai penutupan kedai judi nombor ekor serta mendesak penukaran jenama arak 'Timah', kata laporan itu.

Parti-parti pembangkang dalam gabungan Pakatan Harapan (PH) pula lebih memfokuskan kempen mereka kepada mempromosikan polisi yang bersifat merangkumi semua tanpa mengira bangsa, agama dan latarbelakang.

Senjata raih sokongan

Menurut Pusat KOMAS, penggunaan isu agama dan perkauman oleh gabungan parti-parti politik terutama sekali dalam memperjuangkan agama dan etnik mereka dilihat sebagai satu senjata penting bagi meraih sokongan pengundi dari sesuatu kaum atau agama yang dikhuatiri boleh memberikan impak kekal terhadap hubungan antara kaum di Melaka.

"Perdebatan dan pertengkaran yang berkait dengan isu agama dan bangsa dilihat telah berleluasa di media sosial disebabkan oleh mesej-mesej sedemikian seperti disampaikan oleh parti-parti politik.

"Walaupun terdapat gabungan parti politik yang cuba meraih sokongan melalui penyampaian mesej penyatuan, tetapi pertikaman lidah di antara parti yang saling tuduh menuduh bahawa parti lawan bersifat perkauman adalah lebih menonjol sehingga menyebabkan mesej penyatuan yang mahu disampaikan menjadi kurang berkesan."

Sekiranya perbuatan serupa diteruskan oleh parti dan ahli politik semasa pilihan raya pada masa hadapan, kata Pusat KOMAS, ia berkemungkinan boleh mencetuskan ketegangan kaum serta menghalang usaha pembinaan negara.

Pusat tersebut meminta supaya semua ahli politik dan parti tidak memainkan isu agama dan kaum, serta meminta pengundi memastikan wakil rakyat yang dipilih lebih bertanggungjawab, menolak mengeksploitasi isu agama dan bangsa demi kepentingan sendiri.

"Sebagai pengundi, kita mempunyai tanggungjawab untuk meneliti setiap calon sebelum mengundi mereka. Kita mesti memilih dengan berhemah dan menolak ahli politik serta parti yang mengeksploitasi isu agama dan kaum demi kepentingan," kata laporan itu lagi.

BenarNews telah menghubungi Kementerian Perpaduan Negara bagi mendapatkan respon terhadap laporan yang dikeluarkan oleh Pusat KOMAS tetapi seorang wakil kementerian memaklumkan yang perkara tersebut akan dirujuk kepada Menterinya, Halimah Mohamed Sadique dan "satu kenyataan akan dikeluarkan sekiranya beliau setuju untuk membuat kenyataan."

BN merupakan satu gabungan parti politik yang diketuai UMNO manakala PN pula adalah gabungan yang diketuai Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU), dan mereka membentuk kerajaan persekutuan hari ini bersama beberapa parti lain.

Namun, kedua-dua gabungan parti politik itu - yang merebut sokongan daripada demografi pengundi yang sama iaitu kumpulan pengundi berbangsa Melayu dan beragama Islam - telah menjadi tidak sehaluan sejak tahun lepas.

Gabungan tersebut telah bertanding menentang sesama sendiri dalam beberapa pilihan raya negeri termasuk Pilihan Raya Negeri Melaka pada tahun lepas dan terbaharu iaitu Pilihan Raya Negeri Johor, 12 Mac lepas.

Semasa Pilihan Raya Negeri Melaka, BN telah mencatat kemenangan besar apabila memenangi 21 daripada 28 kerusi Dewan Undangan Negeri manakala Pilihan Raya Negeri Johor pula menyaksikan gabungan itu sekali lagi mencatatkan kemenangan bergaya apabila menguasai 40 daripada 56 kerusi Dewan Undangan Negeri Johor.

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.