Dua Wanita Tampal Bungkusan Dadah RM8.5 Juta Pada Anggota Badan Ditahan

Radzi Razak
2019.05.13
Kuala Lumpur, Malaysia
190513-MY-KeldaiDadah620.jpg Pemangku Pengarah Jabatan Siasatan Narkotik Bukit Aman Kamarulzaman Mamat menunjukkan gambar di telefon bimbit, bagaimana seorang wanita menampalkan dadah di badannya semasa ditahan dalam serbuan, pada sidang media di Ampang, Selangor, 13 Mei, 2019.
[S.Mahfuz/BeritaBenar]

Pihak berkuasa Malaysia telah menahan dua wanita yang dipercayai menjadi keldai dadah ke Korea Selatan dan menemui 20 bungkusan dadah jenis syabu yang ditampal di anggota badan termasuk di pakaian dalam menggunakan pita pelekat bernilai kira-kira 8.5 juta ringgit.

Pemangku Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman Kamarulzaman Mamat berkata, seorang lelaki yang dipercayai anggota sindiket dan bertindak sebagai pembantu turut ditahan bersama kedua wanita tersebut di sebuah hotel di Pandan Indah, berhampiran Kuala Lumpur, awal pagi Isnin.

“Syabu kira-kira seberat 5.1 kilogram itu ditampal di sekeliling pinggang dengan pita pelekat dan pakaian dalam mahu dibawa oleh kedua-dua wanita berusia 31 dan 26 tahun bersama lelaki berumur 21 tahun itu dengan penerbangan ke Busan, Korea Selatan, awal pagi Selasa,” katanya pada sidang media di IbuPejabat Polis Daerah Ampang Jaya pada Isnin.

Kamarulzaman berkata bekalan dadah yang dirampas itu dianggar bernilai AS$2.04 juta (8.5 juta ringgit) bagi pasaran di Korea Selatan dan untuk kegunaan kira-kira 26,000 penagih.

"Pemeriksaan urin mendapati kesemua mereka yang tidak mengenali antara satu sama lain itu, negatif dadah, dan telah direkrut sindiket dadah menerusi media sosial,” tambah Kamarulzaman sambil memberitahu serbuan pada awal pagi itu dilakukan sepasukan polis JSJN Bukit Aman dengan kerjasama Jabatan Narkotik Polis Kontinjen Selangor susulan risikan selama kira-kira dua bulan.

Beliau juga menambah, siasatan lanjut mendapati, suspek wanita berusia 31 tahun telah menjadi keldai membawa keluar dadah ke negara luar untuk kali keempat.

Kamarulzaman berkata setiap suspek akan mendapat wang pendahuluan sebanyak 1,000 ringgit sebelum berlepas dan 15 ribu ringgit sebaik pulang semula ke tanah air.

“Pihak polis turut merampas sebuah kereta Perodua Myvi, wang tunai 2,000 ringgit serta matawang Korea 550,000 won (1,932 ringgit),” tambah beliau sambil memberitahu, tawaran sejumlah wang yang lumayan membuat generasi muda terjebak sebagai keldai dadah malah ada yang menerima tawaran melalui media sosial.

Katanya, kesemua mereka ditahan reman sehingga 18 Mei ini dan kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

Pemintaan tinggi


“Permintaan dadah yang tinggi di negara luar menyebabkan harganya mahal, itu salah satu sebab sindiket ini sanggup ambil risiko bawa keluar dadah ke luar negara,” katanya.

Februari lalu, Timbalan Pengarah Risikan dan Operasi JSJN Deputi Komisioner Zulkifli Ali berkata, Malaysia merupakan lubuk untuk merekrut keldai dadah bagi sindiket dadah antarabangsa.

Menurut beliau hasil risikan polis, beberapa kes dikesan di negara lain menggunakan khidmat rakyat Malaysia untuk penyeludupan dadah.

"Terdapat dua bentuk keldai dadah di negara ini, yang pertama keldai dadah menyeludup dadah dari Malaysia ke luar negara.

"Yang kedua adalah keldai dadah di luar negara dengan mengambil dadah di negara kedua dan kemudiannya diseludup ke negara ketiga," kata beliau seperti dilaporkan oleh agensi berita nasional Malaysia, Bernama.

Zulkifli berkata, berdasarkan statistik polis, tahun lalu terdapat peningkatan jumlah tangkapan keldai dadah melibatkan rakyat Malaysia.

"Tahun lalu di Hong Kong sahaja, seramai 23 keldai dadah Malaysia ditahan. Ada juga keldai dadah ditahan di Korea dan Australia dan jumlahnya juga tinggi," tambahnya.

Zulkifli berkata, bayaran ditawarkan kepada keldai dadah sekitar 5 ke 10 ribu ringgit setiap perjalanan untuk menyeludup dadah.

"Dan berdasarkan soal siasat ke atas keldai dadah kebanyakannya mereka tahu apa yang mereka bawa dan faktor bayaran lumayan, adalah antara sebab kenapa keldai dadah masih mahu meneruskan pekerjaan mereka itu,” katanya lagi.

Pada Januari lepas, pihak berkuasa Australia telah menahan dua anak kapal syarikat penerbangan berpangkalan di Malaysia kerana membawa dadah yang ditampal di bahagian badan.

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.