Malaysia: Keluarga Anggota IS di Syria Antara 14 Suspek Kumpulan Itu Ditahan

S. Adie Zul
2016.05.23
Kuala Lumpur
160523-my-is-arrests620 Anggota tentera pro-kerajaan Iraq mara ke arah bandar Fallujah sebagai sebahagian daripada serangan untuk menawan kembali bandar itu daripada kumpulan Negara Islam, 23 Mei, 2016.
AFP

Penahanan ahli keluarga seorang lelaki Malaysia yang didakwa memperjuangkan Negara Islam (IS) di Syria baru-baru ini menunjukkan bagaimana kumpulan ekstremis itu giat merekrut ahli-ahli keluarga bagi melaksanakan perjuangannya, kata pakar anti-keganasan kepada BeritaBenar.

Lelaki  itu, yang merupakan antara 14 suspek menyokong IS yang ditangkap di Malaysia minggu lepas, mempunyai ikatan kekeluargaan  dengan Muhammad Wanndy Mohamed Jedi, pejuang IS dari negara itu yang mengancam untuk membunuh Perdana Menteri Najib Razak dan Ketua Polis Malaysia, kata pegawai-pegawai pada Sabtu  semasa mereka mengumumkan penahanan itu.

"Pihak berkuasa perlu memberi perhatian kepada saudara-mara ahli militan IS ini, supaya mereka tidak menjadi ejen senyap yang menyebarkan ideologi IS di negara ini," kata P. Sundramoorthy,  profesor kriminologi di Universiti Sains Malaysia, kepada BeritaBenar.

Menurut Timbalan Ketua Polis Negara Noor Rashid Ibrahim, saudara ahli IS itu, yang namanya tidak didedahkan, telah memindahkan  wang kepada IS dari akaun bank miliknya di Malaysia. Pada  Ahad, polis mengesahkan mereka telah membekukan akaun itu, tetapi enggan memberikan maklumat lanjut atau menyatakan berapa banyak wang telah dihantar kepada IS, lapor agensi berita negara, Bernama, yang memetik Noor Rashid sebagai berkata.

Kempen pelbagai

Seramai 14 orang ditahan dalam serbuan dari 17 hingga 20 Mei di enam negeri - Johor, Selangor, Perak, Kedah, Perlis dan Kuala Lumpur - menjadikan jumlah suspek IS yang ditahan polis Malaysia adalah seramai 193 orang sejak 2013, menurut statistik Polis DiRaja Malaysia. Pada akhir tahun lepas, kira-kira 1,000 orang rakyat  Asia Tenggara telah menyertai IS di Iraq atau Syria, menurut Jabatan Negara AS.

Tujuh daripada suspek yang ditahan minggu lepas adalah pekerja di sebuah syarikat swasta. Dua lagi mempunyai perniagaan sendiri dan yang lain adalah seorang mekanik, seorang juruteknik pesawat, seorang bekas pelayan wanita pusat karaoke, seorang pembantu makmal dan seorang buruh, kata Noor Rashid  dalam satu kenyataan.

"Lapan daripada suspek bertanggungjawab menyalurkan dana kepada IS di Syria dan Abu Sayyaf di selatan Filipina. Mereka ditahan di Kuala Lumpur, Selangor, Perak, Perlis dan Johor, "katanya.

Suspek berusia di antara 22 hingga 49 tahun, kata pegawai.

Pada  Mac, seramai 15 suspek penyokong IS Malaysia ditahan di kediaman mereka dan dipercayai telah menerima arahan daripada Wanndy untuk mengumpul wang bagi perjuangan IS di Timur Tengah, kata polis pada ketika itu.

Pada  Februari 2015, Wanndy dan rakannya dari Malaysia, Mohd Faris Anuar  menjadi tajuk utama di tanah air apabila mereka dilaporkan mengambil bahagian dalam rakaman video tentang pemenggalan kepala seorang banduan Syria, yang telah disiarkan dalam talian.

Pada November, Faris telah terbunuh semasa didakwa berjuang bersama tentera IS  di wilayah Anbar, Iraq.

Usaha IS merekut saudara-mara dan rakan-rakan pejuangnya adalah sebahagian daripada strategi kumpulan itu untuk menarik seluruh keluarga menyertai perjuangan  dalam mempertahankan khalifah yang diisytihar sendiri di beberapa bahagian di Iraq dan Syria yang dikawalnya, kata Rohan Gunaratna, yang mengetuai  Pusat Antarabangsa bagi Keganasan Politik dan Penyelidikan Keganasan di Institusi Pengajian Antarabangsa S. Rajaratnam di Singapura.

"IS mahu ahli lelaki datang bersama-sama dengan wanita dan anak-anak mereka ke dalam zon perang. Pejuang yang datang berseorangan  tidak mencukupi untuk melakukan kempen pelbagai generasi, "kata Gunaratna kepada BeritaBenar.

Minggu lalu, Zainuri Kamaruddin, bekas pemimpin Kumpulan Mujahiddin Malaysia (KMM), muncul dalam video kitar semula yang menunjukkan kanak-kanak Asia Tenggara diasak dengan ideologi ekstremis,  dilatih menggunakan senjata, dan dihasut untuk membakar apa yang kelihatan seperti pasport Indonesia dan Malaysia.

Melalui propaganda sedemikian yangh disebarkan dalam talian, IS cuba untuk memberi gambaran kehidupan menyeronokkan di khalifah itu, di mana kanak-kanak juga bermain dan  ke sekolah, kata Gunaratna, kolumnis untuk BeritaBenar.

Propaganda itu menggalakkan keluarga untuk pergi dan tinggal bersama-sama di Timur Tengah, kempen perekrutan yang bertujuan mengurangkan kadar menarik diri yang tinggi dalam kalangan kalangan pejuang IS, kata Gunaratna.

"Selepas menghabiskan masa setahun di Syria dan Iraq, hampir 50 peratus daripada mereka yang berhijrah ke apa yang dipanggil khalifah mahu pulang ke tanah air. Ia hanyalah peratusan kecil dalam kalangan aktivis IS yang amat komited  yang tidak mahu pulang  ke tanah air mereka dan mahu kekal di khalifah itu selama-lamanya," katanya.



Fahirul N. Ramli di Kuala Lumpur menyumbang kepada laporan ini.





Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.