Sindiket penipuan pekerjaan Kemboja, 118 rakyat Malaysia berjaya dibawa pulang

Menurut Saifuddin, bilangan rakyat Malaysia yang terlibat dalam sindiket itu adalah seramai 148 orang.
Iman Muttaqin Yusof & Nisha David
2022.09.09
Kuala Lumpur
Share on WhatsApp
Share on WhatsApp
Sindiket penipuan pekerjaan Kemboja, 118 rakyat Malaysia berjaya dibawa pulang Sebahagian daripada 24 rakyat Malaysia yang menjadi mangsa penipuan pekerjaan tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2, di Sepang, Selangor, 9 September, 2022.
[Iman Muttaqin Yusof]

Malaysia berkata seramai 118 orang yang menjadi mangsa sindiket penipuan tawaran pekerjaan di Kemboja telah berjaya diselamatkan, dengan terkini 24 orang telah dibawa balik daripada Phnom Penh pada Jumaat.

Menteri Luar Saifuddin Abdullah berkata kejayaan itu adalah hasil kerjasama erat antara kedua-dua negara dalam mengesan dan menyelamatkan mangsa sindiket tersebut.

“Alhamdulillah, 24 warganegara Malaysia yang merupakan mangsa sindiket penipuan tawaran pekerjaan di Kemboja berjaya diselamatkan dan telah sampai ke tanah air petang tadi. Setakat ini, seramai 148 mangsa telah dilaporkan dengan 118 daripadanya telah berjaya diselamatkan,” kata Menteri itu setibanya di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 di Sepang.

Beliau yang mengadakan lawatan singkat ke Kemboja pada Jumaat tiba dengan penerbangan AirAsia dari Phnom Penh bersama 24 warga Malaysia, diiringi Duta Besar Malaysia ke negara itu Eldeen Husaini Mohd Hashim, turut mengucapkan penghargaannya kepada Perdana Menteri dan Timbalan Perdana Menteri negara itu yang membantu melancarkan kepulangan kesemua mereka yang terbabit.

“Saya merakamkan ucapan terima kasih dan penghargaan kepada Perdana Menteri Kemboja, TYT Hun Sen, Timbalan Perdana Menteri dan juga rakan sejawat saya, TYT Prak Sokhonn, Kerajaan Kemboja dan Polis Diraja Malaysia atas kerjasama erat dalam usaha mengesan dan menyelamatkan mangsa sindiket berkenaan” tambahnya lagi.

Saifuddin, bagaimanapun tidak memberikan butiran tentang lanjut mengenai 24 mangsa yang pulang telah ditipu sindiket untuk bekerja di Kemboja dan sudah berapa lama mereka terperangkap di negara tersebut.

Kesemua mangsa, yang turut berada pada sidang media bersama Saifuddin di KLIA2 itu bertopeng dan tidak bercakap kepada pemberita.

Menteri itu turut memaklumkan bahawa penipuan pekerjaan seperti itu bukan hanya berlaku di Kemboja tetapi turut dilaporkan di negara lain, termasuk Afrika Selatan.

Beliau memberitahu sebanyak 500 syarikat Malaysia beroperasi di Kemboja, dengan 5,000 rakyat Malaysia bekerja atau menjalankan perniagaan dengan selamat di negara itu.

Pada April lepas, Malaysia membawa pulang 12 rakyatnya dari Kemboja, dengan menurut Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman Abd Jalil Hassan, kebanyakkan mereka terjebak dalam penipuan pekerjaan yang sama.

Beliau berkata setakat ini 35 laporan melibatkan 45 rakyat Malaysia terkandas di Myanmar, Laos dan Thailand, dengan pihak berkuasa tidak menolak kemungkinan jumlah mereka lebih ramai.

Terpedaya tawaran gaji lumayan

Timbalan Ketua Setiausaha Kementerian Luar Amran Mohamed Zin pada masa itu juga berkata 12 rakyat Malaysia yang dibawa pulang adalah antara 16 yang ditahan oleh pihak berkuasa Kemboja pada 4 April kerana disyaki terlibat dalam aktiviti yang menyalahi undang-undang negara berkenaan.

“Berdasarkan maklumat yang dikongsikan oleh kumpulan rakyat Malaysia tersebut, mereka telah terpedaya dengan tawaran gaji lumayan sebagai pegawai perkhidmatan pelanggan yang berpangkalan di luar negara.

“Mereka dijanjikan dengan bayaran gaji RM7,000 (AS$1,653) namun tidak pernah menerima sebarang bayaran sejak tiba ke negara itu, dan hanya selepas tiba ke negara tersebut, mereka menyedari telah diperdaya oleh sindiket dan dipaksa untuk bekerja sebagai 'scammer' untuk menipu mangsa-mangsa dengan menggelapkan wang mereka,” tambah beliau.

Amran berkata kesemua mangsa dipercayai diperdaya melalui iklan di laman Facebook dengan kos perjalanan mereka ke negara itu turut ditanggung oleh pihak syarikat di Kemboja.

“Setelah mangsa tiba di Kemboja, dokumen perjalanan mangsa dirampas, pergerakan dikawal dan dikurung dengan kawalan ketat,” katanya kepada media ketika menyambut ketibaan kumpulan rakyat Malaysia berkenaan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (KLIA2) pada 12 April lepas.

Dalam pada itu, jurucakap Kementerian Kemboja Chum Sounry berkata Timbalan Perdana Menterinya Prak Sokhonn dan Saifuddin telah mengadakan perbincangan di telefon semasa Menteri Luar Malaysia itu mengada lawatan singkat ke negara itu dan antara perbincangan adalah mengenai kerjasama memerangi pemerdagangan manusia dan jenayah penipuan melibatkan kedua-dua negara.

“Menteri Luar Malaysia telah merakamkan ucapan terima kasih kepada kerajaan Kemboja dan pihak berkuasa yang prihatin dalam memberikan 'banyak bantuan serta menjalankan 'tugas hebat' membantu menyelamatkan mangsa pemerdagangan manusia dan jenayah penipuan,” katanya dalam satu kenyataan yang dikeluarkan di ibunegara itu pada Jumaat.

Tambah jurucakap itu lagi, Timbalan Perdana Menteri juga memaklumkan terdapat ramai rakyat Malaysia yang datang ke Kemboja untuk berniaga dan bekerja dengan jayanya dan hanya sebilangan kecil yang menjadi mangsa penipuan pekerjaan.

“Timbalan Perdana Menteri turut memaklumkan Menteri Luar Malaysia bahawa jenayah ini berlaku di setiap negara, besar atau kecil dan kita semua perlu memeranginya, menggariskan cara terbaik untuk berbuat demikian adalah dengan berganding bahu, dan mempunyai kerjasama yang baik antara kedua-dua negara.

“Prak Sokhonn telah memberi jaminan kepada rakan sejawatannya itu tentang kesediaan Kemboja untuk bekerjasama dengan Kedutaan Malaysia di Phnom Penh dalam mencegah dan memerangi jenayah ini.”

Dalam pada itu, Saifuddin turut berkata Wisma Putra - nama lain bagi Kementerian Luar Malaysia - sentiasa mengeluarkan nasihat warganegaranya agar sentiasa sentiasa berwaspada dengan sebarang tawaran pekerjaan di luar negara dan berhubung dengan pihak Kedutaan Malaysia di negara berkenaan sekiranya terdapat sebarang keraguan berhubung tawaran kerja yang diterima.

Perkhidmatan berita Kemboja Radio Free Asia turut menyumbang kepada laporan ini.

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.