Tujuh Rakyat Kemboja Antara 10 Ditahan Terlibat Pemburuan Haram di Hutan Malaysia

Ray Sherman & Aminah Farid
2019.10.22
Kuala Lumpur, Malaysia
191022-MY-KH-wildlife-smuggling1000.jpg Tanduk haiwan liar yang dirampas pihak berkuasa daripada pemburu haram dipamerkan semasa sidang media di Ibupejabat Jabatan Hidupan Liar Malaysia di Kuala Lumpur, 8 Jun 2018.
[AFP]

Malaysia menahan 10 individu, termasuk tujuh warga Kemboja dan tiga lelaki tempatan kerana didakwa terlibat dalam pemburuan haram di dalam hutan di Semenanjung Malaysia, dengan nilai rampasan  bernilai hampir sejuta ringgit, demikian kata seorang pegawai Polis DiRaja Malaysia.

Timbalan Pengarah Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam [KDNKA] Bukit Aman, Mastor Mohd Ariff berkata, satu pasukan khas telah membuat empat siri tangkapan, iaitu di Kuala Lipis, Taman Negara Endau-Rompin di Pahang, Kampung Padang Kunyit, Gerik, Perak dan Hutan Simpan Tembat Tasik Kenyir, di Hulu Terengganu selama sepuluh hari bermula 10 Oktober lalu,

“Seorang warga Kemboja ditahan di Taman Negara Endau-Rompin manakala enam lagi ditangkap di Hutan Simpan Tembat Tasik Kenyir, manakala seorang lelaki tempatan ditahan di Kuala Lipis, dan dua lagi di Gerik.

“Dalam semua serbuan itu, pasukan khas berjaya merampas gading gajah, bulu burung, daging babi salai, cengkerang kura-kura, sisik tenggiling, duri landak, siong hidupan liar dan kayu gaharu yang bernilai hampir sejuta ringgit,” katanya semasa sidang media di Bukit Aman pada Selasa.

Beliau menambah pasukan khas bagi operasi berkenaan terdiri daripada pegawai dan anggota dari Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara [PERHILITAN] Batalion 3 [Senoi Praaq] Pasukan Gerak Am dari Bidor dan Pengkalan Hulu di Perak.

Mastor berkata, tangkapan pertama seorang lelaki tempatan di Kuala Lipis telah berjaya merampas sebahagian kulit harimau, sisik tenggiling, duri landak dan siong hidupan liar daripada lelaki tersebut.

“Dua lelaki tempatan yang ditangkap di Kampung Padang Kunyit, Gerik, pada 11 Oktober lalu, telah membawa kepada penemuan lima ekor burung pelbagai spesies, seikat bulu burung kuang serta 25 kilogram kayu gaharu,” katanya.

Beliau memberitahu, pasukan petugas khas dengan bantuan Persatuan Pemulihan Hidupan Liar yang menahan seorang warga Kemboja di kem transit pemburu di Taman Negara Endau – Rompin, telah  menemui 162 jerat nylon, sekilogram kayu gaharu dan empat bahagian daging babi salai, lima bilah kapak dan parang serta satu alat mengambil kayu gaharu daripadanya.

"Serbuan keatas sebuah khemah transit di Hutan Simpan Tembat Tasik Kenyir membawa kepada penahanan enam lelaki Kemboja pada malam 20 Oktober sekitar pukul 7.40 malam. Satu gading gajah, empat helai bulu burung kuang, dua rantai taring dan hidupan liar serta satu cengkerang kura-kura, tujuh alat pencuci gaharu, 12 bilah kapak dan parang dirampas daripada mereka,” katanya.

Mastor berkata walaupun warga Kemboja yang ditahan memiliki pasport, tetapi mereka dipercayai memasuki negara itu secara haram.

Pemburuan haram telah menyumbang kepada kejatuhan drastik dalam bilangan Harimau Malaya di Semenanjung Malaysia, kata pakar pemuliharaan. Kini terdapat kurang daripada 200 harimau di dalam hutan, walaupun memiliki populasi harimau melebihi 3,000 pada1950-an.

Menteri Air, Tanah dan Sumber Asli Xavier Jayakumar berkata, kes-kes hidupan liar akan disiasat di bawah Seksyen 60 dan 68 Akta Permuliharaan Hidupan Liar 2010, manakala jenayah yang berkaitan dengan kayu gaharu akan disiasat di bawah Akta Perhutanan Negara 1984 (Pindaan 1993) .

Orang yang didapati melakukan jenayah di bawah undang-undang tersebut dikenakan hukuman denda, penjara atau kedua-duanya.

Pada Mei lalu, dua pemburu haram warga Vietnam telah dipenjarakan selama dua tahun dan didenda 1.56 juta ringgit (AS$372,475) selepas mereka mengaku bersalah terhadap 20 tuduhan memiliki organ-organ dan bahagian hawaian hidupan liar.

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.