Malaysia Hantar Nota Diplomatik, Sahkan 47 Rakyatnya Ditahan Di Kemboja.

Staf BeritaBenar
2019.02.07
Kuala Lumpur, Malaysia
190207-MY-Cambodia620.jpg Polis Kemboja sedang menyoal siasat beberapa orang lelaki warga China yang ditahan selepas dipercayai terlibat dalam sindiket penipuan dalam talian di wilayah Banteay Meanchey, Kemboja, 3 Ogos 2017.
[Polis Kemboja/AFP]

Kementerian Luar Negeri Malaysia pada Khamis mengesahkan penahanan 47 rakyat Malaysia oleh pihak berkuasa Kemboja, dengan Kedutaan Malaysia di Phnom Penh mengemukakan Nota Diplomatik untuk memohon pembebasan mereka.

Wisma Putra dalam satu kenyataan memaklumkan 47 rakyat Malaysia telah ditahan di Poi Pet, Bantey Meanchey, Kemboja sejak 11 Disember lepas, atas pertuduhan terlibat dalam aktiviti perjudian haram melalui talian.

Kenyataan itu menyebut yang pihak berkuasa Kemboja telah memaklumkan Kedutaan Malaysia secara lisan mengenai penahanan tersebut pada 28 Disember lepas.

“Susulan itu, pegawai Kedutaan Malaysia di Phnom Penh mengadakan lawatan konsular ke atas tahanan untuk mendapatkan maklumat yang lebih lengkap selepas menerima kelulusan daripada pihak berkuasa tempatan.

“Lawatan itu bertujuan memastikan kebajikan para tahanan terpelihara, pegawai Kedutaan turut mengadakan pertemuan dengan pegawai penjara dan hakim yang mengendalikan kes itu,” kata Wisma Putra dalam kenyataan yang dikeluarkan di Putrajaya pada Khamis.

Menurut Kementerian Luar Negeri Malaysia, pertemuan antara pegawai kedutaan dan tahanan juga mendedahkan yang kesemua mereka telah ditawarkan pekerjaan dengan gaji yang lumayan di negara tersebut.

Wisma Putra melalui kedutaannya juga mengemukakan Nota Diplomatik kepada Kementerian Luar Kemboja memohon agar kesemua 47 tahanan Malaysia yang terbabit dibebaskan segera.

“Kedutaan Malaysia di Phnom Penh telah membawa perkara ini untuk perhatian Kementerian Luar Negeri dan Kerjasama Antarabangsa Kemboja melalui nota diplomatik memohon dilepaskan tahanan,” kata kenyataan itu sambil menambah pemantauan berhubung perkembangan kes tersebut dibuat dengan rapi serta mereka bersedia menghulurkan bantuan konsular yang sewajarnya.

Anak muda Sarawak

Terdahulu itu, menurut laporan akhbar tempatan Berita Harian, Ahli Parlimen Julau, dari Sarawak, Larry Sng Wei Shien memberitahu media seramai 47 rakyat Malaysia telah ditahan di Kemboja.

Larry berkata, 44 daripada 47 yang ditahan itu berasal dari Sarawak, dari keluarga miskin berbangsa Melayu, Iban dan Melanau.

Katanya, berita penahanan mangsa hanya diketahui selepas akhbar tempatan Kemboja melaporkan penahanan mereka oleh pihak berkuasa negara itu.

“Kebanyakan daripada anak Sarawak yang ditahan di pusat tahanan di negara berkenaan adalah kaum Iban. Mereka ditipu sindiket yang dipercayai terbabit dalam kegiatan pemerdagangan manusia dengan memperdaya mereka terutama di kawasan luar bandar.

“Kita mendapat maklumat bahawa pemergian mereka ke Kemboja dibuat secara berperingkat dengan ada di antara mereka dikenakan bayaran sebanyak AS$100 hingga AS$200. Kita tidak dimaklum bekerja sebagai apa, namun mereka dijanjikan gaji lumayan,” katanya dalam sidang media di Kuching pada Khamis.

Tambahnya, mereka kini ditahan di sebuah pusat tahanan kira-kira 446 kilometer dari Phnom Penh, pada 16 Disember lalu, sehingga kini.

“Kesemua 47 rakyat Malaysia sehingga ke hari ini belum dihadapkan ke mahkamah untuk didakwa mahupun direman. Kita difahamkan, pihak berkuasa Kemboja boleh menahan mereka sehingga tiga tahun tanpa didakwa di mahkamah,” tambahnya lagi sambil berkata, lebih menyedihkan satu perempat daripada mangsa terdiri daripada wanita muda.

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.