Jenazah 13 Korban Tragedi Bas Chiang Mai Tiba Di Malaysia
2015.12.22
Jenazah 13 rakyat Malaysia yang terkorban dalam tragedi kemalangan bas di Chiang Mai, Thailand pada Ahad lepas, tiba dengan dua pesawat khas di Lapangan Terbang Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) di Subang pada kira-kira 3.40 pagi Rabu waktu tempatan.
Pesawat C-130 TUDM mendarat terlebih dahulu dan disusuli beberapa minit kemudian oleh pesawat Hercules 130 milik Tentera Udara Diraja Thailand. Kedua-dua pesawat itu membawa kesemua 13 keranda, seorang rakyat Malaysia yang cedera dan waris mangsa.
Terdahulu itu, Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Perdagangan dan Kepenggunaan Negeri Johor Tee Siew Kiong seperti dilaporkan agensi Berita Nasional Malaysia (Bernama) berkata, kesemua jenazah mangsa nahas itu dijangka tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Senai, Johor pada petang Rabu untuk dihantar pulang ke kampung halaman masing-masing di Batu Pahat bagi upacara pengebumian.
Dalam pada itu, kerajaan Thailand telah mengumumkan bayaran pampasan kepada keluarga mangsa yang terbunuh dalam kemalangan itu.
Mangsa yang terbunuh akan menerima RM190,000 manakala RM71,000 diberi kepada mangsa yang cedera, dan kesemua bil hospital ditanggung kerajaan itu.
Wisma Putra pula dalam kenyataan pada lewat malam Selasa, merakamkan penghargaan kepada kerajaan Thailand atas bantuan yang dihulurkan bagi membawa pulang kesemua 13 jenazah itu ke Malaysia.
"Kerjasama kedua-dua negara ini memperlihatkan hubungan dua hala yang kukuh antara kerajaan Malaysia dan Thailand. Kerajaan Malaysia ingin mengucapkan terima kasih kepada kerajaan Thailand atas sokongan dan bantuan yang diberikan kepada Malaysia dalam masa yang sukar ini," menurut kenyataan itu.
Dalam kejadian pada 11.30 pagi waktu Thailand itu, seramai 13 rakyat Malaysia terbunuh apabila bas pelancong yang mereka naiki terbabas ke dalam gaung selepas berlanggar dengan sebuah kenderaan pikap, ketika dalam perjalanan dari wilayah Chiang Rai ke wilayah Chiang Mai.
Mereka adalah antara rombongan 22 warganegara Malaysia yang sedang bercuti di Thailand.
Media tempatan melaporkan seorang wanita, anak lelaki dan cucunya adalah antara enam sekeluarga yang terkorban dalam nahas itu.
Media melaporkan Low Chee Lan, 85, menyertai rombongan itu dengan anak lelakinya Tan Yang Soon, 64, serta anak perempuan bongsunya Tan Sui Heng, 54, dan suami Ker Boon Kwang, 57, anak mereka Ker Shin Hui, 28, serta anak perempuan bongsu Yang Soon, Tan Thin Thin, 36.
Chee Lan, Yang Soon serta Shin Hui terbunuh dalam kemalangan itu manakala tiga lagi ahli keluarga mereka mengalami kecederaan.