Kerjasama Negara Asing Tangani Ancaman Militan

Staf BeritaBenar
2015.10.21
151021-MY-GPEC620 Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri Dalam Negeri Ahmad Zahid Hamidi semasa merasmikan Persidangan dan Pameran Peralatan Polis Asia 2015 (GPEC 2015) di Kuala Lumpur. 21 Okt 2015
Ehsan Polis DiRaja Malaysia

Malaysia bersedia untuk bekerjasama dengan negara-negara asing bagi menentang ancaman militan antarabangsa dan aktiviti jenayah rentas sempadan dalam usaha membendung penularan ekstremisme, kata Timbalan Perdana Menteri Ahmad Zahid Hamidi di Kuala Lumpur pada Rabu.

Beliau yang juga Menteri Dalam Negeri berkata, tiada negara yang mampu memerangi ektremisme dan menewaskannya secara bersendirian kerana jenayah itu semakin berkembang.

“Oleh itu, cara kita bekerjasama untuk menumpaskannya perlu turut diperluaskan dan dalam perjuangan ini, kita bukan sahaja berkongsi kepentingan dan matlamat bersama.

“Kita menjalinkan perkongsian, kerjasama keselamatan dan cabaran global yang hanya berkesan jika dilaksanakan secara bersama-sama. Kita berdepan dengan keganasan, jenayah terancang dan serangan siber yang tidak mengenal sempadan. Kita dapat memeranginya jika kita lakukannnya secara bersama-sama,” katanya di Kuala Lumpur pada Rabu.

Malaysia telah menjalinkan kerjasama dengan beberapa negara termasuk Amerika Syarikat, Britain, Arab Saudi dan Indonesia dalam usahanya memerangi militan antarabangsa.

Pada hujung September lalu, Malaysia telah menjadi satu daripada ahli terbaru Gabungan Global bagi Menangani ISIL yang diterajui Amerika Syarikat. Malaysia dan Singapura merupakan dua negara anggota Persatuan Negara-negara Asia Tenggara (ASEAN) yang menyertai pertubuhan itu setakat ini.

Gabungan itu sedang berusaha untuk menghakis rayuan IS dengan mengukuhkan keupayaan untuk memerangi mesej kebencian yang dicanangkan oleh kumpulan itu.

Semasa lawatannya ke Amerika Syarikat pada 8 Okt lepas, Ahmad Zahid mengadakan pertemuan dengan Setiausaha Negara Amerika Syarikat John Kerry, yang kemudiannya memaklumkan bahawa Malaysia telah dipilih sebagai Pusat Serantau Digital Memerangi Mesej Melalui Komunikasi atau RDC3 yang akan ditubuhkan di Kuala Lumpur hujung tahun ini.

Pusat yang diusahakan oleh Malaysia dengan kerjasama Amerika Syarikat itu bertujuan memerangi penyebaran ideologi dan propaganda kumpulan militan Negara Islam (IS) menerusi internet.

“Ramai militan IS direkrut atau dipujuk menyertai IS melalui media sosial dan pusat komunikasi ini penting untuk menyekat propaganda IS, seperti yang dilakukan pusat komunikasi yang ditubuhkan oleh Amerika Syarikat di Emiriah Arab Bersatu (UAE),’’ katanya.

Ahmad Zahid berkata, pusat RDC3 akan menggunakan kaedah melalui talian untuk menentang propaganda IS yang digunakan untuk merekrut ahli militan baru, mengumpulkan dana dan mencetuskan ketakutan dalam kalangan penduduk tempatan.

"Dalam hal ini, negara-negara ASEAN, Australia, New Zealand dan beberapa negara jiran akan menggunakan pusat ini sebagai pusat rujukan," katanya.

Sehubungan itu beliau mencadangkan komuniti antarabangsa menjalinkan bekerjasama ke arah itu sebagai usaha jangka panjang untuk memerangi aktiviti keganasan yang berselindung disebalik agama.

Sementara itu, Malaysia dan Arab Saudi bersetuju meneruskan kerjasama rapat dalam memerangi ancaman keganasan dan kumpulan IS.

Menteri Luar Malaysia Anifah Aman berkata kedua-dua negara sentiasa berbincang dan bertukar maklumat mengenai IS.

“Ini bagi meningkatkan kefahaman tentang cara IS merekrut anak muda dan rakyat kami," katanya pada sidang media selepas menerima kunjungan hormat rakan sejawatnya dari Arab Saudi, Adel bin Ahmed Al-Jubeir, di Kuala Lumpur pada Rabu.

Hata Wahari menyumbang kepada laporan ini.

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.