Pengkritik 1MDB Dibebaskan Dengan Jaminan
2015.11.18
Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada Rabu telah memutuskan bahawa dua pengkritik syarikat pelaburan negara 1Malaysia Development Berhad (1MDB) Khairuddin Abu Hassan dan peguam Matthias Chiang tidak boleh didakwa dibawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas) 2012 (SOSMA).
Keputusan itu dibuat oleh Hakim Mohd Azman Husin yang turut membenarkan kedua-duanya diikat jamin sebanyak RM10,000 setiap seorang dengan seorang penjamin dan diarah menyerahkan pasport kepada mahkamah.
Pada 12 Okt lepas, Khairuddin, 53, dan Chang, 65, menghadapi pertuduhan cuba melakukan sabotaj terhadap perkhidmatan perbankan dan kewangan negara, di lima lokasi antara 28 Jun dan 26 Ogos tahun ini, didakwa mengikut Seksyen 124L Kanun Keseksaan dan dibaca bersama-sama Seksyen 34 kanun sama.
Lima lokasi itu ialah pejabat Ketua Bahagian Jenayah Ekonomi dan Kewangan Perancis di Paris; Balai Polis Charing Cross London, United Kingdom; pejabat Peguam Negara Switzerland di Bern; Balai Polis WaiChan, Hong Kong dan ibu pejabat polis Cantonment, Singapura.
Pada 13 Okt, Khairuddin dan Chang telah memfailkan notis usul di Mahkamah Tinggi memohon beberapa perintah antaranya pertuduhan yang dihadapi mereka mengikut Seksyen 124L Kanun Keseksaan tidak tertakluk di bawah SOSMA dan memohon mahkamah melepaskan mereka dengan jaminan.
Mahkamah Tinggi pada 19 Okt lepas, telah merujuk kes mereka kepada Mahkamah Persekutuan atas alasan ia melibatkan Perlembagaan Persekutuan, namun pada 3 November lalu Mahkamah Persekutuan menyerahkan kes itu ke Mahkamah Tinggi dan memerintahkan mahkamah itu memutuskan sama ada pertuduhan terhadap kedua-duanya tertakluk di bawah SOSMA.
Selain memutuskan bahawa pertuduhan mensabotaj perkidmatan perbankan dan kewangan tidak tertakluk di bawah SOSMA, Mohd Azman juga memerintahkan kes mereka dibicarakan di Mahkamah Sesyen kerana kesalahan itu di bawah Seksyen 124L Kanun Keseksaan,* membawa hukuman penjara selama 15 tahun maksima jika sabit kesalahan.
Hakim itu menjelaskan bahawa kesalahan di bawah Seksyen 124L Kanun Keseksaan tidak boleh dibaca bersama SOSMA, dan ianya digubal mengikut Perkara 149(1) Perlembagaan Persekutuan dengan enam Resital yang mempunyai ciri-cirinya tersendiri untuk dilaksanakan bagi memastikan ketenteraman awam.
"Walau bagaimanapun resital SOSMA hanya menetapkan empat daripada enam resital, tidak termasuk Resital (e) berkaitan perkhidmatan perbankan dan kewangan," katanya.
Hakim juga berpandangan dengan ketiadaan Resital (e), Parlimen tidak pernah bercadang untuk memasukkan perkhidmatan perbankan dan kewangan ke dalam Resital SOSMA 2012.
Peguam-peguam Mohamed Haniff Khatri Abdulla dan Zainur Zakaria hadir bagi pihak kedua-dua lelaki terbabit manakala pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan-Timbalan Pendakwa Raya, Mohamad Abazafree Mohd. Abbas dan Masri Mohd Daud.
Masri yang mewakili Pendakwa Raya berkata, pihaknya akan memfailkan rayuan terhadap keputusan mahkamah itu.
Bekas Perdana Menteri Mahathir Mohamad dan isteri, Siti Hasmah Mohd. Ali turut berada di mahkamah, selain ahli keluarga Khairuddin dan Chang.
Mahathir menyifatkan keputusan Mahkamah Tinggi itu meningkatkan keyakinan rakyat terhadap sistem kehakiman negara.