Tiga Warga Asing Antara Empat Ditahan Terlibat Aktiviti Militan: Polis

Fahirul N. Ramli
2016.09.22
160922-my-khalid620 Ketua Polis Negara, Khalid Abu Bakar semasa menjawab soalan pada persidangan media di Sepang, 16 Mac, 2014.
AFP

Polis Malaysia pada Khamis mengumumkan penahanan tiga warga asing dan seorang lelaki tempatan dipercayai mempunyai hubungan dengan aktiviti keganasan, termasuk seorang warga Bangladesh yang tersenarai dalam Notis Merah Interpol.

Lelaki Bangladesh berusia 37 tahun yang memiliki sebuah restoran di Bukit Bintang, tempat popular di Kuala Lumpur, telah ditangkap dan dihantar pulang kerana disyaki terlibat dalam penyeludupan senjata untuk kumpulan pengganas, kata Polis Ketua Negara Khalid Abu Bakar dalam satu kenyataan pada Khamis.

Ketua Polis itu bagaimanapun tidak mendedahkan nama kesemua mereka atau mereka mempunyai hubungan antara satu sama lain.

"Suspek yang disenaraikan dalam Notis Merah Interpol didapati terbabit dalam pengedaran senjata api bagi organisasi pengganas antarabangsa," kata Khalid dalam satu kenyataan itu.

Beliau berkata, suspek yang ditahan pada 19 Ogos telah dihantar pulang ke Bangladesh pada 2 September lalu.

"Dalam kes Notis Merah, orang yang berkenaan dikehendaki oleh bidang kuasa negara bagi  pendakwaan atau untuk menjalani hukuman berdasarkan waran tangkap atau keputusan mahkamah.

Peranan [Interpol] adalah untuk membantu pasukan polis negara dalam mengenal pasti dan mengesan mereka yang berkenaan dengan tujuan untuk menahan dan mengekstradisi mereka atau mengambil tindakan undang-undang, "menurut maklumat yang disiarkan di laman web organisasi polis antarabangsa yang berpangkalan di Lyon, Perancis.

Khalid berkata, warga asing kedua yang ditahan ialah seorang rakyat Nepal berusia 38 tahun, yang disyaki menjadi pembekal dokumen perjalanan palsu kepada militan antarabangsa. Beliau telah ditahan pada 19 Ogos dan dihantar pulang ke negara asal pada 2 September lalu.

Manakala suspek ketiga adalah seorang warga Maghribi yang berusia 26 tahun dan bekerja  sebagai jurukimpal besi, yang juga merupakan anggota kumpulan pengganas Negara Islam (IS) yang masih aktif, kata ketua polis Malaysia itu.

Khalid berkata suspek pernah ditahan oleh pihak berkuasa Turki pada bulan Februari ketika cuba memasuki Syria.

Setelah dibebaskan oleh pihak berkuasa Turki, lelaki berkenaan dipercayai menyusup masuk ke Malaysia pada awal Mei lepas, sebelum ditahan pada 2 Ogos dan kemudiannya dihantar pulang pada Rabu lalu," katanya.

Kesemua suspek ditahan dalam operasi berasingan oleh Bahagian Counter Terrorism Cawangan Khas Polis DiRaja Malaysia (PDRM) di Selangor dan Pahang antara awal bulan Ogos dan 17 Sept, kata Khalid dalam kenyataannya itu.

Suspek rakyat Malaysia punya kaitan dengan pejuang IS di Syria

Khalid berkata, suspek keempat, seorang lelaki tempatan berusia 34 tahun, yang mempunyai kaitan dengan Muhammad Wanndy Mohamed Jedi yang dipercayai berjuang dengan kumpulan militan IS di Syria sejak Januari 2015.

"Suspek yang bekerja sebagai pemandu peribadi kepada seorang ahli perniagaan, telah ditahan awal bulan ini.

Dia mempunyai hubungan dengan Muhammad Wanndy dan aktif mempromosikan IS melalui akaun Facebook beliau," kata Khalid dalam kenyataan itu.

Khalid berkata, lelaki berkenaan ditahan di bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA),

Wanndy dalam senarai dikehendaki


Wanndy, yang juga dikenali sebagai Abu Hamzah al-Fateh, berada dalam senarai tertinggi orang yang sangat dikehendaki oleh PDRM kerana penglibatannya dalam merancang serangan pertama yang berjaya dilakukan oleh IS di Malaysia.

Pada 28 Jun lepas, lapan orang cedera apabila bom tangan meletup di teres sebuah kelab malam di Puchong, dekat ibunegara Kuala Lumpur.

Sekurang-kurangnya enam orang suspek telah ditahan berkaitan dengan serangan itu. Dua orang suspek telahpun mengaku bersalah terhadap pertuduhan termasuk cubaan membunuh, dan empat yang lain telah dituduh bersubahat dengan penyerang.

Sebelum ini, Wanndy, yang berasal dari Durian Tunggal, Melaka, menjadi tajuk utama apabila beliau dikaitkan dengan ugutan bunuh yang dikeluarkan oleh IS terhadap pemimpin utama Malaysia, termasuk Perdana Menteri Najib Razak dan juga terhadap Ketua Polis itu.

Nama Wanndy timbul semula hanya beberapa hari sebelum sambutan Hari Kemerdekaan  negara pada 31 Ogos lepas, apabila beliau didakwa mempunyai kaitan dengan satu serangan, yang akhirnya gagal, terhadap beberapa kawasan pada malam sambutan Hari Kebangsaan, berikutan penahanan tiga lelaki.

Sejak 2013, pihak berkuasa Malaysia telah menahan sekurang-kurangnya 230 orang yang disyaki anggota IS dan telah memberi amaran bahawa rakyat Malaysia yang kembali dari berjuang di medan pertempuran di Syria atau Iraq, boleh melancarkan serangan pengganas di tanahair. Sekurang-kurangnya 72 didakwa ahli IS  telah didakwa di mahkamah.

S. Adie Zul turut menyumbang kepada laporan ini.

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.