Malaysia Kenakan Sekatan Pengambilan Pekerja Asing Jika Kediaman Tidak Ikut Kelulusan

Hadi Azmi & Noah Lee
2020.12.21
Kuala Lumpur
Malaysia Kenakan Sekatan Pengambilan Pekerja Asing Jika Kediaman Tidak Ikut Kelulusan Seorang pekerja asing sedang menaiki tangga ke bilik penginapannya selepas mandi di fasiliti pekerja asing milik sebuah kilang sarung tangan getah di Batu 13 Cheras, Kajang, Selangor, 21 Disember 2020.
[S. Mahfuz/BeritaBenar]

Malaysia pada Isnin mengumumkan sekatan pengambilan pekerja asing baharu jika majikan tidak memperbaiki fasiliti kediaman pekerja, keputusan yang diambil selepas menteri membuat pemeriksaan mengejut keatas sebuah kilang sarung tangan getah dan mendapati kontena telah dijadikan penempatan bagi ratusan pekerja yang terpaksa tinggal dalam kedaifan dan sesak.

Menteri Sumber Manusia M. Saravanan yang membuat pemeriksaan keatas kilang di Kajang, Selangor itu melahirkan rasa kesal apabila mendapati dua buah kontena dijadikan tempat tinggal kepada lebih 400 orang pekerja dan menyifatkan ianya “lebih teruk berbanding era penjajahan British".

"Jabatan Tenaga Kerja tidak akan memberi kelulusan untuk pengambilan pekerja asing selagi kementerian tidak berpuas hati dengan tempat penginapan yang disediakan majikan.

“Sekiranya mereka memohon untuk 100 orang pekerja, kementerian akan pastikan majikan mempunyai kemudahan sewajarnya untuk 100 orang," kata Menteri Sumber Manusia sambil menambah majikan yang disabitkan kesalahan boleh disenaraihitamkan daripada mengambil pekerja asing.

Saravanan menyertai operasi mengejut secara bersepadu melibatkan Kementerian Sumber Manusia (KSM), Jabatan Tenaga Kerja Semenanjung Malaysia (JTKSM) dengan Kementerian Kesihatan (KKM) semasa tatacara beberapa syarikat tempatan berada dalam pemerhatian rapi pihak berkuasa Amerika Syarikat dengan produk keluaran mereka disekat daripada memasuki negara itu, atas dakwaan mengamalkan buruh paksa.

201221-MY-Inside-LaGlove2.jpg

Keadaan bilik yang sempit dapat dilihat semasa serbuan keatas fasiliti penginapan pekerja asing di kilang sarung tangan getah yang terletak di Batu 13 Cheras, Kajang, Selangor, 21 Disember 2020. [S. Mahfuz/BeritaBenar]

Susulan pemeriksaan berkenaan, Jabatan Kesihatan Selangor telah mengarahkan supaya premis kilang yang mempunyai lebih 700 pekerja asing itu ditutup bermula 24 Disember sehingga 31 Disember di bawah Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 melalui satu notis yang dikeluarkan dan dilihat oleh BeritaBenar.

Menurut kandungan dokumen itu, arahan tutup diberikan kerana keadaan premis berkenaan berkemungkinan boleh menyebabkan penularan penyakit berjangkit selain.

Menurut menteri itu, fasiliti penginapan pekerja kilang berkenaan tidak mengikut spesifikasi yang ditetapkan dengan kesemua pekerja asing kilang tersebut masih belum membuat sebarang ujian saringan COVID-19.

"Saya amat sedih melihat keadaan ini [penempatan pekerja]. Walau kita pernah melihat jajahan British sebelum ini yang membawa pekerja untuk bekerja di ladang-ladang getah, tetapi kini selepas lebih 60 tahun, kita melihat satu keadaan yang lebih teruk.

“Saya sebagai Menteri Sumber Manusia amat malu melihat situasi seperti ini… yang seperti satu perhambaan zaman moden,” tambah Saravanan merujuk kepada penyediaan fasiliti penginapan tersebut yang paling teruk pernah ditemui, sambil mempersoal bagaimana manusia boleh hidup dalam keadaan daif, sempit, sesak dan kotor seperti itu.

JTKSM telah melancarkan siasatan terhadap insiden tersebut di bawah Akta Standard Minimum Perumahan dan Kemudahan Pekerja yang baharu dipinda dan dikuatkuasakan tahun ini, dengan Menteri turut memberi amaran kepada syarikat lain supaya mengambil iktibar daripada penemuan itu.

"Kes ini perlu menjadi amaran kepada syarikat-syarikat pembuatan sedia ada khususnya yang menggunakan khidmat pekerja asing. Pastikan nasib pekerja dibela tidak kira sama ada mereka itu pekerja tempatan atau asing.

“Jangan beri imej buruk, ini bukan mengenai imej kementerian, tetapi imej buruk kepada negara, dengan kita telah didakwa mengamalkan buruh paksa, serta pelbagai tuduhan lain yang dilemparkan terhadap Malaysia,” tambah menteri itu dalam nada yang tegas.

Pada Julai lepas, syarikat pembuat sarung tangan latex terbesar dunia, Top Glove telah dikenakan sekatan oleh Jabatan Kastam dan Perlindungan Sempadan AS (CBP AS) selepas disyaki mengamalkan buruh paksa dalam operasinya.

201221-MY-Inside-LaGlove1.jpg
Seorang pekerja asing sedang tidur semasa serbuan di fasiliti penginapan pekerja asing milik sebuah kilang sarung tangan getah di Batu 13 Cheras, Kajang, Selangor, 21 Disember 2020. [S. Mahfuz/BeritaBenar]

Tidak mengejutkan

Sementara itu, dua aktivis hak pekerja ketika dihubungi BeritaBenar pada Isnin tidak terkejut dengan penemuan kementerian tersebut dengan menyatakan mereka telah lama menyuarakan kebimbangan mengenai amalan majikan seperti itu.

"Ia mengambil masa yang lama untuk beliau menyedari, tapi saya gembira kini beliau faham akhirnya," kata pengarah eksekutif Tenaganita, Glorene Das kepada Berita Benar.

Menurut beliau, desakan daripada pihak luar seperti yang dibuat oleh CBP AS serta pendedahan yang dibuat stesen televisyen UK mengenai kondisi tempat tinggal pekerja asing termasuk Top Glove akhirnya telah membuatkan kerajaan Malaysia mengambil tindakan terhadap isu itu, berbanding usaha dilakukan selama bertahun-tahun sebagai aktivis.

"Malangnya, ini adalah perkara yang betul-betul terjadi… Kita hanya mendengar sesuatu perkara itu apabila didesak dari luar oleh negara Barat," kata Das.

Pengarah Inisiatif Utara-Selatan, Adrian Pereira memberitahu BeritaBenar bahawa perkara yang ditemui kementerian itu adalah sesuatu yang "tidak mengejutkan".

"Ini baharu satu daripada banyak lagi," kata beliau sambil menambah telah banyak pendedahan serupa dibuat aktivis sebelum ini tetapi tidak berlaku apa-apa perubahan dan hanya selepas AS mengambil tindakan menyekat kemasukan import barang-barang dari kilang-kilang tempatan, baharulah isu ini mula diberi perhatian.

Selain tindakan sekatan oleh CBP AS terhadap Top Glove, Putrajaya telah mengenakan perintah berkurung terhadap fasiliti pekerja di beberapa kilang milik syarikat berkenaan selepas berlakunya peningkatan penularan jangkitan pandemik COVID-19 sehingga melebihi 5,000 kes melibatkan pekerjanya.

Malaysia pada Isnin merekodkan 2,018 kes positif COVID-19 baru, iaitu jumlah yang ketiga tertinggi sejak negara dilanda wabak pada Januari lepas dengan lebih separuh daripada bilangan itu direkodkan di Selangor.

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.