Peguam Kes Bunuh Kim Jong Nam Kaitkan Agen Saraf Dengan 'Pengisytiharan Perang'

Hadi Azmi
2018.06.27
Kuala Lumpur, Malaysia
180627-my-kim1000.jpg Peguam bela Hisyam Teh Poh Teik (kanan) dan Gooi Soon Seng bercakap kepada pemberita selepas perbicaraan kes pembunuhan Kim Jong Nam di Mahkamah Shah Alam, 27 Jun, 2018.
[Hadi Azmi/BeritaBenar]

Pihak pelaksana Korea Utara mengisytiharkan perang ke atas Malaysia dengan mengimport agen saraf yang membawa maut dan menggunakannya untuk membunuh abang tiri pemimpin Korea Utara, peguam bagi wanita yang didakwa melakukan pembunuhan itu berkata pada Rabu, dengan perbicaraan diteruskan selepas berehat panjang.

Terdahulu, Peguam bela Hisyam Teh Pok Teik meminta kesemua rakyat Korea Utara yang tidak hadir itu dibicarakan sebagai hadir, ketika membentangkan penghujahan penutup bagi pihak anak guamnya, warga Vietnam Doan Thi Huong. Empat lelaki Korea Utara yang polis Malaysia kaitkan dengan pembunuhan Kim Jong Nam pada Februari 2017 di sebuah lapangan terbang Kuala Lumpur meloloskan diri dari Malaysia beberapa jam kemudian.

"Ini adalah pengisytiharan perang kerana senjata kimia itu dibawa masuk ke Malaysia dan satu pembunuhan telah berlaku di Malaysia," kata peguam itu kepada pemberita selepas prosiding perbicaraan di Mahkamah Tinggi Shah Alam pada Rabu, sambil berkata, Malaysia perlu memberitahu dunia bahawa ia mahu keadilan dilaksanakan.

Doan dan wanita Indonesia, Siti Aisyah, menghadapi hukuman mati jika disabitkan kesalahan membunuh Kim Jong Nam dengan menyapu agen saraf VX pada mukanya. Perbicaraan mereka diteruskan Rabu selepas pendakwaan selesai menyoal saksi pada awal April. Kim adalah abang tiri pemimpin diktator Korea Utara Kim Jong Un.

Hisyam berkata bahawa melalui keterangan dari saksi termasuk ahli kimia kerajaan Malaysia, Raja Subramaniam, pendakwa raya telah berhujah bahawa agen saraf VX dibawa masuk dari Korea Utara. Di dalam soal jawab, ahli kimia itu berkata agen VX itu mungkin diseludup masuk dari Korea Utara.

"[Raja Subramaniam] menjawab ya, kerana di lapangan terbang, kami tidak mempunyai mesin untuk menguji, mengesahkan, dan mengimbas untuk menentukan bahawa itu adalah senjata yang telah dibawa masuk," katanya. "Jadi, (hujah) ini daripada pihak pendakwaan, bukan kami."

Menurut Hisyam dan peguam bela Siti, Gooi Soon Seng, kedua-dua wanita itu tidak mengenali Kim Jong Nam dan tidak mempunyai motif untuk membunuhnya, demikian dilaporkan Associated Press.

"Dalam 90 tahun pengalaman kami di dalam perundangan, kami tidak pernah mendapati kes pembunuhan di mana seorang tertuduh didakwa melakukan pembunuhan itu pada  siang hari ketika dirakam sepenuhnya oleh kamera litar CCTV, dan kembali pula ke tempat jenayah dua hari kemudian ... fakta ini boleh menguburkan kes pendakwaan," kata Hisyam kepada mahkamah, menurut laporan AP.

Sambil menganggap penghujahan pendakwa raya di mahkamah sebagai gila dan keterlaluan, Hisyam menyelar bahawa mereka hanya memberi tumpuan kepada tarikh 13 Februari 2017, iaitu hari kejadian. Beliau berkata, mereka sepatutnya menyiasat dakwaan suspek tentang aksi gurauan YouTube yang dicadangkan oleh rakyat Korea Utara, Ri Ji Hyon (alias Mr. Y), Ri Jae Nam (alias Hanamori), Ri Ji-u (alias James) dan Hong Song Hac (alias Chang).

Kedua-dua wanita itu mendakwa mereka telah ditipu oleh rakyat Korea Utara berkenaan untuk melakukan apa yang mereka fikir sebagai aksi gurauan yang akan disiarkan di YouTube. Lelaki-lelaki itu bergegas pulang ke Korea Utara beberapa jam selepas serangan maut itu.

Di mahkamah itu, dua peguam bela berkenaan menegaskan bahawa tanpa kehadiran empat rakyat Korea Utara yang turut menghadapi pertuduhan itu, wanita-wanita berkenaan nampaknya tidak akan mendapat perbicaraan adil.

"Apa-apa sabitan terhadap wanita berkenaan bagi sebarang pertuduhan adalah tidak adil," kata Hisyam. "Benar-benar tidak adil."

Pihak pendakwaan senyap di mahkamah pada Rabu ketika pihak pembelaan membentangkan hujah mereka berhubung keterangan dan bukti, tetapi pihak pendakwa raya Wan Shaharuddin Wan Ladin  bertemu dengan wartawan sebelum prosiding itu bermula.

"Tiada kambing hitam yang dapat melaksanakan misi ini," kata Wan Shaharuddin kepada AP, sambil mencabar jangkaan hujah pihak pembelaan. "Seseorang itu mestilah dilatih. Tiada ruang untuk kegagalan.”

Hubungan dua hala


Malaysia dan Korea Utara mengekalkan hubungan dua hala sejak tahun 1973, tetapi kematian Kim Jong Nam menyebabkan pertikaian yang berlangsung selama beberapa minggu.

Pada 31 Mac, 2017, kakitangan kedutaan Malaysia dan anggota keluarga yang terperangkap di ibu negara Korea Utara Pyongyang, kembali ke Malaysia sebagai persetujuan di antara kedua pihak kerajaan untuk membuat pertukaran rakyat Malaysia dengan mayat Kim Jong Nam dan dua lagi warga Korea Utara yang dipercayai bersembunyi di Kedutaan Pyongyang di Kuala Lumpur.

Awal bulan ini, Perdana Menteri Mahathir Mohamad mengumumkan bahawa Kedutaan Malaysia di Pyongyang akan dibuka semula.

Mahathir, 92, yang memimpin kerajaan Pakatan Harapan yang memenangi pilihanraya umum pada 9 Mei, telah menggesa supaya "hubungan baik" dijalinkan dengan pemimpin muda Korea Utara tersebut. Mahathir membuat kenyataan berkenaan semasa lawatannya ke Tokyo dan juga pada malam sebelum sidang kemuncak bersejarah di antara Kim Jong Un dan Presiden Amerika Syarikat Donald Trump di Singapura.

Jadual perbicaraan

Mahkamah akan menyambung semula perbicaraan kes itu pada Khamis untuk mendengar penghujahan pihak pendakwa raya di hadapan Hakim Azmi Ariffin. Pihak pendakwaan mula membentangkan saksi dan bukti pada 2 Oktober 2017, dan mengakhiri pembentangan mereka selepas 39 hari perbicaraan itu pada 5 April.

Penghujahan penutup dijangka selesai pada Jumaat, dan hakim boleh mengambil masa sebulan untuk membuat keputusan, menurut laporan AP. Jika hakim memutuskan pendakwaan gagal dalam kes itu, kedua-dua wanita itu akan dibebaskan. Jika beliau memutuskan sebaliknya, wanita berkenaan boleh mula membentangkan pembelaan mereka.

Gooi memberitahu bahawa beliau menyerahkan kepada hakim untuk memutuskan sama ada aksi gurauan itu berlaku seperti yang didakwa oleh anak guamnya, tetapi "semua bukti menunjukkan kedua-dua wanita itu tidak bersalah."

"Kami yakin bahawa mereka akan dibebaskan."

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.