COVID-19: Gelombang baharu landa Malaysia, menteri minta orang ramai patuhi protokol kesihatan

Noah Lee
2022.07.08
Kuala Lumpur
COVID-19: Gelombang baharu landa Malaysia, menteri minta orang ramai patuhi protokol kesihatan Orang ramai memakai pelitup muka sebagai langkah berjaga-jaga mengelak jangkitan Covid-19 ketika keluar membeli belah di sekitar Jalan Tunku Abdul Rahman di Kuala Lumpur semasa perintah kawalan pergerakan pemulihan , 23 Mei 2020.
[S. Mahfuz/BenarNews]

Menteri Kesihatan Malaysia pada Jumaat berkata satu gelombang baharu jangkitan COVID-19 telah bermula di negara itu dan memberikan amaran kepada orang ramai supaya mematuhi undang-undang pencegahan wabak yang masih berkuatkuasa dengan amaran tersebut dikeluarkan ketika umat Islam negara itu sedang mengadakan persiapan untuk menyambut Hari Raya Aidiladha pada Ahad.

Menteri Khairy Jamaluddin berkata Kementerian Kesihatan (KKM) telah merekodkan peningkatan kes jangkitan baharu sebanyak 31 peratus dalam seminggu yang lepas berbanding minggu sebelumnya, dengan sejumlah 4,020 kes dilaporkan pada Khamis.

"Orang ramai perlu sentiasa patuh kepada prosedur yang masih ada. Ini sangat penting. Kerana saya melihat dari segi pematuhan kepada pemakaian pelitup muka terutama di kawasan tertutup yang masih wajib, sudah mula agak longgar sedikit.

"Saya juga mohon orang ramai yang hendak balik ke kampung masing-masing sempena Aidiladha, sepertimana kita buat pada Hari Raya Aidilfitri lepas, sekiranya ada ahli keluarga berisiko tinggi yang kita akan ziarah, buatlah ujian kendiri dahulu sebelum anda balik kampung.

"Saya percaya dengan langkah-langkah tersebut, sekali lagi Malaysia akan dapat mengatasi gelombang baharu ini," kata Khairy dalam satu sidang media di Putrajaya.

Menurut menteri itu, peningkatan kes telah dikesan sejak Minggu Epidemik Ke-27 iaitu dari 3 Julai hingga 7 Julai lepas, iaitu sebanyak 14,967 kes berbanding 11,394 kes pada minggu Epidemik Ke-26.

Kata beliau, peningkatan tersebut didorong oleh beberapa faktor, tetapi faktor utama adalah varian yang sedang mendominasi di peringkat dunia, iaitu BA5 dari varian Omicron.

Menurut Khairy, BA5 mempunyai kadar kebolehjangkitan yang tinggi serta 'immune escape property', iaitu ciri untuk menjangkiti mereka yang sudah pernah dijangkiti varian Omicron sebelum ini.

"Sebab itu kita banyak dengar kes di mana orang mengalami jangkitan semula dalam masa singkat," kata beliau.

KKM, tambah menteri itu, menjangkakan bahawa bilangan kes baharu akan terus meningkat disebabkan BA5 yang dipercayai sudah merebak di Malaysia serta pergerakan manusia yang lebih banyak ketika tempoh cuti sempena Hari Raya Aidiladha, dan menggesa supaya rakyat Malaysia mengamalkan semua prosedur standard yang ditetapkan untuk mencegah penularan wabak termasuk pemakaian pelitup muka di kawasan dalam bangunan.

"Kita lihat banyak keadaan di mana walaupun ketika berada dalam lokasi tertutup dalam bangunan, ramai sudah mula tidak memakai pelitup muka. Saya ingin mengingatkan rakyat Malaysia bahawa pemakaian pelitup muka di premis tertutup masih wajib," kata Khairy.

Menteri tersebut juga menasihatkan supaya mereka yang pulang berhari raya dan bercadang menziarah warga emas supaya membuat ujian kendiri COVID-19 terlebih dahulu bagi memastikan mereka bebas dari koronavirus.

Selain pematuhan SOP, Khairy berkata warga emas berusia 60 tahun dan ke atas, serta individu bawah 60 yang mempunyai masalah kesihatan seperti darah tinggi, obesiti dan penyakit jantung adalah sangat digalakkan untuk mengambil dos penggalak kedua vaksin COVID-19, yang boleh didapati secara percuma di fasiliti kesihatan berdaftar sebagai pusat pemberian vaksin.

Menurut beliau, seramai 151,018 individu telah mendapatkan dos penggalak kedua setakat 7 Julai. Bilangan tersebut hanya 6 peratus daripada bilangan keseluruhan mereka yang layak mengambil dos berkenaan.

"Suntikan dos penggalak kedua ini tidak wajib, tetapi ia sangat disarankan terutama bila kita sedang berdepan gelombang baharu dan melihat pergerakan manusia yang akan meningkat disebabkan cuti Hari Raya Aidiladha dan sebagainya.

"Saya merayu terutamanya warga emas yang masih belum mendapatkan dos penggalak kedua, dan rakyat yang ada komorbiditi, penyakit kronik seperti hipertensi, jantung, kolestro tinggi, dan obesiti untuk terus dapatkan penggalak. Ini sangat penting memandangkan kita berdepan gelombang baru yang datang daripada BA5."

Sementara itu, seorang doktor pakar penyakit berjangkit turut menyuarakan nasihat sama seperti Khairy supaya membuat ujian kendiri dan mengambil dos penggalak.

"Kepada yang melakukan perjalanan pulang ke kampung untuk Hari Raya, tolong fikir untuk membuat ujian sendiri terutama mereka yang ada orang tua yang berisiko di rumah.

"Selain itu, sekiranya mereka (warga emas) masih belum divaksin atau belum menerima dos penggalak, pergilah bawa mereka untuk dapatkannya," kata Christopher Lee, yang juga merupakan bekas Timbalan Ketua Pengarah Kesihatan Malaysia.

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.