Peguam Dua Wanita Terlibat Dalam Pembunuhan Kim Minta Perbicaraan Adil

N. Natha
2017.04.13
Kuala Lumpur
170413-MY-Doan-1000.jpg Suspek warga Vietnam Doan Thi Huong (kanan) diiringi anggota Polis Malaysia selepas perbicaraan kes pembunuhan Kim Jong Nam di Mahkamah Sepang, di Sepang, 13 April, 2017.
AFP

Peguam bagi dua wanita Asia Tenggara yang didakwa membunuh abang tiri pemimpin Korea Utara pada Khamis mendakwa pihak berkuasa Malaysia menyimpan keterangan membela diri, termasuk kenyataan yang dikumpulkan dari tiga warga Korea Utara yang telah dibenarkan pulang ke negara mereka.

Wanita Indonesia Siti Aisyah dan Vietnam, Doan Thi Hoang, hadir untuk perbicaraan di Mahkamah Majistret Sepang pada Khamis dengan kawalan keselamatan yang ketat. Mereka berpotensi berhadapan dengan hukuman mati atas dakwaan meracuni Kim Jong Nam dengan agen kimia yang diharamkan di peringkat antarabangsa di kawasan Lapangan Terbang Kuala Lumpur dua bulan lalu.

Para peguam yang mewakili kedua-dua wanita itu berkata, polis tidak bertindak balas terhadap permintaan untuk mendapatkan bukti paling penting dalam kes berkenaan, termasuk rakaman CCTV mengenai serangan dan kenyataan yang diberikan kepada pihak polis oleh tiga lelaki Korea Utara yang pada mulanya pihak berkuasa Malaysia menamakan mereka sebagai suspek dalam pembunuhan Kim.

"Tidak patut ada perbicaraan secara serang hendap," Gooi Soon Seng, peguam Aiysah, memberitahu mahkamah.

Gooi berkata Ri Ji U (juga dikenali sebagai James), salah seorang daripada tiga lelaki Korea Utara yang dibenarkan pulang ke Pyongyang pada 30 Mac bersama-sama dengan mayat Kim, adalah seorang yang "penting di dalam pembelaan."

"James memainkan peranan penting dalam pembelaan, terutamanya [bagi] Siti Aisyah," kata peguam itu.

"Mereka bukan lagi orang berkepentingan .... Oleh itu, kami harus dibenarkan untuk mempunyai akses kepada kenyataan.

Keadilan perlu dilaksanakan, dan penting, bagi tertuduh untuk diberikan perbicaraan yang adil, "kata Gooi.

Warga Korea Utara telah dibenarkan untuk meninggalkan Malaysia sebagai sebahagian daripada usaha untuk menamatkan persengketaan diplomatik dua hala selama enam minggu yang tercetus berikutan pembunuhan pada 13 Feb itu.

Korea Selatan, Amerika Syarikat dan Perdana Menteri Malaysia telah menuduh kerajaan Korea Utara mendalangi pembunuhan abang tiri pemimpin diktator Kim Jong Un.

‘Kami sentiasa berkerjasama dengan peguam’

Semasa perbicaraan 30 minit itu, pendakwaraya Muhammad Iskandar Ahmad telah memberi tindak balas dengan memberi alasan bahawa kenyataan yang direkodkan oleh pihak polis telah diklasifikasikan sebagai dokumen penting di bawah Kod Prosedur Jenayah Malaysia, dan oleh itu polis tidak diwajibkan untuk menyerahkannya kepada pihak pembelaan.

Hakim Harith Sham Mohamed Yasin menangguhkan kes berkenaan sehingga 30 Mei depan.

Doan dan Aisyah kedua-duanya telah didakwa atas pertuduhan membunuh pada 1 Mac lalu, bersama tiga warga Korea Utara yang telah dibenarkan kembali ke negara asal mereka, pihak berkuasa Malaysia menamakan empat rakyat Korea Utara yang lain sebagai suspek dalam pembunuhan Kim. Kesemua suspek itu dipercayai telah melarikan diri dari Malaysia pada hari Kim diserang di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2.

Keempat-empat mereka yang disebut, walaupun tidak dinamakan, atas kertas pertuduhan.

Hisyam Teh Poh Teik, peguam yang mewakili Doan, memberitahu mahkamah bahawa beliau telah meminta polis untuk memberikan keterangan seperti gambar dan rekod komunikasi melibatkan dua buah telefon yang dirampas daripada anak guamnya.

“Dua buah telefon miliknya telah dirampas dan polis perlu mendedahkan rekod telefon itu kerana ia mempunyai maklumat penting berhubung kes berkenaan," katanya.

Sementara itu, di tempat lain, Ketua Polis Malaysia Khalid Abu Bakar yang menjawab aduan daripada peguambela wanita berkenaan berkata, berkemungkinan permohonan mereka untuk mendapatkan bukti itu tidak melalui saluran yang betul.

"Adalah mustahil kerana kami sentiasa bekerjasama dengan peguam dari segi menyediakan dokumen kepada mereka," katanya kepada pemberita di Kuala Lumpur. "Tidak, mungkin terdapat salah faham semasa berkomunikasi."

Namun, Khalid berkata, tidak semua dokumen yang berkaitan dengan kes itu boleh dikeluarkan.

"Terpulang kepada kami, dengan kebenaran daripada AG [Peguam Negara] untuk menentukan dokumen mana yang boleh diberikan dan tidak boleh diberikan. Anda tidak boleh mendapat segala-galanya, " kata Ketua Polis Negara itu.

Penyiasat berpuas hati dengan maklumat yang diberikan oleh ketiga-tiga rakyat Korea Utara dan kes itu tidak dikompromi dengan keputusan Malaysia untuk membenarkan mereka pulang ke negara asal, tambah Khalid.

Sepupu kata suspek tidak bersalah

Kedua-dua wanita muda itu, yang merupakan suspek utama kini berada dalam tahanan selepas terlibat dalam kes yang telah meraih tajuk utama dunia. Mereka memberitahu polis bahawa mereka telah ditipu untuk menjalankan pembunuhan yang membawa kepada mempercayai bahawa mereka sedang memainkan lakonan gurauan sebagai sebahagian daripada rancangan realiti TV.

Kedua-dua wanita itu telah dilihat pada rakaman CCTV semasa menyerang Kim di lapangan terbang, menurut polis. Kesemua tujuh suspek warga Korea Utara turut difilemkan oleh kamera CCTV berada di lapangan terbang pada hari serangan itu, kata polis.

Sepupu Doan, Tran Huy Hoang, 23, yang berada di Sepang untuk menghadiri perbicaraan pada Khamis, memberitahu pemberita di luar mahkamah bahawa keluarganya percaya wanita itu telah diperangkap.

"Dia tidak akan mengambil bahagian dalam plot itu jika dia tahu ia adalah satu jenayah," kata Tran.

Sepupunya itu, berkata, wanita itu telah menamatkan pengajian dari sebuah universiti di Vietnam dan boleh berbahasa Inggeris dan Korea.

Tran, bagaimanapun, telah dihalang daripada memasuki sidang mahkamah atau kompaun mahkamah kerana dia tidak ditemani oleh bapa Doan.

Bapanya, Doan Van Thanh, telah dimaklumkan oleh anak perempuannya untuk berada di Kedutaan Vietnam di Kuala Lumpur untuk keselamatan sendiri, kata Tran kepada pemberita.

Tran dan bapa saudaranya telah tiba di Malaysia pada Isnin dan bertemu dengan Doan selama satu jam pada Rabu, katanya.

Dia kelihatan sihat dan makan dengan baik, Tran menambah.

"Beliau mahu bapanya tinggal di kedutaan sehingga dia kembali ke Vietnam," katanya.

Tran Huy Hoang bercakap kepada pemberita di luar kompleks mahkamah di Sepang, Malaysia, 13 April, 2017. [N. Natha/BeritaBenar ]

 

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.