Pendakwa Raya: Tiada Bukti Kaitkan Pemimpin Korea Utara Dengan Kes Pembunuhan Abang Tiri

Hadi Azmi
2018.06.28
Kuala Lumpur, Malaysia
180628-MY-KJN-Trial1000.jpg Polis Malaysia mengiringi rakyat Vietnam, Doan Thu Huong dari Mahkamah Tinggi Shah Alam di mana beliau dibicarakan atas pertuduhan melumurkan agen saraf berbahaya yang telah membunuh abang tiri pemimpin Korea Utara Kim Jong Un, 28 Jun 2018.
[Hadi Azmi/BeritaBenar]

Seorang pegawai pendakwa Malaysia pada Khamis berkata beliau tidak mempunyai bukti konspirasi yang mengaitkan pemimpin Korea Utara Kim Jong Un dengan pembunuhan abang tirinya semasa pihak pendakwaan menggulung kes terhadap dua wanita Asia Tenggara yang didakwa melakukan pembunuhan itu.

Selepas mendengar hujah penutup pendakwaan, hakim perbicaraan Azmi Ariffin mengumumkan bahawa beliau akan memutuskan pada 16 Ogos sama ada membebaskan kedua-dua wanita – rakyat Indonesia Siti Aisyah dan rakyat Vietnam Doan Thi Huong – atau mengarahkan mereka membela diri.

Pendakwaan berhujah bahawa Siti dan Doan tahu mereka sedang menggunakan VX, sejenis agen saraf berbahaya, ketika mereka melumurkannya ke muka Kim Jong Nam di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur pada 13 Feb 2017.

“Tiada sebarang bukti bahawa terdapat satu konspirasi oleh rakyat Korea Utara atau presiden Kore Utara sendiri,” kata Timbalan Pendakwa Raya Wan Shaharuddin Wan Ladin kepada pemberita di luar mahkamah. “Tiada bukti tentang plot politik. Tiada bukti tentang konspirasi jenayah.”

Siti dan Doan mengaku tidak bersalah terhadap pertuduhan yang memperuntukkan hukuman mati itu. Sepanjang perbicaraan, peguam mereka mendakwa bahawa kedua-dua tertuduh telah ditipu oleh beberapa suspek ejen Korea Utara agar mempercayai bahawa mereka dibayar untuk melakukakn satu gurauan video.

Sebelum bercakap kepada pemberita, Wan Shaharuddin memberitahu mahkamah bahawa kes pembunuhan di lapangan terbang itu adalah sesuatu “yang hanya dapat dilihat menerusi filem-filem James Bond,” namun menolak hujah pembelaan berhubung satu konspirasi politik dan berkata ia tidak relevan dengan fakta kes.

Beliau berkata Siti dan Doan sememangnya mengetaui cara terbaik bagi membolehkan agen saraf memasuki tubuh mangsanya dan menambah bahawa adalah “tidak masuk akal” untuk memikirkan bahawa kedua-dua wanita tidak menyedari bahawa mereka sedang melumurkan sejenis bahan kimia yang berbahaya ke muka Kim.

Keterangan mengikut keadaan


Bagaimanapun beliau berkata pendakwaan hanya boleh membuktikan niat jenayah – atau motif – menerusi keterangan mengikut keadaan sahaja.

“Tiada cara untuk saya membuktikan niat menerusi keterangan langsung,” katanya. “Tiada cara melainkan jika mereka datang ke mahkamah dan mengaku, ‘Ya, Saya mempunyai niat untuk membunuh Kim Jong Nam.’”

Sejak perbicaraan kes itu bermula pada Oktober 2017, pendakwaan telah memanggil 34 saksi untuk memberi keterangan dan mengemukakan rakaman keselamatan lapangan terbang yang menunjukkan kedua-dua tertuduh wanita menuju ke bilik air berasingan.

Pendakwaan memaklumkan mahkamah bahawa kedua-dua wanita tahu mereka perlu mencuci bahan kimia itu daripada tangan mereka dalam tempoh 15 minit bagi mengelak dicemari.

Seorang saksi pakar memberi keterangan bahawa meskipun kesan sisa VX ditemui pada kuku tangan dan kemeja T yang dipakai oleh Doan, tangan Siti didapati bersih.

Wan Shaharuddin memberitahu mahkamah pada Khamis bahawa video itu membuktikan Siti telah mencuci tangannya dengan teliti untuk menghilangkan bahan kimia berbahaya itu.

“Kita tidak perlukan pakar untuk memastikan perlakuannya,” kata beliau.

Sementara itu, peguam Siti, Gooi Soon Seng, berhujah bahawa mengikut masa dalam rakaman video tersebut, anak guamnya telah dilihat memasuki bilik air 13 minit selepas dia didakwa menyerang Kim dengan bahan kimia yang amat bertoksik itu.

Gooi s berkata ini menimbulkan persoalan terhadap hujah pendakwaan bahawa Siti menyedari risiko yang diambil dengan membenarkan tapak tangannya disapu dengan senjata kimia oleh beberapa lelaki warga Korea Utara yang kemudian melarikan diri dari negara ini beberapa jam selepas serangan.

Peguam bela itu juga menolak komen Wan Shaharuddin bahawa undang-undang Malaysia tidak meletakkan kepentingan yang tinggi terhadap motif.

“Dalam satu kes pembunuhan, motif adalah isu yang amat penting. Ia tidak boleh dikecualikan,” kata Gooi. “Mereka tidak dapat membuktikan motif jadi mereka kata motif tidak penting.”

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.