Kim Jong Nam: Mahkamah Perintah Pendakwaan Serah Salinan Percakapan Saksi

Hadi Azmi
2019.01.24
Kuala Lumpur, Malaysia
190124-MY-kjn-620.jpg Warga Indonesia Siti Aisyah (kiri) dikawal oleh polis semasa meninggalkan sidang mahkamah di Putrajaya, Malaysia, 24 Jan 2019.
[AP]

Tertuduh wanita Indonesia dalam kes pembunuhan Kim Jong Nam berjaya dalam rayuannya untuk mendapatkan salinan percakapan tujuh saksi, namun pihak pendakwaan pada Khamis berkata mereka akan mengemukakan permohonan kepada mahkamah yang lebih tinggi bagi membatalkan keputusan itu, sekali gus menyebabkan kes tersebut ditangguh.

Panel tiga Hakim Mahkamah Rayuan mengarahkan pendakwaan menyerahkan salinan percakapan itu kepada pihak pembelaan, namun menangguhkan pelaksanaan perintah itu bagi membolehkan pendakwaan membuat rayuan di mahkamah persekutuan.

Warga Indonesia, Siti Aisyah dan seorang rakyat Vietnam, Doan Thi Huong, sedang dibicarakan berkaitan kes pembunuhan Kim Jong Nam, abang tiri pemimpin Korea Utara Kim Jong Un, dalam satu serangan menggunakan bahan kimia di kawasan lapangan terbang antarabangsa Kuala Lumpur pada 2 Feb 2017.

"Semasa saya menjadi hakim dalam satu perbicaraan, saya akan mengarahkan pendakwaan agar memberikan percakapan saksi kepada pembelaan selepas pendakwaan menutup kes mereka," kata Hakim Harmindar Singh Dhaliwal kepada pihak pendakwaan.

Gooi Soon Seng, yang mengetuai pasukan peguambela mewakili Siti Aisyah, berkata salinan percakapan itu adalah penting bagi pembelaan anak guamnya, dan menambah bahawa perbicaraan yang dijadualkan disambung semula pada 28 Jan mungkin ditangguhkan lagi susulan rayuan yang bakal dikemukakan oleh pihak pendakwaan. Doan Thi Huong tidak hadir pada prosiding itu kerana dia tidak terlibat dalam rayuan untuk mendapatkan salinan percakapan itu.

"Sekiranya kita dibenarkan melihat salinan percakapan itu, maka kita akan mendapat perbicaraan yang lebih adil. ... Jika kita tidak mendapat perbicaraan yang adil, di manakah kita akan mendapat keadilan? " kata Gooi, menurut agensi berita Associated Press. "Kenapa kebenaran mesti diselubungi atas dasar keistimewaan?"

Siti dan Doan didakwa membunuh Kim, yang meninggal dunia selepas mukanya dilumur dengan agen saraf VX yang berbahaya dan boleh membawa maut di lapangan terbang itu pada 13 Feb 2017 semasa beliau hendak berlepas ke Macau.

Kedua-duanya, yang mengaku tidak bersalah, berdepan hukuman mati jika disabitkan kesalahan.

Terdahulu, pendakwaan berhujah bahawa mereka enggan menyerahkan salinan percakapan tujuh saksi terbabit, termasuk seorang warga Jepun yang merupakan rakan Kim dan seorang pemandu rakyat tempatan yang membawa Kim sekitar Kuala Lumpur, atas alasan ia melibatkan keselamatan negara. Dua lagi saksi ialah warga Indonesia yang juga rakan sebilik Siti Aisyah.

Hakim Dhaliwal, yang bersidang bersama-sama Hakim Umi Kalthum Abdul Majid dan Hakim Rhodzariah Bujang, mencabar alasan berhubung kebimbangan yang dikemukakan oleh pihak pendakwaan.

"Ia juga adalah satu polisi untuk pembelaan mendapatkan satu perbicaraan yang adil," katanya.

Perintah agar salinan percakapan saksi diserahkan kepada pihak pembelaan belum pernah dibuat sebelum ini, kata Timbalan Pendakwa raya Iskandar Ahmad kepada BeritaBenar.

"Itulah sebabnya kami akan membawa perkara ini ke Mahkamah Persekutuan, ini adalah perkara yang berkaitan dengan prinsip dan boleh menetapkan keutamaan baharu dalam kes akan datang," katanya.

Tindakan untuk tidak menyerahkan salinan percakapan saksi adalah satu isu polisi, kata Timbalan Pendakwa Raya Dusuki Mokhtar.

"Sebagai contoh, maklumat yang boleh memberi kesan kepada keselamatan negara dan kepentingan keadilan. Maklumat ini boleh digunakan oleh peguambela untuk menjatuhkan pentadbiran keadilan dan polis, " katanya.

Sejak perbicaraan kes itu bermula pada Oktober 2017, peguambela mempertahankan bahawa kedua-dua wanita telah ditipu oleh suspek, yang merupakan ejen Korea Utara, bahawa mereka dibayar untuk melakukan video gurauan di lapangan terbang. Empat lelaki Korea Utara, yang dikaitkan dengan pembunuhan itu oleh polis Malaysia, telah melarikan diri beberapa jam selepas serangan tersebut.

Pendakwaan telah menutup kes mereka pada Jun 2018. Pada 16 Ogos, Hakim Azmi Ariffin yang mendengar kes itu telah memutuskan bahawa terdapat bukti yang mencukupi terhadap kedua-dua wanita untuk meneruskan perbicaraan dan memerintahkan mereka membela diri.

Beliau mengarahkan perbicaraan itu disambung semula pada November. Bagaimanapun, beliau kemudiannya membenarkan kes itu ditangguh sehingga Januari kerana Gooi, yang merupakan salah seorang peguambela, baru pulih daripada pembedahan.

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.