Penyiasat: Lelaki Korea Utara Bayar Suspek Lakukan Aksi Gurauan

N. Nantha & Hadi Azmi
2018.01.30
Shah Alam, Selangor
180130-MY-KJN-Taxi620.jpg Seorang peguam pembelaan menunjukkan gambar pemandu teksi, Kamarudin Masyod (memakai cermin mata hitam) dengan seorang lelaki Korea Utara yang dikenali sebagai James (juga dikenali sebagai Ri Ji U) serta suspek Siti Aisyah di pusat beli-belah di Kuala Lumpur, 30 Jan, 2018.
(HadiAzmi/BeritaBenar)

Seorang wanita Asia Tenggara yang didakwa membunuh Kim Jong Nam, abang tiri diktator Korea Utara, telah dibayar untuk melakukan aksi gurauan di sebuah pusat beli-belah beberapa minggu sebelum pembunuhan lelaki itu, mahkamah tinggi Malaysia diberitahu pada Selasa.

Wanita Indonesia, Siti Aisyah, menerima RM400 (A$102) pada Januari 2017 selepas melakukan beberapa aksi gurauan di luar sebuah pusat beli-belah negara itu, kata penyiasat utama Wan Azirul Nizam Che Wan Aziz semasa memberi keterangan pada pemeriksaan balas dalam perbicaraan kes itu.

Kenyataan Wan Azirul nampaknya memperkukuh dakwaan pembelaan bahawa wanita itu telah diperdaya untuk mempercayai bahawa dia sedang melakukan aksi untuk program televisyen apabila dia membantu melumurkan sejenis bahan cecair pada muka Kim di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 pada 13 Feb 2017.

Pihak pendakwaan cuba membuktikan bahawa Siti Aisyah, dan wanita Vietnam berusia 29 tahun, Doan Thi Huong, telah melumurkan agen saraf VX yang membawa maut pada muka Kim Jong Nam selepas dilatih oleh ejen Korea Utara.

Tetapi, Siti Aisyah dan Doan mengaku tidak bersalah dan menerusi peguam yang mewakili mereka, kedua-dua wanita itu tetap menyatakan bahawa mereka percaya yang mereka dibayar untuk melakukan aksi gurauan untuk program televisyen.

Peguam pembelaan, Gooi Soon Seng, memberitahu pemberita selepas berakhirnya keterangan Wan Azirul pada perbiocaraan itu bahawa Siti Aisyah telah bertemu seorang pemandu teksi rakyat Malaysia yang kemudian memperkenalkannya kepada seorang rakyat Korea Utara yang dikenali sebagai James (juga dikenali sebagai Ri Ji U).

"Di pusat beli-belah Pavilion, Siti Aisyah diminta untuk menonton aksi gurauan yang dilakukan oleh orang lain dan kemudian, Siti Aisyah melakukan tiga aksi gurauan pada hari itu sambil dirakam oleh James," kata Gooi.

Semasa memberi keterangan bagi pihak pendakwaan pada November, Wan Azirul berkata, beliau telah meminta kebenaran daripada Kedutaan Korea Utara untuk menemu bual James tetapi tidak menerima sebarang jawapan. James adalah seorang daripada tiga lelaki yang dihantar pulang ke Pyongyang pada Mac 2017 susulan langkah diplomatik antara kedua-dua negara, dengan mayat Kim turut dibawa pulang ke negara yang terasing itu pada masa yang sama.

Empat lelaki Korea Utara lain dilihat dalam rakaman CCTV di lapangan terbang berkenaan dan dikenal pasti sebagai suspek yang melarikan diri dari Malaysia beberapa jam selepas serangan yang membunuh abang tiri pemimpin diktator Kim Jong Un.

Keterangan

Semasa perbicaraan itu di mahkamah pada Selasa, Gooi telah bertanya Wan Azirul mengenai pertemuan Siti Aisyah dengan James, yang menyamar sebagai rakyat Jepun.

"Saya mencadangkan bahawa pemandu teksi Kamarudin Masyod telah menghampiri tertuduh pada 3 pagi  5 Jan 2017 di Beach Club di Kuala Lumpur," kata Gooi.

"Saya bersetuju tetapi saya tidak pasti tarikhnya," kata Wan Azirul.

Gooi bertanya sama ada pertemuan itu antara Siti Aisyah dan Kamarudin di kelab itu adalah tentang tawaran untuk wanita itu mengambil bahagian dalam satu program aksi gurauan dan kedua-duanya bertemu dengan James lapan jam kemudian di pusat beli-belah tersebut.

"Ya, saya bersetuju," jawab Wan Azirul.

Dia juga bertanya sama ada Kamarudin telah menyaksikan Siti Aisyah berlatih melakukan aksi gurauan pada hari tersebut.

"Ya, saya bersetuju," kata pegawai itu.

Sebagai bukti, Gooi menunjukkan sekeping gambar Siti Aisyah, James dan Kamarudin ketika bersama-sama di pusat beli-belah itu.

Perbicaraan kes itu disambung semula pada 8 Feb ini.

Pada Isnin, Gooi bertanyakan kepada Wan Azirul mengenai pertemuan antara Kim Jong Nam dan seorang lelaki yang dikenal pasti sebagai "lelaki Korea-Amerika yang berpusat di Bangkok," empat hari sebelum pembunuhannya di lapangan terbang itu. Penyiasat itu memberitahu pemberita bahawa beliau tidak dapat mengenal pasti lelaki itu.

Wan Azirul mengesahkan bahawa sebuah komputer riba telah dihantar ke makmal forensik di Kuala Lumpur. Kali terakhir ia digunakan adalah pada 9 Feb 2017, katanya tetapi beliau tidak pasti sama ada Kim telah menyerahkan data kepada lelaki tersebut semasa pertemuan itu atau jika pertemuan itu dikaitkan dengan pembunuhan di lapangan terbang.

Gooi telah menuduh Wan Azirul bahawa beliau cuba mengelak daripada menjawab.

"Adakah anda hilang ingatan?" Gooi bertanya kepada saksi itu, menurut laporan media. "Anda kata anda melakukan siasatan tetapi anda langsung tidak ingat tentang kesemuanya? Hotel yang mana? Siasatan ini untuk apa, jika ia tidak berkaitan dengan kes ini? "

Berikutan perbicaraan pada Selasa, Gooi menyuarakan keyakinannya terhadap kes pembelaan.

"Kerana setakat ini, kami tidak menemui apa-apa yang boleh mengaitkan anak guam kami dengan kejadian itu," katanya.

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.