Malaysia Sahkan Identiti Kim Jong Nam sebagai Mangsa Agen Saraf

Anis Natasha & Fadzil Aziz
2017.03.10
Kuala Lumpur
170310-MY-NK-kim-620.jpg Sekumpulan belia Malaysia bersedia untuk menyerahkan jambangan bunga sebagai tanda keamanan kepada pegawai kedutaan Korea Utara di Kuala Lumpur, 10 Mac, 2017.
[Fadzil Aziz/BeritaBenar]

Beberapa orang “Saksi" telah membantu pihak berkuasa Malaysia untuk mengesahkan bahawa Kim Jong Nam adalah lelaki yang dibunuh akibat serangan racun di lapangan terbang Kuala Lumpur bulan lepas, kata Ketua Polis Malaysia pada Jumaat tanpa memberi maklumat lanjut.

Ketua Polis Negara Khalid Abu Bakar menyatakan betapa perlunya untuk melindungi saksi-saksi, ketika mengumumkan pengesahan rasmi identiti simati yang memegang pasport diplomatik Korea Utara dengan nama Kim Chol itu.

Beliau berkata, penyiasat telah mengenalpasti identiti mangsa setelah menerima pengesahan daripada saksi bahawa mayat lelaki berusia 45 tahun itu adalah abang tiri pemimpin Pyongyang, Kim Jong Un.

"Kami kini telah menentukan bahawa Kim Chol adalah Kim Jong Nam. Kami memenuhi keperluan undang-undang dalam mengenal pasti mayat berkenaan," kata Khalid pada satu sidang media.

"Untuk keselamatan saksi, kami tidak akan membuat penjelasan lanjut. Itu saja yang ingin saya nyatakan buat masa ini, "tambah Khalid.

Beberapa minggu lalu, para pegawai Malaysia telah mengenal pasti mayat itu sebagai Kim Jong Nam, dengan membandingkan pasport dengan nama Kim Chol, dan dokumen yang diberikan oleh kedutaan Korea Utara, menurut Timbalan Perdana Menteri Malaysia, Ahmad Zahid Hamidi.

Duta Korea Utara, yang diusir keluar dari Malaysia, mempertikaikan kenyataan Zahid dan pegawai-pegawai yang mewakili rejim di Pyongyang, tidak menyatakan bahawa lelaki yang dibunuh di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 pada 13 Februari sebagai Kim Jong Nam.

Sejak pembunuhan itu, yang menurut pihak berkuasa Malaysia disebabkan oleh agen saraf yang diharamkan dilumur ke muka mangsa, pihak berkuasa telah menahan dan mendakwa dua wanita Asia Tenggara dalam pembunuhan itu termasuk mengenal pasti sekurang-kurangnya tujuh warga Korea Utara sebagai suspek. Minggu ini, di tengah-tengah persengketaan diplomatik dengan Pyongyang, Perdana Menteri Malaysia menuduh Korea Utara sebagai dalang di dalam pembunuhan tersebut.

Ketegangan dua hala telah meningkat apabila Malaysia enggan untuk melepaskan mayat Kim tanpa keluarga terdekat tampil ke hadapan untuk menuntut mayat serta memberi DNA yang diperlukan untuk mengenal pasti dengan positif.

Khalid tidak menyatakan sama ada saudara-mara Kim menjadi saksi untuk mengesahkan identiti mayat tersebut atau sama ada apa-apa sampel DNA telah diserahkan kepada pihak polis di sidang akhbar pada Jumaat itu.

"Saya tidak akan mendedahkan maklumat lanjut dalam proses mengenal pasti itu," kata Khalid.

"Kami tidak perlu menyimpan mayat berkenaan dan kami akan menyerahkannya kepada Kementerian Kesihatan disebabkan belum ada pihak yang menuntut mayat itu," tambah ketua polis itu.

Di bawah undang-undang Malaysia, hanya keluarga terdekat boleh menuntut jenazah seseorang, katanya.

Perhimpunan rakyat Malaysia

Ketegangan antara kedua-dua negara timbul minggu ini apabila duta masing-masing telah di usir termasuk mengenakan larangan keluar dari wilayah ke atas rakyat masing-masing.

Pada Khamis, dua pekerja Malaysia yang bekerja untuk Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu di Korea Utara telah meninggalkan negara itu. Tiga kakitangan di kedutaan Malaysia di Pyongyang serta keluarga mereka masih dilaporkan terperangkap di negara komunis itu, kerana larangan perjalanan berkenaan.

Perdana Menteri Najib Razak pada Jumaat menggesa warganya termasuk parti politik pembangkang, untuk bersatu dan menyokong usaha kerajaan dalam menyelesaikan krisis diplomatik dengan Korea Utara.

"Jika kita bersatu padu ketika menghadapi sebarang masalah atau ancaman, musuh dari luar tidak akan mampu untuk meruntuhkan segala yang kita bina selama ini," tulis Najib dalam blog yang dimuatnaik di laman web rasminya.

Malaysia sentiasa mengekalkan hubungan diplomatik yang baik dengan negara-negara lain tetapi mereka tidak perlu mengambil kesempatan terhadap apa yang diberikan, kata beliau sambil merujuk kepada hubungan dua hala dengan Korea Utara sejak 44 tahun lepas.

"Ini tidak bermakna sesiapa daripada kalangan mereka boleh menyalahgunakan segala layanan baik yang Malaysia telah berikan selama ini dan melanggar undang-undang negara kita atau bertindak sesuka hati tanpa menghormati kedaulatan negara," katanya.

Sementara itu, pada Jumaat warga Malaysia mengadakan solat khas serta berhimpun di Kuala Lumpur untuk mendoakan kesejahteraan dan keselamatan sembilan rakyatnya yang telah dihalang daripada meninggalkan Korea Utara.

Penunjuk perasaan berkumpul di luar kedutaan Korea Utara di Kuala Lumpur.

Salah satu kumpulan, Solidariti Anak Muda Malaysia membawa jambangan bunga sebagai tanda muhibah dan menyeru untuk penyelesaian pertelingkahan tersebut secara aman.



Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.