Ujian Peluru Berpandu, Malaysia Keluar Larangan Perjalanan Ke Korea Utara

Ray Sherman
2017.09.28
Kuala Lumpur
170928-MY-football-620.jpg Pemain Malaysia memaparkan jersi rakan sepasukan yang cedera, Kumaahran Sathasivam, sebelum perlawanan akhir bola sepak lelaki menentang Thailand pada Sukan Asia Tenggara Ke-29 di Kuala Lumpur, 29 Ogos, 2017.
[AFP]

Berikutan ketegangan nuklear yang semakin meningkat di Semenanjung Korea, kerajaan Malaysia pada Khamis melarang semua warganegaranya mengunjungi Korea Utara, termasuk pasukan bola sepak kebangsaan yang terpaksa menangguhkan perlawanan menentang pasukan negara itu di Pyongyang minggu depan.

Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) mengumumkan penangguhan buat kali ketiga perlawanan kelayakan pasukan lelaki kebangsaan menentang Korea Utara bagi Piala Asia 2019, yang dijadualkan pada 5 Okt ini, selepas Kementerian Luar Negeri Malaysia melarang rakyatnya melakukan perjalanan ke negara komunis itu.

Kementerian itu berkata ia membuat keputusan untuk melarang "semua rakyat Malaysia" daripada melakukan perjalanan ke Korea Utara "berikutan meningkatnya ketegangan di Semenanjung Korea serta perkembangan berkaitan yang timbul daripada siri ujian peluru berpandu."

"Larangan perjalanan itu akan dikaji semula setelah situasi itu kembali normal," kata kementerian itu dalam satu kenyataan.

"Ya, semua warganegara Malaysia termasuk pasukan bola sepak kebangsaan dan rakyat Malaysia yang bekerja untuk agensi antarabangsa seperti Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB), dilarang mengunjungi Korea Utara," kata Timbalan Menteri Luar Negeri Reezal Merican Naina Merican kepada BeritaBenar.

Pengumuman kementerian itu tidak secara khususnya menyatakan nama Korea Utara tetapi ia meyebut tentang perkembangan di Semenanjung Korea baru-baru ini susulan ujian senjata nuklear dan peluru berpandu balistik. Siri ujian berkenaan yang dijalankan oleh Pyongyang pada tahun ini telah menimbulkan ketegangan di Asia Timur, yang menyebabkan Amerika Syarikat, Korea Selatan dan Jepun menjalankan latihan ketenteraan bagi menunjukkan kuasa mereka.

Awal bulan ini, kerajaan Malaysia mengecam pelancaran peluru berpandu Korea Utara dan menyuarakan kekesalannya terhadap kegagalan berterusan rejim komunis itu mematuhi sekatan PBB. Kuala Lumpur juga menggesa Pyongyang supaya menghentikan program peluru berpandu nuklear dan balistik kerajaannya.

Kedua-dua negara menjalinkan hubungan diplomatik dan perdagangan sejak 1973, tetapi ia terjejas berikutan pembunuhan Kim Jong Nam, abang tiri pemimpin Korea Utara, Kim Jong Un, di sebuah lapangan terbang Kuala Lumpur pada 13 Feb lalu.

Dua wanita Asia Tenggara, yang ditangkap sebagai suspek kes itu, dijangka membuat pengakuan berhubung pertuduhan terhadap pembunuhan itu apabila perbicaraan mereka di mahkamah Malaysia diadakan pada Isnin.

Pergolakan diplomatik dua hala selama enam minggu itu menyaksikan Malaysia dan Korea Utara masing-masing mengusir duta dan mengenakan larangan keluar rakyat dari negara mereka. Perdana Menteri Najib Razak menyertai Korea Selatan dan Amerika Syarikat dalam menyalahkan ejen-ejen kerajaan Korea Utara berhubung kematian Kim.

Pada akhir Mac lalu, Malaysia bersetuju untuk menyerahkan mayat Kim Jong Nam kepada Korea Utara sebagai pertukaran untuk pembebasan kakitangan dan keluarga kedutaan Malaysia yang telah terkandas di Pyongyang selepas larangan keluar dari negara itu ditarik balik.

Penangguhan ketiga

Perlawanan bola sepak di antara kedua-dua negara telah ditangguhkan dua kali berikutan ketegangan diplomatik yang timbul selepas Kim Jong Nam dibunuh dengan senjata kimia yang diharamkan di peringkat antarabangsa, menurut polis Malaysia.

Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC), organisasi yang mengawal selia kejohanan 2019 itu, telah mengumumkan mengenai penangguhan perlawanan tersebut di laman webnya.

"AFC akan merujuk perkara itu kepada jawatankuasa sewajarnya bagi menentukan status masa depan perlawanan ini," kata konfederasi itu dalam satu kenyataan.

Setiausaha Agung FAM Hamidin Mohd Amin berkata, pasukan bola sepak kebangsaan, yang dikenali sebagai Harimau Malaya, telah bersedia untuk melakukan perjalanan ke Pyongyang pada Selasa, dua hari sebelum perlawanan itu. Berikutan itu, pasukan berkenaan akan bersiap sedia untuk perlawanan kelayakan menentang Hong Kong di China pada 10 Okt ini.

Pada 19 Sept., Tunku Ismail Idris Sultan Ibrahim, putera mahkota negeri selatan Johor yang juga presiden FAM, telah bertemu dengan Kim Yu Song, kuasa usaha di Kedutaan Pyongyang di Kuala Lumpur.

Pada mesyuarat itu, Tunku Ismail telah diberikan kebenaran, yang jarang sekali dibuat, untuk  menggunakan ruang udara Korea Utara. Protokol biasa memerlukan pesawat berkenaan berhenti di Beijing sebelum terbang memasuki Korea Utara, menurut satu kenyataan selepas mesyuarat itu.

Berhubung dua penangguhan sebelum ini, putera mahkota berkenaan lantang mengkritik mengenai perlawanan itu di Pyongyang dan baginda menyuarakan kebimbangan bahawa pasukan kebangsaan mungkin terdedah kepada keracunan makanan melalui perbuatan sabotaj.

 

Hata Wahari turut menyumbang kepada laporan ini.

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.