Polis Malaysia Cari Diplomat Korea Utara Untuk Siasatan Kes Kim

Anis Natasha
2017.02.22
Kuala Lumpur
170222-MY-Khalid-1000.jpg Ketua Polis Negara Khalid Abu Bakar bercakap pada sidang berita di Kuala Lumpur sambil berdiri di hadapan skrin yang memaparkan butir-butir suspek Korea Utara yang dikehendaki bagi pembunuhan Kim Jong-Nam, 22 Feb, 2017.
AFP

Pihak penyiasatan mahu menyoal siasat seorang diplomat Korea Utara yang ditugaskan di Kuala Lumpur berhubung dengan kematian abang tiri Kim Jong-Un, yang diserang dengan toksin oleh dua suspek wanita di sebuah lapangan terbang tempatan, kata Ketua Polis Malaysia pada Rabu.

Polis Malaysia telah mengemukakan permohonan meminta kedutaan itu membenarkan penyiasat untuk menyoal siasat Hyon Kwang Song, 44, setiausaha kedua di misi diplomatik Pyongyang itu serta Kim Uk Il, 37, seorang pekerja syarikat penerbangan kendalian Korea Utara, Air Koryo,  kata Ketua Polis Negara Khalid Abu Bakar pada sidang berita di Kuala Lumpur.

Kedua-dua lelaki itu dilihat dalam rakaman CCTV yang diambil di lapangan terbang itu pada hari serangan dilakukan terhadap Kim Jong-Nam, katanya.

"Kami telah mengemukakan permintaan itu hari ini. Jika mereka menolak untuk bekerjasama maka, kami akan mengeluarkan waran tangkap ke atas kedua-dua lelaki itu," kata Khalid, sambil menambah kata, "kami telah menulis surat kepada kedutaan bagi membolehkan kami menemu bual kedua-duanya. Kami berharap kedutaan Korea Utara akan bekerjasama dengan kami."

Khalid juga mendakwa kedua-dua wanita yang ditahan - seorang warganegara Indonesia dan seorang wanita yang polis Malaysia kenal pasti sebagai pemegang pasport Vietnam - telah dilatih untuk menggunakan toksin itu dan telah melakukan latihan di dua pusat beli-belah di kawasan Kuala Lumpur sebelum melakukan serangan itu pada 13 Feb lalu.

Diplomat dan pekerja Air Koryo yang dicari polis itu masih berada di Malaysia, kata Khalid. Polis juga sedang mencari seorang lelaki Korea Utara ketiga yang dikenali sebagai Ri Ji U (juga dikenali sebagai James),  yang imejnya turut dirakam oleh kamera CCTV pada 13 Feb di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (klia2), di mana Kim didakwa diserang ketika sedang bersedia untuk menaiki penerbangan ke Macau.

Empat suspek Korea Utara yang lain, yang telah dikenal pasti pihak berkuasa tempatan pada hujung minggu lalu, meninggalkan Malaysia pada hari kematian Kim, menurut polis. Kim meninggal dunia semasa dalam perjalanan ke hospital selepas mengadu kepada kakitangan perubatan di lapangan terbang itu bahawa dia berasa sakit setelah seorang wanita menyerangnya dengan semburan bahan kimia.

"Kami percaya empat orang ini banyak terlibat dalam serangan itu. Kami tidak  mendapat apa-apa daripada kedutaan pada masa ini. Kami mahukan bantuan mereka untuk mengesan keempat-empat lelaki itu dan menyerahkan mereka kepada kami, "kata Khalid.

'Mereka telah dilatih'

Mengulas mengenai dua wanita yang ditahan itu, ketua polis berkenaan menolak laporan yang kononnya mereka telah ditipu untuk melakukan gurauan terhadap Kim, yang dirakamkan bagi satu rancangan realiti televisyen.

Mereka telah dilatih untuk menggunakan toksin itu dan telah diarahkan untuk membasuh tangan mereka selepas melakukan serangan itu, kata Khalid.

"Mereka telah dilatih. Ini bukanlah sesuatu seperti melakukan penggambaran filem," katanya.

"Wanita Indonesia itu menyembur dan kemudian wanita Vietnam itu menyapu  [kain pada muka Kim], dan kemudian mereka diarahkan untuk membersihkan tangan mereka," kata Khalid.

Kedua-dua wanita itu telah berlatih melakukan  serangan itu di pusat-pusat beli-belah KLCC dan Pavilion di Kuala Lumpur, dakwa beliau.

"Kami akan memohon reman kedua-dua wanita itu  dilanjutkan hari ini selama tujuh hari lagi. Lelaki itu, teman lelaki wanita Indonesia berkenaan, akan dilepaskan hari ini dengan jaminan polis, "kata Khalid.

Polis Malaysia telah mengenal pasti dua wanita sebagai Doan Thi Huong dari Vietnam dan Siti Aisyah dari Indonesia. Selain daripada teman lelaki Siti, yang polis kenal pasti sebagai warganegara Malaysia, Muhammad Farid bin Jalaluddin, pihak berkuasa Malaysia turut menahan seorang lelaki Korea Utara, Ri Jong Chol.

'Bukan racun': Korea Utara

Susulan sidang berita Khalid, kedutaan Pyongyang di Kuala Lumpur mengeluarkan kenyataan yang mendesak polis supaya membebaskan kedua-dua wanita itu dan rakyat Korea Utara.

"Mereka perlu segera melepaskan wanita yang tidak bersalah dari Vietnam dan Indonesia serta juga warganegara DPRK, Ri Jong Chol, yang ditahan secara tidak munasabah."

Kenyataan itu, yang ketiga dikeluarkan oleh kedutaan itu berhubung kes Kim sejak minggu lalu, mengulangi tuduhan bahawa Malaysia telah bersekongkol dengan Korea Selatan berhubung perkara itu dan  sekali lagi membangkitan keraguannya mengenai integriti siasatan polis Malaysia.

"Malaysia telah menjalankan siasatan berdasarkan rakaman CCTV yang telah dikeluarkan kepada orang ramai dan delusi bahawa suspek wanita itu telah menyapu racun pada muka mangsa dengan tangan mereka sendiri. Kemudian, bagaimana mungkin suspek wanita ini masih hidup selepas kejadian itu? " kata kedutaan itu dalam satu kenyataan terbaru, dengan tidak menamakan abang tiri pemimpin Korea Utara itu.

"Ini bermakna cecair yang mereka sapukan sebagai gurauan bukanlah beracun dan ada satu lagi punca kematian si mati," kata kenyataan itu.

Para pegawai Malaysia belum mengeluarkan laporan bedah siasat mengenai punca kematian itu.

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.