Malaysia Usir Duta Korea Utara Berhubung Siasatan Pembunuhan Kim
2017.03.04
Kuala Lumpur
Malaysia pada Sabtu mengiisytiharkan Duta Korea Utara "persona non grata" dan berkata ia mengusir beliau kerana secara umumnya mengkritik siasatan Malaysia berhubung pembunuhan abang tiri Kim Jong Un.
Kementerian Luar Negeri memberi Duta Kang Chol tempoh selama 48 jam untuk meninggalkan negara itu, dengan tarikh akhirnya tamat pada 6 petang Isnin (waktu tempatan), menurut satu kenyataan Menteri Luar Malaysia Anifah Aman.
Kementerian itu juga menghalang Kang daripada memasuki semula Malaysia.
Tindakan menurunkan tahap hubungan dua hala dengan Korea Utara susulan pembunuhan Kim Jong Nam di lapangan terbang tempatan pada 13 Feb lalu berlaku selepas Duta Kang Chol gagal hadir di Kementerian Luar Negeri Malaysia pada petang Sabtu, di mana pegawai-pegawai telah memanggil beliau untuk satu pertemuan pada 6 petang, kata menteri itu.
Pengusiran Kang dibuat kerana Korea Utara gagal memenuhi tarikh akhir pada petang 28 Feb untuk memberi maklum balas kepada permintaan Malaysia supaya negara itu membuat permohonan maaf bagi kenyataan kritikal duta itu, kata Anifah.
Pada Selasa, seorang wakil kanan kementerian itu dan para pegawai hal ehwal luar negeri lain bertemu dengan delegasi peringkat tinggi yang dihantar oleh Korea Utara, dan menuntut Pyongyang supaya mengemukakan permohonan maaf secara bertulis bagi kritikan yang dibuat dutanya, menurut kenyataan Anifah itu.
"Hampir empat hari telah berlalu sejak tarikh akhir luput. Tiada permohonan maaf dibuat, dan tiada tanda-tanda permohonan maaf itu akan dibuat. Oleh yang demikian, Duta Besar Korea Utara diisytiharkan Persona Non Grata," kata diplomat utama Malaysia itu.
Status itu "adalah bentuk kecaman yang paling serius yang boleh dikenakan ke atas seseorang diplomat asing," katanya, sambil menambah ia juga "sering digunakan untuk menyatakan rasa tidak senang bagi sebarang tata laku atau terhadap dasar-dasar negara penghantar."
Menteri itu turut memberi amaran kepada Korea Utara.
"Ia perlu dijelaskan - Malaysia akan bertindak dengan tegas terhadap sebarang penghinaan yang dibuat terhadapnya atau sebarang percubaan untuk mencemarkan reputasinya," katanya.
Nota diplomatik diserahkan
Kira-kira 9.30 malam Sabtu, para pemberita melihat seorang pegawai yang tidak dikenali dari Kementerian Luar Negeri Malaysia menyerahkan surat rasmi kepada kedutaan Korea Utara bagi memaklumkan Pyongyang tentang tindakan Malaysia mengusir Duta Kang.
Para pegawai di kedutaan itu tidak menjawab panggilan telefon BeritaBenar dan tidak muncul di pintu gerbang kedutaan itu, di mana ramai pemberita berkumpul di luarnya, bagi mengulas mengenai tindakan Malaysia mengusir duta itu.
Pengumuman itu dibuat sehari selepas Malaysia mengusir seorang lelaki Korea Utara, Ri Jong Chol, setelah dia dibebaskan daripada tahanan polis kerana kekurangan bukti sebagai suspek dalam pembunuhan Kim.
Pihak berkuasa Malaysia telah menahan dan menuduh di mahkamah seorang wanita Indonesia dan seorang wanita Vietnam yang disyaki sebagai pembunuh Kim, dan telah mengenal pasti tujuh lagi rakyat Korea Utara yang dikehendaki bagi soal siasat polis dalam kes itu.
Tujuh rakyat negara itu termasuklah Hyon Kwang Song, 44, setiausaha kedua yang ditempatkan di Kedutaan Korea Utara di Kuala Lumpur.
Pada Jumaat, dua pegawai kanan Malaysia memberitahu BeritaBenar bahawa kerajaan sedang menimbang kemungkinan mengisytiharkan Hyon Kwang Song dan Duta Kang "persona non grata" berhubung dengan pembunuhan Kim.
Selepas pengumuman pada Sabtu, kerajaan negara itu juga boleh mengisytiharkan Setiausaha Kedua tersebut "persona non grata" jika kedutaan Korea Utara gagal memberi maklum balas kepada permintaan Malaysia sebelum ini supaya Hyon Kwang Song membantu polis tempatan dengan penyiasatan itu, seorang lagi pegawai kanan Malaysia yang rapat dengan kes itu memberitahu BeritaBenar.
Pakar puji tindakan
Sejak Kim Jong Nam mati akibat serangan itu di mana pembunuhnya meracunnya dengan agen saraf yang diharamkan, polis Malaysia berkata, Duta Pyongyang itu telah bercakap kepada pemberita sebanyak dua kali bagi mempersoalkan integriti siasatan kes itu.
Beliau juga menuduh Kuala Lumpur "bersekongkol dengan anasir ganas" untuk memfitnah Korea Utara – yang jelas merujuk kepada Korea Selatan.
Para pegawai Amerika Syarikat dan Korea Selatan menyalahkan ejen Korea Utara kerana mendalangi pembunuhan Kim, menurut Reuters.
"Saya fikir ia adalah masa yang tepat bagi kerajaan Malaysia mengambil tindakan persona non-grata itu. Duta Korea Utara dilihat cuba mengganggu siasatan polis dan memberi kenyataan berita yang memfitnah Malaysia," kata Mohd Azizuddin Mohd Sani, seorang profesor hubungan antarabangsa di Universiti Utara Malaysia, kepada BeritaBenar pada lewat Sabtu.
Kritikan yang dilemparkan terhadap Malaysia oleh Duta itu "mencabar kedaulatan negara ini," kata Azmi Ibrahim, seorang profesor geo-politik.
"Dakwaan itu melanggar norma-norma diplomasi dan dibuat kepada umum melalui media dan bukannya menerusi saluran diplomatik. Dalam usaha untuk mempertahankan maruah negara dan mengelakkan lebih banyak tuduhan, keputusan pengusiran itu sepadan dengan keceluparan duta tersebut, "kata Azmi kepada BeritaBenar.
Setakat ini, kesan diplomatik akibat daripada pembunuhan Kim telah menyaksikan kerajaan Malaysia memanggil pulang dutanya di Pyongyang dan membatalkan dasar membenarkan rakyat Korea Utara memasuki Malaysia tanpa visa.
Keputusan untuk membatalkan dasar itu "adalah satu petunjuk bahawa kerajaan bimbang yang Malaysia mungkin digunakan untuk aktiviti yang menyalahi undang-undang," kata Anifah dalam kenyataan pada Sabtu.
Kementerian itu mengeluarkan kenyataan berasingan pada awal Sabtu di mana ia menolak dakwaan yang "membayangkan" bahawa Malaysia mencabuli sekatan Majlis Keselamatan PBB (UNSC) terhadap Pyongyang, dengan membenarkan dua syarikat kendalian Korea Utara menggunakan syarikat Malaysia bagi menjual peralatan radio tempur.
"Malaysia menolak sekeras-kerasnya sebarang kecaman seperti itu" dan "memandang tinggi usaha yang dilakukan oleh Jawatankuasa Sekatan UNSC Sekatan" terhadap Korea Utara,” kata kementerian itu, yang mengulas dakwaan itu yang terkandung dalam laporan Reuters.
Malaysia juga "bekerjasama sepenuhnya" dengan panel pakar Majlis Keselamatan dan telah menyediakan maklum balas yang perlu bagi sebarang pertanyaan, kata kementerian itu.