Malaysia Pertimbang Tutup Kedutaan di Korea Utara: Perdana Menteri
2017.10.30
Kuala Lumpur
Malaysia sedang mempertimbangkan keputusan untuk menutup kedutaannya di Korea Utara dan pada masa yang sama sedang menilai hubungan diplomatik dengan Pyongyang, di tengah-tengah kebimbangan keselamatan serantau terhadap ujian nuklear dan peluru berpandu balistik oleh kerajaan negara itu, kata Perdana Menteri Najib Razak.
Najib berkata, selepas penutupan pejabat berkenaan, Malaysia akan memindahkan segala urusan diplomatik dari negara itu ke kedutaannya di Beijing, China.
Najib membuat kenyataan itu bagi menjawab soalan oleh seorang anggota parlimen mengenai tajuk yang dibincangkannya dengan Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump semasa lawatan kerja beliau ke Washington pada 12 September lepas.
"Antara isu yang dibincangkan ialah keadaan di Semenanjung Korea, di mana kedua-dua negara menimbulkan kebimbangan di atas keselamatan dan keamanan di rantau Asia Pasifik yang berada dalam ancaman berikutan ujian peluru berpandu nuklear dan balistik Korea Utara," katanya.
"Malaysia sedang mempertimbangkan hubungan dengan Korea Utara termasuk aspek hubungan diplomatik, politik dan ekonomi," kata Najib.
"Malaysia juga sedang mempertimbangkan untuk menutup Kedutaan Malaysia di Pyongyang dan memindahkannya ke Beijing."
Beliau berkata, rakyat Korea Utara yang ingin masuk ke Malaysia juga perlu memohon visa.
Pengumuman Najib itu dibuat beberapa hari menjelang perlawanan bola sepak kelayakan Piala Asia - pada 10 November dan 13 Nov - antara Malaysia dan Korea Utara, yang akan diadakan di Thailand.
Kuala Lumpur dan Pyongyang mempunyai hubungan dua hala sejak tahun 1973, tetapi hubungan itu menjadi buruk pada awal tahun ini berikutan kes pembunuhan Kim Jong Nam, abang tiri pemimpin diktator Korea Utara, Kim Jong Un di Malaysia.
Dua wanita Asia Tenggara – dari Indonesia dan Vietnam – kini sedang dibicarakan atas pembunuhan itu di Malaysia kerana didakwa melumur muka Kim Jong Nam dengan agen saraf VX yang boleh membawa maut.
Kerajaan, Najib berkata, mula mempertimbangkan untuk menutup kedutaannya di Pyongyang selepas ketegangan diplomatik tercetus berikutan pembunuhan di lapangan terbang di Kuala Lumpur itu.
Menteri Luar Anifah Aman sebelum ini mengatakan bahawa Malaysia tidak mempunyai rancangan untuk menghantar semula duta besarnya ke Pyongyang, selepas diplomat terakhir dipanggil pulang semasa kemuncak ketegangan diplomatik selama lebih enam minggu itu berlaku awal tahun ini.
Malaysia juga membatalkan keistimewaan visa untuk warga Korea Utara memasuki negara itu.
Ketegangan itu, bagaimanapun, berakhir pada hujung bulan Mac selepas Malaysia bersetuju untuk membuat penukaran mayat Kim serta dua warga Korea Utara yang disyaki memainkan peranan penting di lapangan terbang itu, untuk sembilan rakyat Malaysia yang terperangkap di Pyongyang selama berminggu-minggu kerana larangan keluar berkenaan.
Perlawanan Bola sepak
Minggu lalu, Konfederasi Bola Sepak Asia dalam satu kenyataan berkata, bahawa badan berkenaan telah memilih Thailand untuk menjadi gelanggang neutral bagi perlawanan bola sepak kelayakan antara Malaysia dan Korea Utara, tetapi masih belum mengesahkan tempat serta tarikh dan waktu perlawanan.
Perlawanan antara kedua-dua negara yang sepatutnya berlangsung di Stadium Kim Il-Sung di ibu negara Korea Utara, Pyongyang terpaksa ditangguhkan sebanyak tiga kali apabila jadual asal perlawanan pada 28 Mac ditunda kepada 8 Jun lalu selepas ketegangan diplomatik antara kedua-dua negara terjadi susulan pembunuhan berkenaan.
Pertemuan yang dijadualkan semula pada 5 Oktober lepas, bagaimanapun dibatalkan selepas Kementerian Luar mengeluarkan larangan perjalanan pada 28 September lalu kepada seluruh rakyat Malaysia yang ingin ke Korea Utara, berikutan kebimbangan terhadap keadaan semasa yang berlaku di Semenanjung Korea.