Pegawai Kesihatan Malaysia Menolak Kematian Kim Akibat Serangan Jantung dan Luka Tusukan

Anis Natasha
2017.02.21
Kuala Lumpur
170221-MY-health-official-1000.jpg Ketua Pengarah Kesihatan Malaysia Noor Hisham Abdullah (dua dari kiri) bercakap dengan wartawan mengenai bedah siasat ke atas mayat Kim Jong-Nam di Hospital Kuala Lumpur, 21 Feb, 2017.
AFP

Abang tiri Kim Jong-Un tidak mati akibat serangan jantung dan badannya tidak menunjukkan adanya luka tusukan, tetapi keputusan ujian makmal diperlukan untuk membuktikan punca kematian, para pegawai kesihatan Malaysia berkata pada Selasa semasa mengumumkan keputusan awal bedah siasat.

Pegawai Malaysia telah mengenal pasti lelaki yang mati dipercayai dibunuh di sebuah lapangan terbang antarabangsa Kuala Lumpur minggu lepas, sebagai Kim Jong-Nam, abang tiri yang mempunyai pertalian renggang dengan pemimpin Korea Utara. Laporan berita Korea Selatan mencadangkan pembunuhan itu dilakukan dengan menggunakan jarum untuk meracuni beliau.

"Tiada bukti serangan jantung. Tidak terdapat juga apa-apa yang jelas yang boleh menunjukkan tanda-tanda tusukan, " kata Ketua Pengarah Kesihatan Malaysia Noor Hisham Abdullah, pada sidang media di Kuala Lumpur.

Sementara itu, para pegawai Malaysia tidak mengesahkan laporan bahawa anak Kim Jong-Nam, Kim Han-Sol, telah tiba di negara itu dari Macau untuk menuntut mayat bapanya.

Dalam perkembangan lain, polis Malaysia pada Selasa telah mengerahkan pasukan komandonya untuk mengawal rumah mayat di Hospital Kuala Lumpur di mana mayat Kim disimpan, menurut laporan.

Sejak kes pembunuhan pada 13 Februari itu, kerajaan Malaysia telah menolak permintaan  Kedutaan Korea Utara untuk menyerahkan kepada Pyongyang mayat simati tanpa melakukan bedah siasat. Kuala Lumpur menegaskan hanya keluarga terdekat sahaja yang boleh tampil untuk mengenal pasti mayat dan memberi sampel DNA, sambil berkata negara itu hanya akan melepaskan mayat berkenaan kepada waris  "mengikut undang-undang dan prosedur Malaysia."

Bedah siasat ke atas mayat Kim telah dilakukan pada 16 Februari lalu tetapi, setakat ini, pegawai kesihatan belum menentukan punca kematian, kata Noor Hisham.

Keputusan laporan bedah siasat sepenuhnya akan dikeluarkan lewat minggu ini, selepas makmal menghantar kembali analisa ujian, menurut Noor Hisham, yang turut menafikan bahawa laporan bahawa bedah siasat kedua telah dilakukan kerana yang pertama tidak memberi punca kematian dengan pasti.

"Selagi kita tidak mempunyai laporan, kita tidak boleh mengeluarkan kenyataan," tambah beliau.

Pihak berkuasa juga turut akan meneruskan cara lain dalam mengenal pasti secara positif jika keluarga terdekat atau waris gagal muncul dalam tempoh 14 hari, kata Noor Hisham.

"Cara lain untuk mengenal pasti mayat termasuklah rekod pergigian yang akan dipadankan dengan mangsa dan pemeriksaan luaran [punya tanda tersendiri] seperti parut, tahi lalat dan pembedahan yang telah dijalankan sebelum ini," katanya.

Peningkatan pertikaian


Kim Jong-Nam meninggal dunia ketika dikejarkan ke sebuah hospital tempatan, selepas mengadu kepada kakitangan perubatan di KLIA2 bahawa dia jatuh sakit selepas seorang wanita menyerangnya dengan semburan kimia semasa beliau sedang bersedia untuk menaiki penerbangan ke Macau.

Dia disahkan meninggal dunia sebaik tiba di Hospital Putrajaya pada 13 Februari.

Polis menahan empat suspek termasuk seorang rakyat Korea Utara, dan berkata, empat lagi warganegara yang sangat dikehendaki berkaitan dengan kes itu telah melarikan diri pada hari Kim meninggal dunia.

Keengganan Malaysia untuk menyerahkan mayat Kim kepada Korea Utara telah membawa kepada perbalahan diplomatik, dengan Duta Pyongyang yang mempersoalkan integriti siasatan Malaysia dan menuduh Kuala Lumpur berpakat dengan Korea Selatan dalam mempolitikkan kes berkenaan.

Malaysia pada Isnin telah memanggil pulang dutanya di Pyongyang, dan dijadualkan terbang pulang pada hari berikutnya.

Pada Selasa, Perdana Menteri Najib Razak menyifatkan komen yang dibuat oleh Duta Korea Utara Kang Chol sebagai tindakan "diplomasi biadap."


Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.