Majikan Tanggung Penghantaran Pulang Warga Korea Utara Yang Menyerah Diri

Laja Laing
2017.04.21
Kuching, Sarawak
170421-my-korea620.jpg Bendera Korea Utara yang sedang berkibar di Pejabat Kedutaan Korea Utara di Kuala Lumpur, 27 Mac 2017.
AFP

Hampir 300 warga Korea Utara yang menyerah diri kepada pihak penguatkuasaan Imigresen Malaysia dihantar pulang secara berperingkat bermula awal April dengan kos ditanggung pihak majikan masing-masing, demikian menurut pegawai di jabatan berkenaan.

Menurut sumber dari Jabatan Imigresen Sarawak, kumpulan pertama yang dihantar pulang adalah pada awal April.

“Penghantaran pulang itu dilakukan secara peringkat bermula dengan 44 orang warga Korea Utara pada April 10,” kata sumber itu kepada BeritaBenar pada Jumaat.

Sementara itu, kos penghantaran kesemua 296 warga Korea Utara yang didapati tinggal melebihi tempoh yang dibenarkan dan tamat tempoh permit bekerja dibayar oleh pihak majikan.

"Majikan pekerja berkenaan bertanggung jawab untuk membiayai kos penghantaran pulang mereka ke negara asal.

"Memang ada yang sudah balik. Namun saya tidak ada jumlah itu sekarang kerana ia juga bergantung kepada penerbangan dan sebagainya," kata Ketua Pengarah Jabatan Imigresen, Mustafar Ali di satu majlis di Selangor pada Khamis.

Tambahnya, kesemua mereka itu bekerja di industri arang batu, empangan hidroelektrik di Sarawak.

Sarawak adalah satu-satunya negeri di Malaysia yang membenarkan syarikat mengambil pekerja Korea Utara melalui satu rancangan khas antara Kerajaan Negeri dan Korea Utara di mana majoriti warganegara itu bekerja di lombong arang batu, empangan hidroletrik dan industri pembinaan di kawasan pedalaman Lawas.

“Kesemua 296 orang warga Korea Utara ini telah dan akan keluar dari Malaysia secara berperingkat dengan kerjasama majikan, dan daripada jumlah itu 113 orang menyerah diri kepada pihak berkuasa, “ kata Mustafar dalam satu kenyataan pada Selasa.

Ketegangan Malaysia dan Korea Utara bermula apabila Kim Jong Nam yang juga merupakan abang tiri kepada pemimpin diktator Korea Utara Kim Jong Un, telah diserang dengan agen saraf yang diharamkan di peringkat antarabangsa di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur [KLIA] sewaktu menunggu penerbangan ke Macau.

Beliau mati dalam perjalanan ke Hospital Putrajaya.

Akibat insiden itu, kedua-dua negara telah mengusir duta, membeku program bersama yang membenarkan rakyat memasuki negara tanpa visa dan mengenakan larangan keluar terhadap rakyat yang berada di negara satu sama lain.

Kuala Lumpur dan Pyongyang juga bersetuju pada 30 Mac lalu,  untuk menyelesaikan konflik selama enam minggu itu dengan menghantar mayat Kim Jong Nam ke negara komunis itu, sebagai pertukaran bagi sembilan rakyat Malaysia yang terperangkap di sana akibat larangan keluar dari negara berkenaan.

Pihak berkuasa Malaysia telah mendakwa dua wanita - seorang warga Indonesia dan seorang wanita Vietnam – dengan pertuduhan membunuh Kim Jong Nam, tetapi pegawai-pegawai di Korea Selatan dan Amerika Syarikat melihat mereka diperalatkan dalam satu operasi yang dijalankan oleh ejen-ejen Korea Utara.

Sebelum ini, warga Korea Utara di negeri Sarawak itu dilaporkan “menghilangkan diri” apabila Kerajaan Malaysia telah menghalang rakyat negara itu meninggalkan negara itu.

Penduduk Sarawak hanya sedar tentang kehadiran rakyat Korea Utara berada di negeri itu apabila seorang daripadanya mati dalam satu letupan di sebuah lombong arang batu di Sri Aman tiga tahun lepas.

Fadzil Aziz turut menyumbang kepada laporan ini.

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.