Dua Wanita Dituduh Bunuh Kim Jong Nam di Malaysia

Anis Natasha
2017.03.01
Sepang, Malaysia
170301_MY_NK_DOAN_620.jpg Pihak berkuasa Malaysia mengiringi wanita Vietnam Doan Thi Huong beredar keluar dari Mahkamah Majistret di Sepang, Malaysia, di mana dia dituduh membunuh seorang lelaki Korea Utara, 1 Mac, 2017.
[Anis Natasha/BeritaBenar]

Kemaskini pada 19.00 p.m ET - 2017-03-01

Dua wanita, yang ditahan berhubung pembunuhan menggunakan agen saraf terhadap abang tiri  pemimpin Korea Utara Kim Jong Un, dihadapkan dan dituduh dengan pembunuhan beliau di sebuah mahkamah Malaysia pada Rabu.

Rakyat Indonesia Siti Aisyah, 25, dan warganegara Vietnam Doan Thi Huong, 28,  dikawal ketat semasa diiringi ke Mahkamah Majistret yang penuh sesak di daerah Sepang, lokasi lapangan terbang antarabangsa Kuala Lumpur di mana Kim Jong Nam  dibunuh pada 13 Feb lalu.

Kes itu ditangguhkan ke 13 April depan untuk memberi masa yang mencukupi kepada pendakwa raya dan peguam pembelaan kedua-dua wanita itu bagi menyediakan hujah-hujah mereka dalam perbicaraan itu, yang akan dijalankan di mahkamah lebih tinggi.

Kedua-dua wanita itu dibawa ke mahkamah secara berasingan, masing-masing diiringi oleh tujuh kereta peronda dan pengiring. Mereka beredar meninggalkan mahkamah dengan memakai jaket kalis peluru.

Aisyah, ibu kepada seorang kanak-kanak dan berasal dari Jakarta, tiba di mahkamah dengan memakai baju merah yang sedondon dengan rambutnya yang diwarnakan merah namun dia kelihatan resah, manakala Huong,  wanita yang mewarnakan rambutnya perang dan berasal dari luar bandar utara Vietnam, memakai baju kuning. Mereka menghadapi hukuman mati jika disabitkan dengan kesalahan itu.

Tidak bersalah

Pegawai mahkamah membacakan pertuduhan membunuh itu secara berasingan kepada mereka namun tiada pengakuan  rasmi direkodkan.

Kedua-dua wanita itu dituduh membunuh Kim Jong Nam bersama-sama  empat orang lain yang masih bebas pada kira-kira 9 pagi di balai berlepas Kuala Lumpur International Airport 2 (klia2), berdasarkan pertuduhan sama yang dibacakan kepada mereka.

Aisyah berkata dia memahami pertuduhan itu dan mengaku tidak bersalah apabila jurubahasa mahkamah secara tidak sengaja meminta pengakuannya, menurut seorang wartawan BeritaBenar yang membuat liputan di mahkamah.

Huong pada mulanya kelihatan seolah-olah tidak memahami pertuduhan itu sehinggalah seorang pegawai mahkamah mencelah dan meminta penjelasannya. "Saya faham," katanya kemudian.

Peguam utama Aisyah, Gooi Soon Seng, berjaya meminta mahkamah supaya mengeluarkan perintah larangan terhadap polis dan saksi-saksi  berpotensi bagi menghalang mereka daripada bercakap kepada media mengenai aspek kes itu, yang menjadi tumpuan antarabangsa.

Kementerian Luar Negeri di Jakarta berkata, peguam pembelaan telah diberikan kebenaran untuk mendapatkan “perintah larangan’’ supaya  tidak mendedahkan butiran siasatan "untuk memastikan tidak ada campur tangan dalam proses undang-undang yang sedang dijalankan itu," lapor Agence France-Presse.

Kedua-dua wanita itu kini ditahan di sebuah penjara di Kajang, bandar di selatan Kuala Lumpur, ibu negara Malaysia, kata Gooi. "Saya akan cuba dan bertemu dengannya (Aisyah) minggu depan," katanya.

"Aisyah kelihatan resah, matanya merah," katanya. "Dia tidak menangis di dalam kamar mahkamah tetapi saya rasa dia menangis sebelum itu."

Peguam Huong pula memberitahu pemberita di luar mahkamah bahawa anak guamnya berkata dia tidak bersalah, lapor Reuters.

"Dia menafikannya. Dia menafikannya. Dia berkata 'Saya tidak bersalah, "kata Selvam Shanmugam.

"Sudah tentu, dia pasti amat tertekan kerana berdepan dengan hukuman mati," katanya.

Di Vietnam, bapa Huong memberi maklum balas terhadap berita mengenai pertuduhan membunuh yang dikenakan terhadap anak perempuannya.

"Kami telah membaca mengenainya (perbicaraan itu) dalam talian. Kami amat sedih dan bimbang, tetapi kami tidak tahu apa yang perlu dilakukan. Dia okay sebelum ini dan ini adalah sesuatu yang kami tidak sangka akan berlaku kepadanya," kata Doan Van Thanh kepada perkhidmatan Vietnam Radio Free Asia (RFA), entiti BeritaBenar.

Rakyat Indonesia Siti Aisyah diiringi keluar dari mahkamah di mana dia dituduh membunuh dalam Kim Jong Nam, 1 Mac 2017 [AnisNatasha / BeritaBenar]

Pyongyang tolak dakwaan

Para pegawai Amerika Syarikat dan Korea Selatan telah menuduh ejen Korea Utara mendalangi pembunuhan Kim Jong Nam. Adiknya Kim Jong Un didakwa mengeluarkan perintah tetap supaya abangnya dibunuh kerana bimbang beliau boleh dipergunakan dalam mana-mana penggulingan rejim kejamnya.

Aisyah dan Huong telah memberitahu polis bahawa mereka ditipu untuk membunuh Kim Jong Nam oleh "kawan-kawan" yang memberitahu mereka ia hanya gurauan tidak berbahaya bagi satu rancangan realiti, menurut laporan berita.

Pihak berkuasa Malaysia telah menuduh Korea Utara membuat urusan  supaya Aisyah dan Huong menyapu agen saraf  VX yang membawa maut pada muka Jong Nam. Kimia itu adalah antara yang terdapat dalam senarai senjata  pemusnah besar-besaran yang diharamkan oleh Pertubuhan Bangsa Bersatu.

Rakaman CCTV yang tural di internet menunjukkan dua wanita melakukan serangan itu. Pihak berkuasa Malaysia menahan suspek beberapa hari kemudian.

Seorang lelaki Korea Utara yang ditahan di Malaysia, Ri Jong Chol, dilaporkan memegang ijazah doktor falsafah dalam bidang kimia. Dia adalah seorang daripada lapan rakyat Korea Utara yang dinamakan sebagai suspek oleh polis dalam pembunuhan itu.

Pada  Rabu, Pyongyang berkata adalah "tidak masuk akal" tentang penggunaan VX, dan  berkata, Korea Selatan dan Amerika Syarikat telah melancarkan kempen untuk menjatuhkan negara komunis tegas itu.

Ia adalah "kemuncak kemustahilan untuk mendakwa bahawa orang yang meggunakan VX ... tidak langsung terjejas dan orang yang bahan itu digunakan terhadapnya berakhir dengan kematian," lapor agensi berita rasmi Korea Utara, KCNA,  dengan memetik pakar yang tidak dikenali sebagai berkata.

Di mahkamah itu dan kawasan sekitarnya pada Rabu, terdapat ramai anggota polis bersenjata dari Pasukan Petugas Khas Jenayah Terancang (STAFOC).

Para wartawan mula tiba di mahkamah seawal 5 pagi. Hanya 30 orang daripada mereka dibenarkan masuk ke mahkamah manakala lebih daripada seratus menunggu di luar ketika  perbicaraan bermula kira-kira 10 pagi.

Hubungan antara Malaysia dan Korea Utara telah merosot berikutan kes pembunuhan itu. Minggu lalu, Malaysia memanggil pulang dutanya dari Pyongyang selepas Duta Korea Utara berulang kali mengecam siasatan dan keengganan Malaysia untuk menyerahkan mayat Kim Jong Nam.

Pada Selasa, delegasi peringkat tinggi Korea Utara  tiba di Kuala Lumpur bagi menuntut mayat mangsa.

Menteri Kesihatan Malaysia Subramaniam Sathasivam berkata Malaysia mahu mayat itu dikenal pasti oleh pemeriksa DNA atau cara lain sebelum ia boleh menyerahkan mayat itu. Beliau berkata protokol untuk menyerahkan mayat kepada keluarga terdekat akan dibuat selepas proses mengenal pasti identiti  selesai dilakukan.

Kim Jong Nam dipercayai mempunyai dua anak lelaki dan seorang anak perempuan bersama-sama dengan dua wanita yang tinggal di Beijing dan Macau.

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.