Malaysia Sahkan Satu Lagi Kes Koronavirus, WHO Isytihar Kecemasan Kesihatan Dunia

Noah Lee
2020.01.30
Kuala Lumpur, Malaysia
200130-PH-CH-SEA-coronavirus1000.jpg Pelajar memakai topeng muka sebagai perlindungan di Quezon City, Manila, Filipina, 30 Januari, 2020.
[Basilio Sepe/BeritaBenar]

Pihak berkuasa kesihatan Malaysia pada Khamis mengesahkan terdapatnya satu lagi kes baharu positif koronavirus 2019-nCoV, menjadikan lapan kes dilaporkan di negara itu, dengan Pertubuhan Kesihatan Dunia (WHO) telah mengisytiharkan wabak tersebut sebagai kecemasan kesihatan dunia.

Pada hari yang sama juga Menteri Dalam Negeri Malaysia berkata seramai 14 pelancong warga China yang berasal dari Wuhan dan baru tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) telah diarahkan pulang oleh Jabatan Imigresen Malaysia, dua hari lalu.

Ketua Pengarah Kesihatan, Noor Hisham Abdullah berkata pesakit ke-lapan seorang warga China adalah isteri kepada lelaki yang merupakan pesakit ketujuh yang dilaporkan sebelum ini dijangkitkan virus itu di Malaysia.

"Kes kelapan terbaharu yang dilaporkan positif adalah dari kalangan kontak rapat dan merupakan isteri kepada kes ketujuh yang sebelum ini telah dilaporkan di Johor pada 29 Januari. Wanita berusia 49 tahun itu kini berada di wad isolasi di Hospital Permai Johor dengan dilaporkan berada dalam keadaan stabil," kata Noor Hisham dalam satu kenyataan yang dikeluarkan di Putrajaya pada Khamis.

Beliau turut memaklumkan yang Kementerian Kesihatan Malaysia mengesan seramai 32 orang kontak rapat pesakit yang disahkan positif virus baru itu dan kesemua mereka diletakkan di bawah Perintah Pemantauan dan Pengasingan, di mana mereka diberikan pemantauan rapi oleh petugas kesihatan.

Pada Khamis juga, WHO telah mengisytiharkan yang wabak koronavirus Wuhan itu sebagai kecemasan kesihatan dunia sambil mengakui wabak itu kini merupakan risiko di luar China.

Ketua Pengarah WHO Tedros Adhanom Ghebreyesus berkata "Sebab utama perisytiharan ini bukanlah terhadap apa yang berlaku di China tetapi apa yang berlaku di negara lain, dengan kebimbangan bahawa ia boleh merebak ke negara-negara yang mempunyai sistem kesihatan yang lemah,”

WHO juga berkata, jumlah korban maut yang dilaporkan di China adalah seramai 170 orang dengan terdapat 98 kes telah dilaporkan di 18 buah negara di luar China, tetapi tiada kematian direkodkan.

Virus itu dipercayai mula muncul di sebuah pasar yang menjual haiwan liar, dan merebak dengan jauh dan meluas disebabkan cuti sempena Tahun Baharu China di mana ratusan juta warga China telah melakukan perjalanan di dalam mahupun di luar negara.

Sementara itu Muhyiddin pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Bukit Aman memberitahu pemberita yang Kementerian Dalam Negeri telah menerima laporan bahawa terdapat 14 warga China yang berasal dari Wuhan yang mahu memasuki Malaysia melalui KLIA pada 28 Januari, telah diarahkan pulang segera.

“Hasil semakan dokumen petugas imigresen di KLIA mendapati 14 warga China itu berasal dari Wuhan, China. Justeru, pihak imigresen mengeluarkan notis ‘Not To Land’ kepada semua mereka dan seterusnya dihantar pulang.

"Ia mengikut Prosedur Operasi Standard (SOP) yang ditetapkan iaitu semua pelawat yang berasal dari Wuhan dan wilayah Hubei adalah dilarang untuk memasuki negara ini dari semua pintu sempadan," katanya

Semasa ditanya sama ada penerbangan yang mereka naiki ke KLIA adalah daripada Wuhan, Hubei atau wilayah lain, Muhyiddin berkata “itu soal kedua tetapi kita melihat dari mana asal mereka, bila kita tenguk mereka berasal atau penduduk Wuhan, Hubei, jadi pihak Imigresen yang sudah mempunyai arahan yang pelawat dari tempat-tempat ini tidak dibenarkan mendarat – not to land – telah mengarahkan kesemua mereka dihantar pulang ‘immediately’,”

Penularan berita palsu


Dalam pada itu Muhyiddin turut mengulas mengenai penularan berita palsu mengenai virus tersebut yang disebarkan secara meluas di laman media sosial supaya tidak memutarbelitkan fakta.

"Saya dimaklumkan terdapat tujuh kes penyebaran berita palsu berkaitan koronavirus diambil tindakan oleh pihak polis dengan kerjasama Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM)… dalam situasi kritikal seperti ini, jangan main-main dengan berita palsu kerana tindakan sedemikian boleh mencetuskan perasaan panik dan takut di kalangan masyarakat," katanya.

SKMM dengan kerjasama Polis telah menahan empat individu yang dipercayai menyebarkan kandungan berita palsu mengenai penularan jangkitan koronavirus di laman media sosial.

Kesemua suspek berusia antara 24 dan 49 tahun itu ditahan dalam empat serbuan berasingan di Melaka, Kedah dan Pahang dalam operasi yang dijalankan suruhanjaya itu, demikian menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh SKMM.

NADMA ke China


Sementara itu, Menteri Luar Saifuddin Abdullah berkata kerajaan mahu membawa pulang kira-kira 80 rakyat Malaysia dari Wuhan dalam masa terdekat dan berharap dapat dilakukan dalam masa dua atau tiga hari lagi.

“Wisma Putra [Kementerian Luar Negeri] sudah berbincang dengan China berhubung perkara itu dan apabila pengesahan diterima Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) bersama beberapa pegawai perubatan akan berlepas dengan penerbangan komersil ke Wuhan," katanya kepada pemberita di Kuantan pada lewat petang Khamis.

Beliau menambah NADMA akan membuat pengumuman mengenai butiran seperti tarikh dan masa penerbangan.

"Kami akan menggunakan penerbangan komersial untuk membawa pulang rakyat Malaysia dari Wuhan kerana China hanya membenarkan penerbangan komersil walaupun Tentera Udara kita ada menawarkan perkhidmatan membawa pulang rakyat Malaysia yang terkandas,” tambah Menteri Luar itu lagi.

Saifuddin berkata pegawai perubatan turut akan diterbang ke Wuhan bersama penebangan membawa pulang itu untuk memeriksa keadaan kesihatan rakyat Malaysia di sana sebelum  mereka sekali lagi akan diperiksa setibanya di Tanahair dengan perlu melalui proses kuarantin sebelum dibenarkan balik ke rumah masing-masing.

Beliau menambah terdapat kira-kira 80 rakyat Malaysia di Wuhan yang terdiri daripada sembilan pelajar, 11 pasangan yang berkahwin dengan warga China dan seorang rakyat Afrika Selatan yang berkahwin dengan rakyat Malaysia dan menetap di Wuhan.

"Mengikut rekod kira-kira 115 rakyat Malaysia berada di Wuhan di wilayah Hubei itu tetapi beberapa daripadanya telah pulang ke Malaysia atau melakukan perjalanan ke tempat lain untuk cuti perayaan. Seramai 35,000 rakyat Malaysia tinggal di China dengan 25,000 daripadanya di Hong Kong dan 2,500 di Beijing, "katanya.

Malaysia juga tambah Menteri Luar itu akan menghantar sekitar 10 juta sarung tangan getah perubatan melalui pesawat itu ke Wuhan.

Ali Nufeal di Kuala Lumpur turut menyumbang kepada laporan ini.




Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.