Kuala Lumpur Mahu Dhaka Cari Jalan Keluar Masalah Pekerja Tanpa Dokumen, Tinggal Lebih Masa

Hadi Azmi & Ali Nufael
2018.09.26
Kuala Lumpur, Malaysia
180926-my-kulasegaran620.jpg Menteri Sumber Manusia M Kula Segaran bertemu dengan Menteri Kebajikan Ekspatriat dan Pekerjaan Luar Negara Bangladesh, Nurul Islam, di Putrajaya, 25 September, 2018.
[Ihsan Kementerian Sumber Manusia]

Malaysia berhasrat menyelesaikan masalah longgokan pekerja asing Bangladesh tanpa dokumen serta mereka yang tinggal melebihi tempoh yang dibenarkan di negara ini, dan meminta pentadbiran Dhaka mencari jalan serta cara terbaik untuk bekerjasama supaya penghantaran pulang dapat dilakukan dengan segera.

"Kementerian telah meminta kerajaan Bangladesh mencari jalan dan cara untuk bekerjasama dalam proses penghantaran pulang membabitkan rakyat Bangladesh yang berada di Malaysia secara haram sambil menyatakan bahawa kerajaan Malaysia akan mengalu-alukan rakyat Bangladesh yang memiliki dokumen untuk bekerja di Malaysia pada masa depan," kata Menteri Sumber Manusia M Kula Segaran dalam satu kenyataan media pada Rabu.

Kenyataan itu dikeluarkan sehari selepas Menteri berkenaan mengadakan pertemuan dua hala dengan Menteri Kebajikan Ekspatriat dan Pekerjaan Luar Negara Bangladesh, Nurul Islam, di pusat pentadbiran negara di Putrajaya selama 30 minit pada Selasa.

"Kami pastinya mahu bekerjasama dengan Bangladesh bagi mewujudkan sistem yang cekap, telus dan produktif kepada rakyat mereka untuk bekerja di negara ini," kata Kulasegaran.

Kula Segaran juga berkata Nurul Islam telah melahirkan kebimbangan berhubung cara untuk mengukuhkan hubungan buruh antara kedua-dua negara dan menyelesaikan masalah pekerja haram rakyat Bangladesh yang ingin mencari pekerjaan.

"Nurul Islam juga menekankan kepentingan mengukuhkan hubungan dengan kerajaan baharu Pakatan Harapan dan menyelesaikan masalah warga Bangladesh yang tinggal melebihi tempoh di Malaysia," kata menteri dari Malaysia itu.

Sementara itu, di Dhaka, Israfil Alam yang juga Ahli Jawatankuasa Parlimen mengenai Kebajikan Ekspatriat dan Pekerjaan Luar Negara Bangladesh memberitahu BeritaBenar, “Ya, Malaysia telah melahirkan kebimbangan mengenai pekerja Bangladesh yang tidak memiliki dokumen. Dasar kami ialah menggesa kerajaan Malaysia untuk menghalalkan mereka dengan menerima pakai satu polisi.”

"Kami meminta Kementerian Luar Negara supaya mempercepat usaha diplomatik dalam menjadikan semua pekerja tanpa izin yang berada di negara itu, ditukar status mereka kepada pekerja asing berdokumen yang sah di sisi undang-undang. Sekiranya Malaysia mahu menghantar mereka pulang, kami akan bekerjasama dengan pentadbiran negara itu, " kata Alam yang mengetuai beberapa anggota parlimen negara itu melawat Kuala Lumpur bagi menyiasat masalah pekerja Bangladesh di Malaysia baru-baru ini.

Kula Segaran juga menyifatkan pertemuan dua hala itu membuahkan hasil kerana Putrajaya merancang mengambil alih pengurusan skim insurans untuk pekerja asing selain mewujudkan aplikasi sistem tunggal dalam membanteras kebimbangan terhadap peningkatan kos pengambilan dan amalan yang tidak bertanggungjawab semasa proses pengambilan pekerja berlangsung.

Sementara itu, bercakap kepada BeritaBenar dalam satu temu bual telefon, Duta Bangladesh ke Malaysia, Shahidul Islam, mendedahkan bahawa Malaysia telah bersetuju untuk menerima pekerja Bangladesh yang dihantar oleh mana-mana agensi yang sah, pada mesyuarat di Putrajaya itu.

Mengikut dasar semasa, hanya 10 agensi boleh menghantar pekerja Bangladesh ke Malaysia, yang ditetapkan oleh kerajaan terdahulu Malaysia.

"Mesyuarat yang diadakan amat produktif kerana telah bersetuju bahawa semua agensi pengambilan pekerja Bangladesh yang sah dibenar menghantar pekerja ke Malaysia. Ini akan meningkatkan persaingan di kalangan agensi dan hasilnya akan mengurangkan kos penghantaran," kata Islam.

G2G

NGO hak asasi Malaysia, Tenaganita, sebelum ini melahirkan kebimbangan berhubung proses pengambilan semula pendatang tanpa izin kerana kebanyakan pekerja yang tidak berdokumen telah ditipu oleh ejen dan orang tengah.

Pengarah Tenaganita, Aegile Fernandez, memberitahu BeritaBenar bahawa proses itu hendaklah dilakukan antara kerajaan Malaysia dan Bangladesh tanpa campur tangan pihak lain.

"Bagi menghentikan sebarang bentuk gangguan, ejen dan orang tengah tidak boleh terlibat. Ia hendaklah dilakukan antara kerajaan kepada kerajaan. Bagaimanapun, perkara sedemikian tidak berlaku. Sebaliknya ejen dan orang tengah telah diberikan kuasa untuk melakukan proses pengambilan semula pekerja terbabit," katanya.

Aegile selanjutnya menjelaskan bahawa beliau menerima terlalu banyak aduan berkaitan penderaan membabitkan ejen dan orang tengah.

Hujah beliau disokong oleh satu kes yang berlaku pada Jun di mana hampir 270 pekerja Bangladesh telah ditipu oleh seorang ejen membabitkan wang berjumlah lebih RM1.8 juta (Tk 3.6 crore) bagi mendapatkan permit kerja sah di bawah program pengambilan semula pekerja Malaysia.

Setiap mangsa telah membayar antara RM7,200 dan RM8,000 kepada ejen untuk mendapatkan permit kerja.

Menurut migran dan aktivis hak asasi, hampir sejuta rakyat Bangladeshi kini tinggal di Malaysia.  Separuh daripada mereka sama ada masih menunggu proses pengambilan semula atau telah ditipu oleh ejen dan broker.

Sementara itu, program pengambilan semula bagi pekerja migran haram yang berakhir pada bulan Jun tahun ini telah disifatkan sebagai satu kegagalan kerana kurang daripada 50 peratus permohonan diluluskan, kata beberapa kumpulan majikan.

Pengarah Eksekutif Persekutuan Majikan-Majikan Malaysia (MEF), Shamsudin Bardan, berkata sejumlah 828,861 permohonan telah diserahkan namun hanya 450,000 permit dikeluarkan oleh Jabatan Imigresen.

“Ia tidak mencapai sasaran yang kami harapkan… Daripada permohonan yang dikemukakan, sejumlah 100,000 telah ditolak manakala 450,000 diluluskan. Sementara bakinya, mereka (pekerja dan majikan) tidak berhasrat untuk meneruskan proses itu kerana pekerja terbabit tidak melengkapkan pemeriksaan kesihatan mereka atau permohonan biometrik, atau mereka tidak memiliki pasport.

“Mereka yang tidak layak tidak lagi boleh memohon kerana program pengambilan semula itu telah berakhir seperti program pengampunan 3+1,” kata Shamsudin, merujuk angka yang dikeluarkan oleh Jabatan Imigresen.

Program pengambilan semula pekerja asing itu bermula pada bulan Februari 2016 dan berakhir pada 30 Jun tahun ini. Ia dimulakan bagi membantu majikan menghalalkan pekerja asing.

Ia bertindih dengan satu program pengampunan yang berakhir pada 30 Ogos, yang mensyaratkan pekerja asing haram membayar denda sebanyak RM300 dan RM100 bagi pas khas untuk pulang ke negara masing-masing.

Di bawah program pengampunan itu yang bermula pada 2014, lebih 840,000 pendatang tanpa izin telah dihantar pulang ke negara asal manakala sejumlah RM400 juta kompaun dikutip.

Tahun lepas, Nurul Islam memaklumkan satu sidang parlimen bahawa Bangladesh telah menghantar sejumlah 10,08,525 pekerja ke luar negara.

Sejumlah 99,787 pekerja telah dihantar ke Malaysia pada 2017 di bawah sistem kerajaan kepada kerajaan berkaitan pengurusan sektor swasta.


Kamran Reza Chowdhury turut menyumbang kepada laporan ini.

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.