Pakar: Latihan Ketenteraan Pasca Pandemik Pertama di Laut China Selatan Amat ‘Signifikan’

S. Adie Zul, Nisha David, Dizhwar Bukhari & Muzliza Mustafa
Kuala Lumpur
2021-08-20
Share
Pakar: Latihan Ketenteraan Pasca Pandemik Pertama di Laut China Selatan Amat ‘Signifikan’ Peluru berpandu Exocet MM40 dilancarkan dari kapal KD Lekir semasa eksesais "Taming Sari" oleh Tentera Laut Diraja Malaysia, 12 Ogos 2021.
[Ihsan Tentera Laut Diraja Malaysia]

Kejayaan ujian pelancaran tiga peluru berpandu Malaysia di Laut China Selatan pada minggu lalu menunjukkan keupayaan dan kesiapsiagaan tentera negara berkenaan dalam menangani ancaman luar di perairan yang menjadi pertikaian itu, kata penganalisis pada Jumaat.

Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) mengadakan latihan ketenteraan itu, yang dinamakan sebagai Eksesais Taming Sari, selama enam hari dan berakhir pada 12 Ogos lalu. Ia menyaksikan kapal perang dan kapal selam TLDM berjaya melakukan pelancaran peluru berpandu anti kapal. Ia merupakan latihan perang pertama yang diadakan selepas pandemik COVID-19 melanda Malaysia awal tahun lalu. Malaysia mengadakan latihan terakhinya pada 2019 iaitu lima tahun selepas latihan sebelum itu.

Eksesais itu "amat signifikan" kerana ia diadakan selepas 16 pesawat tentera China mencerobohi ruang udara maritim Malaysia pada Mei lalu, dan menunjukkan kesiapsiagaan tempur tentera Malaysia, kata Lai Yew Meng yang merupakan penganalisis keselamatan serantau kepada BenarNews.

Pada 31 Mei, Tentera Udara Diraja Malaysia mengesan 16 pesawat tentera China memasuki ruang udara maritim Malaysia dan terbang berhampiran ruang udara nasional negara itu, yang berdekatan dengan kawasan beting pertikaian di Laut China Selatan yang ditadbir oleh Malaysia.

Ia mendorong Malaysia untuk mengerah jet tempur ringan Hawk 200 dari pangkalan TUDM Labuan, yang terletak berdekatan, setelah pesawat China gagal memberi maklum balas kepada pengawal trafik udara tempatan.

Pencerobohan itu merupakan "cubaan tentera China untuk menguji kesiapsiagaan tempur dan keupayaan operasi Malaysia, sekiranya berlaku kontingensi tentera di Laut China Selatan," kata Lai.

China menuntut sebahagian besar Laut China Selatan yang kaya dengan mineral dan menjadi laluan utama bagi beberapa perkapalan antarabangsa penting di dunia. Malaysia, Filipina, Brunei, Vietnam dan Taiwan juga mempunyai tuntutan wilayah bertindih di Laut China Selatan.

"Eksesais seperti Taming Sari ini perlu diadakan bagi menyanggah persepsi mengenai keupayaan dan tekad Malaysia dalam mempertahankan kedaulatan negara," kata Lai.

Semasa eksesais itu diadakan, kapal selam TLDM iaitu KD TUN RAZAK berjaya melancarkan peluru berpandu anti kapal, Exocet SM39, manakala dua kapal lain, KD LEKIU dan KD LEKIR, turut melancarkan peluru berpandu Exocet MM40, yang merupakan inventori Angkatan tentera laut itu sejak 2000.

Kedua-dua peluru berpandu anti kapal itu dihasilkan oleh pengeluar pertahanan Perancis, MBDA. MM40 Exocet dapat mencapai sasaran sejauh 35 batu manakala SM39 Exocet boleh mencapai sasaran sejauh 22 batu.

Lebih 1,000 anggota pasukan keselamatan itu mengambil bahagian dalam eksesais berkenaan, yang menyaksikan lebih 12 aset termasuk kapal selam, empat jet pejuang F/A-18D Hornet, lima Kapal Tempur Pantas, dua helikopter Super Lynx dan sembilan kapal digunakan.

Eksesais itu diadakan seminggu sebelum peletakan jawatan perdana menteri Malaysia, Muhyiddin Yassin. Negara itu juga sedang menghadapi lonjakan kes baru COVID-19, walaupun ia melaksanakan perintah kawalan pergerakan, dengan lebih 1.5 juta dijangkiti virus itu setakat ini.

'Merangsang psikologi'

Kejayaan latihan minggu lalu merupakan "rangsangan psikologi untuk pasukan keselamatan Malaysia kerana ia menunjukkan keupayaan kesiapsiagaan angkatan laut negara terutamanya ketika Malaysia menghadapi pelbagai ancaman keselamatan maritim khususnya di Laut China Selatan," kata seorang lagi pakar, Ramli Dollah.

Awal bulan ini, Malaysia juga menyertai eksesais tahunan ke-20 Kerjasama dan Latihan Asia Tenggara (SEACAT) bersama-sama dengan Amerika Syarikat (AS) dan 20 negara lain.

Lai berkata latihan ketenteraan dan tentera laut multilateral seperti itu merupakan ciri penting dalam dasar "perlindungan nilai" Malaysia, yang bertujuan untuk memperkukuhkan keupayaan pertahanan terhad negara melalui perkongsian dengan rakan-rakan pertahanan tradisi terhadap ancaman dan cabaran keselamatan di tengah-tengah ketidakpastian geopolitik di rantau ini.

"Selain menjadi penghalang kepada potensi desakan China di Laut China Selatan, latihan multilateral seperti itu yang melibatkan AS pasti memberikan lebih keyakinan kepada negara-negara serantau mengenai kewibawaan Washington sebagai rakan sekutu dan penyedia keselamatan serantau," katanya.

Sementara itu, Ramli berkata bahawa China akan menafsirkan latihan SEACAT itu sebagai usaha untuk mengimbangi kehadirannya di Laut China Selatan, terutamanya di wilayah pertikaian di Kepulauan Spratly.

"Tidak dapat dinafikan bahawa hubungan AS-China menjadi tegang akibat pelbagai isu terutamanya masalah mengenai Laut China Selatan. Ketegangan seperti itu tidak dapat dihindari kerana hakikatnya negara-negara yang menuntut dan negara-negara lain sedang berusaha untuk mengimbangi kehadiran China yang semakin agresif di rantau ini,” katanya kepada BenarNews.

Pada Jun lalu, pihak berkuasa Malaysia mengeluarkan peta yang menunjukkan bahawa beberapa jet China terbang melalui Luconia Shoals sebelum berpusing balik pada jarak 60 batu nautika dari pesisir Malaysia di sekitar James Shoal.

Malaysia menuntut kedua-dua ciri maritim itu, yang terletak di dalam zon ekonomi eksklusif negara tersebut. Tetapi, China turut menuntut pemilikan beting berkenaan kerana mendakwa kedua-duanya terletak di dalam wilayah sembilan garis putus yang dinamakan China, yang digunakannya untuk menuntut sebahagian besar Laut China Selatan.

Luconia Shoals, yang dikenali di Malaysia sebagai Beting Patinggi Ali, semakin sering dikunjungi kapal-kapal milik Pengawal Pantai China, menurut Asia Maritime Transparency Initiative iaitu badan pemikir AS yang menjalankan penyelidikan mengenai data pengesanan kapal.

Bulan lalu, ia berkata bahawa sejak Jun, kapal Pengawal Pantai China memberi tekanan dan mengganggu projek minyak dan gas baru Malaysia di Laut China Selatan, yang terletak di luar pesisir negeri Sarawak di Pulau Borneo.

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.

Lihat Laman Penuh