Lelaki keluar kenyataan sokong hubungan diplomatik Malaysia dengan Israel ditahan

Beliau mendakwa rakyat Malaysia menjadi mangsa keganasan dan propaganda Arab yang melampau semasa ditemu bual pempengaruh Israel.
Nani Yusof dan Iman Muttaqin Yusof
2023.12.06
Washington dan Kuala Lumpur
Lelaki keluar kenyataan sokong hubungan diplomatik Malaysia dengan Israel ditahan Aktivis sayap kiri Israel mengadakan demonstrasi berhampiran Kementerian Pertahanan di Tel Aviv, menggesa gencatan senjata dan pertukaran tebusan di tengah-tengah pertempuran berterusan antara Israel dan kumpulan militan Hamas Palestin, 5 Disember 2023.
[Marco Longari/AFP]

KEMASKINI pada 9.30 pagi waktu tempatan ETS - 2023-12-07

Polis Malaysia telah menahan seorang lelaki, yang memuat naik temu bual bersama pempengaruh media sosial Israel dan mengeluarkan kenyataan menyokong hubungan diplomatik Malaysia dengan negara itu, bagi membantu siasatan.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman Mohd Shuhaily Mohd Zain berkata, perintah tahanan reman suspek selama tiga hari, yang bermula hari ini, telah diperoleh daripada Mahkamah Majistret Johor Bahru bagi membantu siasatan oleh Unit Siasatan Jenayah Terkelas Bahagian D5 Bukit Aman.

“Polis Diraja Malaysia mengesahkan telah membuat tangkapan terhadap individu yang dikenali dengan nama Victor Yong, berumur 36 tahun bagi membantu siasatan berhubung kenyataan menyokong hubungan diplomatik dengan Israel.

“Kenyataan itu dibuat dalam satu temu bual bersama pempengaruh media sosial Israel bernama Hananya Naftali yang telah dimuat naik dalam laman TikTok portal Malaysia Gazette,” menurutnya dalam kenyataan pada lewat Rabu.

Beliau berkata siasatan dibuat mengikut Seksyen 4(1) Akta Hasutan 1948, Seksyen 505(b) Kanun Keseksaan serta Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

Mohd Shuhaily turut menasihati orang ramai agar tidak membuat sebarang ulasan atau spekulasi mengenai kes itu kerana ia masih dalam siasatan.

"Polis mengingatkan orang ramai agar menjadi pengguna media sosial yang bijak dan tidak menggunakan kemudahan aplikasi bagi maksud yang menyalahi undang-undang," katanya.

Video tular berdurasi 5 minit dan 32 saat bertarikh 16 Dis 2021 di YouTube milik Hananya bertajuk ‘Malaysia And Israel – From Enemies To Allies?’ memaparkan temu bual pempengaruh Israel itu dengan Yong, yang menetap di Johor Bahru.

Yong mendakwa rakyat Malaysia menjadi mangsa keganasan serta propaganda Arab yang melampau dan beliau menyokong hubungan diplomatik Malaysia dengan Israel.

Malaysia tidak mengiktiraf Israel sebagai sebuah negara sejak ia ditubuhkan pada 1948 dan Kuala Lumpur berkata ia menyokong perjuangan rakyat Palestin. Negara itu juga tidak pernah menjalin hubungan diplomatik dengan Israel dan telah secara jelas menyatakan bahawa pasport rakyatnya tidak sah digunakan ke Israel.

Video lama

Menteri Komunikasi dan Digital Fahmi Fadzil pula berkata semakan mendapati video itu sebenarnya diterbitkan pada Disember 2021 tetapi muncul semula di media sosial.

“Berdasarkan carian dalam YouTube, video itu adalah pada Disember 2021, bukan 2023. Ia dua tahun yang lalu, waktu itu saya bukan menteri,” katanya di Putrajaya seperti dilaporkan media tempatan.

Fahmi juga berkata soalan mengapa tiada tindakan diambil terhadap video tular itu seharusnya ditujukan kepada Menteri Dalam Negeri serta Menteri Komunikasi dan Multimedia ketika itu.

Dalam pada itu, carian yang dibuat oleh BenarNews mendapati Yong mengendali laman sesawang 'China Chooses Israel' dan beliau mengetuai gerakan sukarelawan China bermula dengan lima individu yang konservatif serta pro-Israel.

Yong, yang belum disahkan kewarganegaraan beliau, melalui laman sesawangnya memaklumkan pergerakan itu menolak sumbangan entiti bukan Cina, media dan orang awam.

Kontroversi berkaitan kenyataan Yong itu memuncak pada Selasa selepas beberapa pertubuhan bukan kerajaan yang pro-Palestin memfailkan laporan polis menggesa agar siasatan dibuat terhadap lelaki itu kerana memberikan maklumat mengelirukan berhubung sokongan Malaysia terhadap Palestin, lapor media tempatan.

Bagaimanapun, siaran X milik Yong sebelum ini telah menunjukkan peralihan daripada pendirian mesra Israel kepada keraguan dengan menyatakan "kita tidak mungkin melihat Israel sebagai wajar" dalam layanan mereka terhadap Palestin pada Mei lepas.

Sentimen

Penganalisis politik Oh Ei Sun berkata sentimen anti-Israel dalam kalangan umat Islam di seluruh dunia semakin tinggi termasuk di Malaysia.

“Kerajaan Malaysia yang dikuasai orang Islam semestinya berusaha keras untuk menunjukkan bahawa ia bertegas menentang Israel, termasuk melarang sebarang sentimen pro-Israel, untuk memenangi legitimasi politik dalam kalangan majoriti umat Islam.

“Mod pemeliharaan rejim seperti ini mengatasi segala-galanya, termasuk daya tarikan pelaburan negara, sekurang-kurangnya untuk masa hadapan,” katanya ketika dihubungi BenarNews.

Baru-baru ini, Perdana Menteri Malaysia Anwar Ibrahim bersama ribuan rakyat Malaysia menyertai perhimpunan bagi menunjukkan solidariti kepada rakyat Palestin di tengah-tengah konflik berterusan di Timur Tengah yang meragut beribu-ribu nyawa.

Anwar adalah antara pemimpin Asia Tenggara yang paling lantang mengutuk pengeboman dan pengepungan Israel di Semenanjung Gaza susulan serangan Hamas.

Pada 7 Okt, kumpulan militan itu telah melancarkan serangan roket mengejut dan serbuan darat di selatan Israel dari Gaza di mana ramai orang awam telah terbunuh, menurut laporan.

"Malaysia tidak akan mengubah pendirian kita, khususnya keengganan kita untuk menyifatkan Hamas sebagai kumpulan pengganas... Malaysia mengekalkan pendirian bebas.“ kata Anwar di Parlimen baru-baru ini.

Pada 2018, kerajaan Malaysia mengusir diplomat Israel yang menyertai Forum Bandar Sedunia Ke-sembilan (WUF9) anjuran Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) di Kuala Lumpur.

Kehadiran bekas Timbalan Duta Israel ke PBB David Roet dan delegasi rasmi negara itu adalah atas jemputan badan dunia berkenaan melalui agensi Program Penempatan Manusianya (UN-Habitat) selaku penganjur WUF9.

Roet, yang dilapor memasuki Malaysia menggunakan pasport diplomatik Israel, telah mencetuskan kontroversi serta mengundang kritikan badan bukan kerajaan dan pembangkang.

Pada 2015, kerajaan Malaysia enggan memberikan visa kepada pasukan pelayar Israel untuk menyertai kejohanan kapal layar dunia di Langkawi yang mengundang kecaman ramai pihak.

Bagaimanapun, Malaysia dilapor membenarkan lawatan keagamaan terhad ke Israel oleh penganut agama tertentu.

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.