Malaysia Lewatkan Cadangan Kutip Levi Pekerja Asing Dari Majikan
2017.01.12
Kuala Lumpur
Bertindak atas kebimbangan dari majikan, kerajaan Malaysia telah mengambil langkah untuk menarik balik syarat baru yang memerlukan majikan membayar levi tahunan pekerja asing yang diupah buat sementara waktu.
Jemaah Menteri semasa mesyuarat Kabinet pada Rabu telah memutuskan bahawa polisi baru itu ditangguhkan sehingga 1 Januari 2018, selepas menerima aduan daripada pemilik perniagaan dan majikan, sehari sebelumnya. Keputusan itu bermakna pekerja asing akan terus membayar cukai melalui potongan bulanan daripada gaji mereka.
"Kabinet telah mengadakan perbincangan menyeluruh mengenai perkara itu. (Menteri di Jabatan Perdana Menteri) Paul Low mempunyai sesi perbincangan dan interaksi dengan pihak berkepentingan pada Selasa dan telah memaklumkan mengenai keputusan tersebut semasa mesyuarat Kabinet," kata Menteri Pengangkutan Liow Tiong Lai kepada akhbar The Star. " Dengan mengambil kira pandangan pihak berkepentingan, kita mendapati langkah melambatkan pelaksanaan bayaran levi oleh majikan adalah satu langkah yang bijak."
Ketua Pengarah Imigresen Malaysia Mustafar Ali mengesahkan keputusan mesyuarat Kabinet itu, tetapi enggan mengulas lanjut.
"Bayaran levi di bawah EMC telah ditangguhkan hingga 2018," katanya kepada BeritaBenar.
Dikenali sebagai Komitmen Mandatori Majikan (EMC), ia mensyaratkan majikan atau perniagaan menanggung levi tahunan bagi setiap pekerja asing yang bekerja untuk mereka - RM1,850 (AS$ 413) untuk setiap pekerja bagi kategori satu iaitu, pembuatan, pembinaan dan industri perkhidmatan, manakala sebanyak RM640 (AS$ 143) untuk setiap pekerja bagi kategori dua iaitu, perladangan dan pertanian.
Melalui peraturan baru itu, kerajaan dijangka memperolehi pendapatan kira-kira RM2.5 bilion (AS$ 558 juta) daripada pembayaran levi setiap tahun, menurut Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri Dalam Negeri Dr Ahmad Zahid Hamidi.
Semasa mengumumkan syarat EMC pada 31 Disember lepas, Ahmad Zahid berkata, langkah berkenaan memerlukan majikan lebih bertanggungjawab terhadap pekerja asing yang diupah yang sekaligus dapat mengelak isu pekerja asing melarikan diri, bertukar sektor secara haram serta tinggal melebihi tempoh atau menjadi pendatang tanpa izin.
Pesatuan perniagaan mengalu-alukan keputusan
Bertindakbalas terhadap pengumuman Zahid itu, lebih 159 persatuan perniagaan tempatan menghantar surat kepada Perdana Menteri Najib Razak mengadu mengenai dasar baru itu, kata Shamsuddin Bardan, Pengarah Eksekutif Persekutuan Majikan Malaysia (MEF).
Ketika dihubungi BeritaBenar pada Khamis, Shamsuddin berkata para majikan menyambut baik perubahan syarat pembayaran levi itu dan menggesa perbincangan yang menyeluruh bersama menteri yang bertanggungjawab bagi mengelakkan perselisihan.
"Sudah pasti EMC adalah satu isu besar dan banyak perkara yang perlu dibawa ke tengah, pada dasarnya. Semua industri dan persatuan mahu satu pertemuan di adakan dalam usaha untuk berbincang dengan menteri yang bertanggungjawab iaitu, Paul Low, yang ditugaskan untuk menyusun semula mekanisme pengambilan pekerja asing, " katanya.
Dengan kembali ke dasar lama, ia tidak akan menjejaskan sekurang-kurangnya satu kumpulan majikan. Mohamad Audong, Pengarah Eksekutif Persatuan Pengeluar Pertanian Tanah Melayu (MAPA), berkata, syarat baru kerajaan itu tidak memberi kesan kepada industri berkenaan kerana syarikat perladangan di bawah persatuan itu sudah membayar levi sebelum ini.
Berjuta pekerja asing
Berpuluh-puluh ribu rakyat Bangladesh, Myanmar dan negara Asia lain telah berhijrah ke Malaysia untuk melakukan pekerjaan yang berisiko tinggo serta merbahaya di sebuah negara yang makmur, dengan harapan untuk membina kehidupan lebih baik. Tenaga kerja pekerja asing yang sah di Malaysia berjumlah lebih 2 juta, tetapi para pegawai menganggarkan bahawa lebih daripada 1 juta adalah pekerja tanpa izin.
Pada November lepas, Menteri Ekspatriat, Kebajikan dan Pekerjaan Luar Negara Bangladesh telah mengumumkan bahawa Malaysia akan mula merekrut pekerja dari Bangladesh bagi sektor pembinaan, perladangan dan perkilangan sebelum akhir tahun lalu.
Pegawai Malaysia tidak mengulas mengenainya selepas mengadakan pertemuan dua hari itu.
Pengumuman itu dibuat selepas kedua-dua negara pada Februari menandatangani memorandum persefahaman (MoU) yang menggesa Malaysia untuk merekrut seramai 1.5 juta pekerja dari Bangladesh dalam tempoh tiga tahun akan datang. MoU itu bagaimanapun tidak kekal lama, sebaliknya sehari kemudian, pegawai Malaysia mengumumkan moratorium dikenakan terhadap kesemua pengambilan pekerja asing baru.
Kira-kira 300,000 warga Bangladesh bekerja di Malaysia, menghantar kira-kira 110 bilion taka (AS$1.4 bilion) pulang ke tanah air setiap tahun, menurut perangkaan kerajaan.
Seorang pekerja asing dari Bangladesh, Mohammad Rakib, 44, berkata, peraturan baru itu membolehkannya mempunyai lebih wang bulanan dan dapat menghantarnya kembali kepada keluarganya.
"Ada duit lebih dan tidak bayar levi, dapat bantu menampung pendidikan tinggi anak sulung saya," Rakib, seorang atendan stesen minyak yang telah bekerja di Malaysia selama lima tahun memberitahu BeritaBenar minggu lepas.