Rakyat Malaysia Rugi AS$98 Juta Ditipu Sindiket Dalam Talian Semasa COVID-19

Nisha David
Kuala Lumpur, Malaysia
2020-10-07
Share
201007-MY-Macau1000.jpg Sekumpulan warga China dibawa ke komplek mahkamah untuk pendakwaan selepas ditahan pihak berkuasa kerana dipercayai terlibat dalam penipuan dalam talian di Mahkamah Sesyen Sepang, Selangor, 13 Disember 2019.
[S. Mahfuz/BeritaBenar]

Kes penipuan dalam talian melibatkan rakyat Malaysia dengan kerugian mencecah AS$ 98 juta (RM409 juta) bagi tempoh sembilan bulan pertama tahun ini adalah dua kali ganda berbanding tahun lalu, demikian kata pihak berkuasa dengan peningkatan tersebut terjadi semasa negara berada dibawah Perintah Kawalan Pergerakan bagi mencegah penularan pandemik COVID-19.

Dalam pada itu, lapan pegawai dan anggota polis Bukit Aman yang dipercayai terlibat dengan sindiket penipuan ‘Macau Scam’ ditahan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia [SPRM] yang pengesahan tangkapan tersebut dibuat sumber agensi berkenaan kepada BeritaBenar pada lewat Rabu.

Timbalan Ketua Polis Malaysia Acryl Sani Abdullah Sani berkata sepanjang tempoh sembilan bulan telah berlaku peningkatan ketara melibatkan kes jenayah komersil dengan sindiket penipuan menggunakan pelbagai modus operandi untuk memperdaya mangsa dan menipu wang mereka.

“Pihak polis telah menerima lebih 14,000 laporan pelbagai kes penipuan membabitkan kerugian lebih RM400 juta bagi tempoh sembilan bulan,” kata Acryl Sani sambil menambah jumlah itu melibatkan penipuan dalam talian dengan angka tersebut dijangka terus meningkat sebelum akhir tahun.

Katanya sindiket mengambil peluang ‘menjerat’ mangsa dan warga tua yang mengalami masalah kewangan serta tertarik dengan tawaran memperolehi keuntungan mudah dan cepat.

Beliau berkata enam modus operandi digunakan untuk menipu dengan taktik penipuan popular ialah tawaran pelaburan dalam talian dan penyamaran identiti manakala penipuan lain adalah seperti penipuan e-dagang dan pinjaman tidak wujud.

“Lebih RM144 juta(AS$34.6 juta) kerugian membabitkan Macau Scam direkodkan sepanjang tempoh sembilan bulan, dan penipuan pelaburan pula mencatatkan kes kedua terbanyak dengan kerugian RM134 juta (AS$32.3 juta),” tambah Timbalan Ketua Polis Negara itu.

Beliau berkata sepanjang tempoh yang sama bagi tahun 2019 kerugian sebanyak RM215 juta (AS$51.71 juta) direkodkan dan RM393 juta (AS$94.5 juta) pada 2018.

Macau Scam adalah penipuan dalam talian dengan pemanggil menyamar dan menghubungi mangsa yang kononnya mempunyai hutang dengan bank atau terlibat dengan kes yang sedang disiasat oleh pihak berkuasa seperti polis.

Mangsa yang berasa takut akan diminta untuk memindahkan wang ke akaun jaminan Bank Negara supaya mangsa tidak dikaitkan dengan siasatan pengubahan wang haram atau ditahan.

Penipuan jenis ini adalah pendekatan secara profesional oleh ahli sindiket melalui pelaburan yang berselindung disebalik nama orang kenamaan atau penceramah terkenal untuk menjerat mangsa.

Skim pelaburan yang ditawarkan juga akan menjanjikan pulangan yang lumayan dalam tempoh masa terdekat dan pada awalnya mangsa, akan diberikan pulangan sebelum syarikat itu ditutup selain wang pelaburan turut lesap.

Pegawai, anggota polis ditahan

Dalam pada itu, sumber SPRM mengesahkan yang lapan pegawai dan anggota daripada Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman dan Selangor telah ditahan agensi pencegahan rasuah itu setelah disyaki terbabit dalam sidiket ‘Macau Scam’ yang turut melibatkan selebriti Malaysia.

“Sehingga sekarang (Rabu malam) lapan polis ditahan, empat pegawai pelbagai pangkat termasuk asisten komisioner, superintendan, deputi superintendan dan inspektor,” katanya kepada BeritaBenar.

Menurut sumber itu, wang tunai RM100,000 (AS$24,000) turut dirampas dari seorang pegawai kanan polis dalam siasatan kes pengubahan wang haram melibatkan sindiket penipuan Macau Scam itu.

Katanya, kegiatan menggunakan populariti artis untuk menjalankan aktiviti “pengubahan wang haram” melalui pelbagai usahasama dan perniagaan sah telah dikesan agensi itu sejak akhir-akhir ini dengan beberapa orang selebriti telah dipanggil ke pejabat agensi anti-rasuah itu untuk diambil keterangan.

“Dalang utamanya di China, dengan memerangkap ejen yang dilantik dari kalangan rakyat tempatan berstatus Datuk, Datuk Seri dan selebriti tempatan, dengan menawarkan bantuan modal untuk memulakan perniagaan dalam menghalalkan sumber kegiatan haram mereka,” tambah beliau lagi.

Katanya, Bahagian Pencegahan Pengubahan Wang Haram (AML) SPRM melalui hasil risikan dan siasatan yang dijalankan telah mengesan taktik tersebut sehingga membawa kepada penahanan lapan individu termasuk dua lelaki bergelar Datuk dan Datuk Seri.

Acyrl Sani dalam kenyataan kepada media awal Rabu mengesahkan penangkapan SPRM ke atas dua anggotanya tetapi berkata polis masih belum diberitahu secara rasmi sebab tangkapan itu dilakukan.

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.