Follow us

Malaysia Dapat Kapal Tempur Pesisir Pertama

Hata Wahari
Kuala Lumpur
2017-08-24
E-mel
Komen
Share
KD Maharaja Lela, kapal pertama daripada enam unit Kapal Tempur Pesisir (LCS) yang dibina untuk TLDM di limbungan Boustead Naval Shipyard Sdn. Bhd. di Lumut, Perak, 24 Ogos, 2017.
KD Maharaja Lela, kapal pertama daripada enam unit Kapal Tempur Pesisir (LCS) yang dibina untuk TLDM di limbungan Boustead Naval Shipyard Sdn. Bhd. di Lumut, Perak, 24 Ogos, 2017.
[Ihsan TLDM]

Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) menerima kapal tempur pesisir  (LCS) yang pertama pada Khamis daripada enam buah kapal berharga RM 9 bilion yang dilengkapi dengan keupayaan peperangan empat dimensi.

Kapal LCS yang dibina oleh Boustead Naval Shipyard Sdn Bhd (BNS) dinamakan KD Maharaja Lela pada Khamis, telah disempurnakan oleh Raja Permaisuri Perak, Tuanku Zara Salim sambil disaksikan oleh Sultan Perak, Sultan Nazrin Shah.

Nama kapal tersebut dipilih bagi mengingati  Dato' Maharaja Lela yang mengetuai perjuangan penduduk tempatan dalam menentang pihak British di Perak.

Menteri Pertahanan, Hishammuddin Hussein dalam upacara perasmian KD Maharaja Lela memberitahu, TLDM akan menerima lima buah lagi kapal LCS secara berperingkat melalui kontrak perolehan di antara Kerajaan Malaysia dan BNS dengan harga RM1.5 bilon sebuah.

“Upacara pada Khamis ini menandakan kejayaan projek Kapal Kombat Litoral Pertama oleh BNS untuk TLDM serta membuktikan kemampuan dan keupayaan industri pertahanan maritim tempatan dalam membina dan menyiapkan kapal perang yang serba canggih dan berteknologi tinggi,`` kata Menteri itu semasa majlis pelancarannya yang berlangsung di Lumut, Perak, iaitu terletak kira-kira 226 kilometer dari ibunegara Malaysia, Kuala Lumpur.

Hishammuddin menambah, TLDM kini memiliki kapal tercanggih yang mempunyai keupayaan daya tempur serta pertahanan empat dimensi yang berjaya dibina dalam tempoh satu setengah tahun.

“Dengan penerimaan kapal LCC pertama ini, saya harap TLDM akan dapat meningkatkan keupayaan melindungi kedaulatan negara terutama semasa berhadapan dengan ancaman dari kumpulan pengganas Negara Islam (IS),” katanya.

Tambahnya, baki lima buah kapal lagi akan diterima secara berperingkat sehingga tahun 2023.

Menurut sumber pertahanan, kapal LCS juga mempunyai daya tahan lasak mengatasi ancaman elektronik, udara, darat dan air serta sistem pengurusan peperangan yang terkini.

Antara ciri utama kapal itu ialah kelajuan maksima sehingga 28 knot dengan panjang keseluruhan kapal 111 meter serta dilengkapi beberapa senjata utama seperti sistem pelancar torpedo, sistem pelancar misil anti-permukaan, sistem pelancar misil anti-udara dan meriam kaliber sederhana bagi meningkatkan lagi kawalan keselamatan di perairan negara.

Hishammuddin juga berkata pelancaran kapal itu membuktikan keupayaan dan kemampuan syarikat tempatan dalam industri berat, khususnya teknologi ketenteraan.

"Ini kerana KD Maharaja Lela adalah kapal kelas frigat pertama dibina sepenuhnya oleh syarikat tempatan iaitu BN Shipyard Sdn Bhd," katanya.

Sementara itu, Pengarah Urusan Boustead Heavy Industries Ahmad Ramli Mohd Nor, syarikat yang membina kapal berkenaan berkata, kapal tempur terbesar dalam armada TLDM mempunyai rekabentuk halimunan atau 'stealth' yang sukar dikesan menerusi radar

Tambahnya, KD Maharaja Lela akan diserahkan kepada TLDM pada 2019 selepas menjalani proses ujian di pelabuhan dan laut serta ujian penembakan.

Lihat Laman Penuh