Pembangkang Serah Memorandum Kali Ke-2 Minta Yang di-Pertuan Agong Tamatkan Darurat

Mahathir Mohamad mendakwa rakyat Malaysia khususnya orang Melayu mula menunjukkan kemarahan terhadap keluarga diraja.
S. Adie Zul & Hadi Azmi
2021.04.20
Kuala Lumpur
Pembangkang Serah Memorandum Kali Ke-2 Minta Yang di-Pertuan Agong Tamatkan Darurat Mahathir Mohamad (tengah bertali leher) bersama beberapa pemimpin pembangkang dan ahli jawatankuasa #TamatDarurat bercakap kepada media selepas menyerahkan memorandum kepada wakil Istana Negara di Kuala Lumpur, 20 April 2021.
[S. Mahfuz/BenarNews]

Mantan Perdana Menteri Malaysia Mahathir Mohamad pada Selasa telah menghantar permohonan kali kedua kepada Istana Negara untuk memohon perkenan menghadap Yang di-Pertuan Agong bagi mempersembah memorandum kepada Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah supaya menamatkan perintah darurat.

Pemimpin veteran itu mendakwa rakyat Malaysia, khususnya orang Melayu mula menyatakan kemarahan terhadap pihak Istana susulan pelaksanaan darurat berkuatkuasa 12 Januari lalu sehingga Ogos sambil menyifatkan kerajaan Perikatan Nasional (PN) yang diterajui oleh Perdana Menteri Muhyiddin Yassin mungkin menyampaikan maklumat yang tidak mencukupi kepada Seri Paduka Baginda.

Mahathir, yang meletakkan jawatan secara mengejut pada Februari tahun lepas yang sekaligus menyebabkan tumbangnya kerajaan Pakatan Harapan dan menyaksikan Muhyiddin dilantik sebagai Perdana Menteri ke-7, mendakwa orang Melayu mula menunjukkan rasa marah kepada Istana gara-gara pelaksanaan darurat di negara itu.

"Segalanya diletak di bahu Agong (seolah-olah) apa jua tindakan dikatakan atas arahan Agong. Orang Melayu biasanya tidak derhaka pada raja. Tapi sekarang ini terpaksa sampaikan pada setiausaha sulit (kepada Yang di-Pertuan Agong) bahawa orang Melayu mula rasa marah pada raja,” kata Mahathir semasa ditemui media di hadapan Istana Negara.

Pemimpin yang akan berusia 95 tahun pada Julai depan, terdahulu itu bersama pengerusi Jawatankuasa Merayu Penamatan Proklamasi Darurat Khalid Samad dan Presiden Amanah Mohamad Sabu telah dibenarkan masuk ke Istana Negara bagi menyerahkan satu memorandum untuk memohon menghadap Yang di-Pertuan Agong bagi memperkenankan penamatan darurat pada 3.15 petang.

Ketiga-tiga pemimpin itu bagaimanapun hanya dapat menyerahkan memorandum tersebut melalui Setiausaha Sulit Kanan kepada Yang di-Pertuan Agung, Nazim Mohd Alim untuk disampaikan kepada Seri Paduka Baginda.

Kehadiran beberapa pemimpin lain untuk memberi sokongan dikawal ketat oleh pasukan keselamatan yang lengkap bersenjata dengan para pegawai polis yang bertugas memberi kerjasama yang baik sehingga berjaya mengelakkan sebarang kejadian tidak diingini.

Antara yang turut berada di luar Istana Negara adalah Mukhriz Mahathir, Marzuki Yahya, Amiruddin Hamzah, Khairuddin Abu Hassan, Ulya Aqamah Husamudin dari parti Pejuang; Tian Chua, Maria Chin Abdullah, Sim Tze Tzin, Fahmi Fadzil dari Parti Keadilan Rakyat (PKR); Hannah Yeoh, Lim Lip Eng dan Teresa Kok dari Parti Tindakan Demokratik (DAP).

Ketua Pembangkang Anwar Ibrahim tidak menyertai acara itu kerana difahamkan berada di kawasan Parlimen yang diwakilinya, Port Dickson.

Ini adalah kali kedua Jawatankuasa Merayu Penamatan Proklamasi Darurat menghantar memorandum kepada pihak Istana Negara berhubung perkara yang sama, dengan memorandum pertama telah dihantar pada 26 Mac lalu, dengan Khalid dilaporkan berkata pihaknya masih belum menerima maklumbalas daripada pihak Istana.

Mahathir yang ditemui media mendakwa orang Melayu telah menderita akibat pelaksanaan darurat dan mula menzahirkan rasa marah di media sosial – tindakan yang jarang ditunjukkan oleh orang Melayu terhadap raja-raja Melayu.

Ahli Parlimen Langkawi itu juga mendakwa kerajaan PN yang diketuai Muhyiddin mungkin menyampaikan maklumat yang tidak cukup kepada Seri Paduka Baginda sehingga membawa kepada pengisytiharan itu, sedangkan Baginda merupakan pihak yang menjadi sasaran kemarahan rakyat terhadap tindakan kerajaan.

"Kita dapat ikuti dalam media sosial.. Ini sangat tidak biasa bagi orang Melayu menentang pemerintah. Agak ramai orang Melayu marah sekarang, kerana mereka menderita akibat darurat ini," katanya lagi.

Ini adalah kali kedua Jawatankuasa Merayu Penamatan Proklamasi Darurat menghantar memorandum kepada pihak Istana Negara berhubung perkara yang sama.

Memorandum pertama telah dihantar pada 26 Mac yang lalu namun Khalid dilaporkan berkata pihaknya masih belum menerima maklumbalas daripada pihak Istana Negara.

Sentimen rakyat

Mahathir mendakwa pendekatan yang diambil dalam pewartaan darurat pada Januari lalu menyebabkan timbul salah faham di kalangan rakyat yang beranggapan pelaksanaan darurat dibuat atas perintah Yang di-Pertuan Agong.

Ujarnya ini sekaligus mencetuskan polemik apabila sesetengah pihak menafsirkan perbuatan mengkritik perintah darurat itu sebagai tindakan menderhaka kepada Yang di-Pertuan Agong.

"Adalah penting untuk ini (sentimen rakyat) disampaikan kepada Agong. Jika tidak, mereka (kerajaan) mungkin melakukan sesuatu yang boleh menambahkan lagi kemarahan rakyat," kata Mahathir lagi.

Turut menyatakan sokongan kepada usaha menamatkan darurat adalah mantan menteri Barisan Nasional, Rafidah Aziz yang menegaskan negara tidak memerlukan pemerintahan darurat yang mempunyai agenda politik.

“Apa yang kita perlukan adalah polisi dan pendekatan yang komprehensif dan koheren dengan mengambil kira pandangan daripada semua pihak bagi melonjakkan semula ekonomi,” katanya dalam satu hantaran di laman Facebook rasminya pada Selasa.

Rafidah, antara menteri kanan di dalam Kabinet Mahahatir di bawah kerajaan Barisan Nasional selama hampir dua dekad, rakyat Malaysia dari pelbagai latar belakang kaum berang dengan politik toksik yang sedang berlaku.

Penganalisis politik, Awang Azman Awang Pawi menyifatkan tindakan Mahathir menggunakan sentimen Melayu sebagai satu usaha untuk meraih sokongan secara populis.

“Saya lihat Mahathir guna sentimen Melayu untuk raih sokongan secara populis. Kenyataan Mahathir itu tidak tepat. Sepatutnya ia perlu dirujuk sebagai sebahagian rakyat Malaysia. Ini bukan sentimen etnik tetapi suara netizen secara umum. Bukan orang Melayu sahaja terjejas akibat PKP (Perintah Kawalan Pergerakan) dan darurat tetapi pelbagai etnik yang lain di dalam negara,” katanya kepada BenarNews.

Lebih 39,000 sokong petisyen

Setakat Selasa, lebih 39,000 rakyat telah menandatangani petisyen menyokong gesaan penamatan darurat secara maya, melalui sebuah laman yang diwujudkan.

Pelaksanaan darurat diwartakan bermula 11 Jan hingga 1 Ogos selepas Muhyiddin menghadap Yang di-Pertuan Agong dan menasihati baginda mengenai keperluan pelaksanannya untuk membendung penularan pandemik COVID-19, sekaligus menyebabkan sidang Parlimen tergantung.

Langkah mewartakan darurat telah mengundang kritikan keras bukan sahaja daripada pihak pembangkang, malahan daripada UMNO, parti sekutu terbesar dalam kerajaan PN yang dipimpin oleh Muhyiddin.

Para pemimpin UMNO telah dilaporkan mendesak Muhyiddin supaya menasihati Yang di-Pertuan Agong untuk membuka kembali Parlimen bagi membolehkan Dewan Rakyat bersidang.

Susulan daripada suara-suara bantahan itu, pada Febuari lalu, Yang di-Pertuang Agong telah bertitah bahawa Parlimen boleh bersidang semasa tempoh darurat berkuat kuasa pada satu tarikh yang diperkenankan oleh Seri Paduka Baginda, di atas nasihat perdana menteri.

Pada Sabtu lalu, Majlis Peguam Malaysia telah memfailkan tindakan undang-undang terhadap kerajaan bagi membatalkan beberapa bahagian dalam Ordinan Darurat.

Majlis Peguam mendakwa beberapa peruntukan berkaitan proklamasi darurat terlalu luas serta tidak selari dengan Perlembagaan Persekutuan selain mendesak supaya Perdana Menteri menasihati Yang di-Pertuan Agong untuk memanggil sidang Parlimen.

Dalam reaksinya pada Selasa, Menteri di Jabatan Perdana Menteri yang bertanggungjawab ke atas Parlimen dan Undang-Undang, Takiyuddin Hassan membidas tindakan Majlis Peguam kerana membuat tafsiran undang-undang mengikut selera sendiri, seolah-olah bertujuan meraih populariti dalam kalangan rakyat.

Takiyuddin mengingatkan Majlis Peguam dan semua pengamal undang-undang untuk bertindak mengikut lunas undang-undang terutama ketika pelaksanaan Proklamasi Darurat.

“Kerajaan dukacita di saat-saat semua jentera kerajaan menumpukan segala usaha termasuk kewangan untuk memerangi COVID-19, terdapat sesetengah pihak cuba membuat tafsiran undang-undang mengikut selera sendiri, seolah-olah bertujuan meraih populariti dalam kalangan rakyat,” katanya.

Takiyuddin berkata, sebagai badan profesional Majlis Peguam yang mendukung prinsip keadilan dan kedaulatan negara perlu terus menentang usaha memesongkan kehendak undang-undang terutamanya semasa negara sedang berada dalam keadaan kritikal dan getir dengan penularan berterusan pandemik COVID-19.

Jelasnya, langkah kerajaan itu merupakan usaha serius dan berfokus dalam rangka memperkasakan usaha membasmi wabak penyakit berjangkit termasuklah menggubal dengan segera Ordinan-Ordinan yang perlu semasa tempoh darurat.

“Perlu ditekankan bahawa Ordinan Darurat hanyalah terpakai ketika negara berada di dalam tempoh Darurat yang akan tamat pada 1 Ogos ini sahaja,” katanya.

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.