Follow us

Mahathir: Beijing Mungkin Halang Negara-Negara Muslim Kritik China

"Adalah lebih baik mencari… cara untuk tidak terlalu menentang China, kerana China memberi manfaat kepada kami," kata pemimpin Malaysia itu.
Kate Beddall
New York
2019-09-27
E-mel
Komen
Share
Perdana Menteri Mahathir Mohamad (dua dari kanan) dan pengasas dan CEO Huawei Ren Zhengfei (kanan) melihat mesin pengendalian bungkusan semasa pemimpin Malaysia itu melakukan lawatan ke Beijing, 25 April 2019.
Perdana Menteri Mahathir Mohamad (dua dari kanan) dan pengasas dan CEO Huawei Ren Zhengfei (kanan) melihat mesin pengendalian bungkusan semasa pemimpin Malaysia itu melakukan lawatan ke Beijing, 25 April 2019.
[AP]

Kekuatan ekonomi dan ketenteraan China mungkin menghalang negara-negara Muslim daripada mengkritik tindakan penindasannya terhadap minoriti etnik Uyghur, dan negara-negara Asia Tenggara daripada mempersoalkan peningkatan tindakan berani Beijing di Laut China Selatan, kata Perdana Menteri Malaysia Mahathir Mohamad.

Dalam satu temu bual dengan BeritaBenar, Mahathir berkata China mungkin tidak mempedulikan mereka walaupun jika mereka mengkritik Beijing, sambil memberitahu bahawa adalah lebih baik tidak menentang gergasi Asia itu dan menghadapi akibat yang negatif.

Mahathir sentiasa memperjuangkan isu-isu yang menjejaskan masyarakat Islam, termasuk etnik Rohingya dengan lebih 740,000 orang daripada mereka telah melarikan diri ke Bangladesh berikutan tindakan keras tentera Myanmar dua tahun lalu. Beliau juga terus menerus mengutuk tindakan Israel terhadap rakyat Palestin.

Tetapi, pemimpin berusia 94 tahun itu tidak pula bersuara mengenai tindakan penindasan Beijing di Xinjiang, di mana China dituduh menahan lebih daripada 1.5 juta etnik Uyghur dan minoriti Islam yang lain di rangkaian kem tahanan yang besar dan luas sejak April 2017.

Ditanya mengenai percanggahan yang ketara itu dan keengganan umum negara-negara Islam untuk mengkritik Beijing mengenai isu Uyghur, Mahathir menyatakan tentang apa yang digambarkannya sebagai kuasa penghalang China.

"Ini kerana China adalah sebuah negara yang sangat berkuasa," katanya kepada BeritaBenar. "Kami tidak boleh cuba dan melakukan sesuatu yang akhirnya gagal, oleh itu, adalah lebih baik untuk mencari cara yang kurang ganas supaya tidak terlalu menentang China, kerana China memberi manfaat kepada kami.

“Sudah tentu, ia adalah rakan dagangan besar kami, dan kami tidak mahu melakukan sesuatu yang akan gagal, dan dalam proses itu juga, kami yang akan sengsara,” kata Mahathir, yang selalu mengkritik Amerika Syarikat dan kuasa-kuasa Barat lain mengenai pelbagai isu.

Kumpulan hak asasi manusia mengutuk Mahathir dan 57 negara anggota Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) kerana tidak bersuara memperjuangkan etnik Uyghur apabila negara-negara seperti Amerika Syarikat menyifatkan tindakan Beijing di Xinjiang sebagai "noda abad ini."

"Apabila pemimpin lantang seperti Mahathir menutup mulut mereka dan bukannya mengkritik, ia menggambarkan langkah luar biasa yang diambil oleh China untuk menakut-nakutkan para pengkritiknya dari dekat dan jauh," kata Phil Robertson, timbalan pengarah Asia HRW yang berpangkalan di New York, kepada BeritaBenar.

"Seperti yang lain dalam OIC, Malaysia terduduk akibat tekanan apabila tiba masanya untuk bersuara tentang Uyghur kepada kuasa yang berada di Beijing. Mahathir sepatutnya tahu trend ini dan mengutuk pencabulan hak dan kebebasan agama yang dialami oleh etnik Uyghur, "katanya.

Menteri hal ehwal Islam Malaysia, Mujahid Yusof Rawa, juga dikecam baru-baru ini kerana memberi gambaran tentang sebuah kem Uyghur yang dikunjunginya di Xinjiang sebagai "pusat latihan dan vokasional" yang selaras dengan dakwaan Beijing.

Beijing berkata etnik Uyghur dimasukkan ke dalam "pusat pendidikan dan latihan", dengan menyifatkannya sebagai "sekolah-sekolah yang membantu rakyat membebaskan diri daripada keganasan dan ekstremisme serta memperoleh kemahiran yang berguna."

 

 

Mahathir: ASEAN tidak bersatu menentang Beijing

Mahathir juga memberitahu BeritaBenar bahawa negara-negara Asia Tenggara tidak dapat bersatu sebagai satu kumpulan bagi menangani peningkatan tindakan China memandangkan Beijing telah memperkukuhkan tuntutannya ke hampir seluruh Laut China Selatan.

Beijing menempatkan peluru berpandu anti-kapal dan sistem peluru berpandu ke udara di tiga pulau di Spratlys, iaitu gugusan kepulauan yang menjadi pertikaian di Laut China Selatan, kata para pakar.

Malaysia, sebuah negara majoriti Islam yang mempunyai 33 juta penduduk, serta Filipina, Brunei dan Vietnam, adalah antara negara anggota Persatuan Negara-Negara Asia Tenggara (ASEAN) yang mempunyai tuntutan bertindih dengan Beijing di Laut China Selatan. Kira-kira AS$5 trilion nilai dagangan menggunakan kapal melalui laluan air itu setiap tahun.

“Apabila mendapati kami dipilih oleh China bagi beberapa tindakan, saya rasa negara-negara ASEAN yang lain tidak berupaya untuk menghentikannya. Oleh itu, suka atau tidak, kami perlu berurusan sendiri dengan China,” kata Mahathir.

“Kami harus menerima hakikat bahawa China adalah suatu kuasa besar. Anda tahu, negeri-negeri Melayu telahpun wujud berhampiran China sejak dua ribu tahun yang lalu. Kami dapat bertahan kerana kami tahu cara untuk membawa diri kami.

“Walaupun ASEAN mahu bekerjasama, ada perkara-perkara yang tidak dapat dilakukannya,”kata beliau. “Oleh kerana itu, walaupun kami bekerjasama tanpa sebarang keganasan, jika boleh, kami dapat berdiri teguh pada sesuatu, tetapi jika orang China mengambil tindakan, kami tidak berada dalam kedudukan untuk menentang atau bertindak terhadap mereka.”

Baru-baru ini, pengawal pantai China dikesan berada berdekatan pelantar minyak dalam kawasan Malaysia dan kapal-kapal peninjau China, yang dilaporkan sedang mengendalikan kajian berkaitan penerokaan minyak dan gas, dilihat berada dalam kawasan zon eksklusif ekonomi Malaysia di luar Borneo.

Ketika ditanya mengenai kapal-kapal peninjau China itu, Mahathir berkata mereka tidak mendapat kebenaran kerajaan Malaysia untuk beroperasi di perairan Malaysia.

"Tidak. Mereka tidak mendapatkankannya. Dan, kami melihat apa yang mereka lakukan, kami melaporkan apa yang mereka lakukan, tetapi kami tidak menghalau mereka atau cuba bertindak agresif,"katanya.

“Kami harus menerima hakikat bahawa China adalah suatu kuasa besar. Anda tahu, negeri-negeri Melayu telahpun wujud berhampiran China sejak dua ribu tahun yang lalu. Kami dapat bertahan kerana kami tahu cara membawa diri kami,”kata Mahathir. “Kami tidak mahu bertindak agresif sedangkan kami tidak mempunyai kapasiti, oleh itu, kami menggunakan cara lain.”

Lihat Laman Penuh