Follow us

Wajar Kritik India Walaupun Sekatan Eksport Minyak Sawit, kata Mahathir

Nisha David & Ali Nufael
Kuala Lumpur, Malaysia
2020-01-14
E-mel
Komen
Share
Seorang penyelidik mengendalikan tiub ujian yang mengandungi anak benih pokok kelapa sawit yang baru dicipta yang diharapkan oleh para saintis dapat mengurangkan kos dan membatasi kerosakan alam sekitar di makmal Lembaga Minyak Sawit Malaysia berhampiran Kuala Lumpur, 18 Dis, 2018.
Seorang penyelidik mengendalikan tiub ujian yang mengandungi anak benih pokok kelapa sawit yang baru dicipta yang diharapkan oleh para saintis dapat mengurangkan kos dan membatasi kerosakan alam sekitar di makmal Lembaga Minyak Sawit Malaysia berhampiran Kuala Lumpur, 18 Dis, 2018.
(AFP)

Sesebuah negara tidak boleh membenarkan pertimbangan ekonomi mengatasi bantahan untuk bersuara terhadap perkara “salah”, kata Perdana Menteri Malaysia Mahathir Mohamad mengulas langkah India yang menyekat pengimportan minyak kelapa sawit Malaysia di mana beliau banyak dikaitkan berhubung kritikan dasar India terhadap umat Islam di negara berkenaan baru-baru ini.

Mahathir memberi komen umum itu semasa menjustifikasikan kritikannya terhadap India mengenai konfliknya dengan Pakistan berhubung insurgensi di Kashmir, dan pindaan baru undang-undang kewarganegaraan yang mendiskriminasikan umat Islam, dengan mengatakan yang wang bukanlah satu-satunya perkara penting.

“Kita bimbang kerana kita jual banyak minyak sawit kepada India. Tetapi dalam erti kata lain, kita perlu bercakap jujur dan apabila sesuatu yang salah, kita perlu bersuara,” Perdana Menteri itu memberitahu pemberita di Kuala Lumpur pada Selasa.

“Jika kita terus membiarkan kesalahan berlaku dan hanya memikirkan mengenai jumlah wang  yang terlibat sahaja, maka saya fikir banyak perkara salah akan terus dilakukan oleh kita dan orang lain,”

Pada 8 Januari, kerajaan India, melalui Kementerian Perdagangan dan Industrinya telah meminda dasar import melibatkan minyak sawit ditapis dan minyak kelapa sawit, daripada bebas kepada terhad.

Walaupun Malaysia tidak dinamakan secara khususnya, langkah itu dijangka dapat memberi kesan kepada eksportnya itu kerana India adalah pengimport minyak kelapa sawit terbesar Malaysia.

Malaysia dan Indonesia membekalkan kira-kira 60 juta metrik tan minyak sawit setiap tahun atau kira-kira 85 peratus daripada pengeluaran dunia, menurut data kerajaan.

Mahathir memberitahu pemberita bahawa walaupun Malaysia perlu menyelesaikan perbezaannya dengan India mengenai minyak kelapa sawit, beliau sebaliknya tidak akan berhenti untuk membuat sebarang komen.

“Ini adalah sesuatu yang kita akan cuba cari jalan penyelesaiannya, tetapi faktanya apa yang berlaku di India hari ini mengakibatkan rasa tidak gembira di kalangan rakyat mereka sendiri dan seluruh dunia. Kita merasakan bahawa ianya sesuatu yang salah dalam mendiskriminasi terhadap mana-mana pihak,” katanya lagi.

Bulan lalu, Mahathir mengkritik India mengenai undang-undang kewarganegaraan yang dipinda yang dikatakan mempunyai diskriminasi terhadap umat Islam di negara itu.

Parlimen India telah meluluskan pindaan rang undang-undang kontrocversi yang memberi kerakyatan kepada ahli-ahli kumpulan minoriti agama dari Bangladesh, Pakistan dan Afghanistan yang mencari perlindungan suaka di India dan yang memasuki negara itu sebelum September 2014. Sebaliknya negara itu mengecualikan umat Islam dari negara-negara tersebut yang memohon kewarganegaraan dari India.

Mahathir semasa ucapannya di Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) di New York pada September lepas telah menyuarakan pandangannya di pentas dunia itu mengenai konflik Kashmir dengan mengatakan yang Pakistan dan India harus duduk bersama dalam menyelesaikan perbezaan mereka.

"Sekarang, walaupun terdapatnya resolusi PBB di Jammu dan Kashmir, negara itu telah diserang dan diduduki. Mungkin ada sebab terhadap tindakan ini, tetapi ianya tetap salah. Masalah mesti diselesaikan secara aman," kata Pedana Menteri dalam ucapannya itu.

"India perlu bekerjasama dengan Pakistan dalam menyelesaikan masalah ini. Mengabaikan PBB  akan membawa kepada bentuk lain yang tidak menghiraukan PBB dan Peraturan Undang-undang," katanya.

Pada 8 Januari lalu, semasa melaporkan bahawa India mengenakan sekatan ke atas import minyak sawit, perkhidmatan berita Reuters memetik para pegawai dan sumber industri India sebagai berkata bahawa kerajaan nasionalisme Perdana Menteri Narendra Modi "sedang berusaha untuk menyasarkan Malaysia selepas kritikan oleh Perdana Menteri Malaysia, Mahathir Mohamad terhadap India baru-baru ini."

Pada Selasa, Senator Bob Menendez, dari Demokrat bagi Jawatankuasa Hubungan Luar Senat, mengumumkan beliau telah menghantar surat kepada Setiausaha Negara Mike Pompeo menyatakan kebimbangan terhadap pindaan undang-undang kewarganegaraan India.

"Usaha kerajaan [India] di Assam telah mencicirkan kira-kira 1.9 juta orang secara efektif, terutamanya umat Islam yang berbahasa Bengali, tanpa kewarganegaraan. Kerajaan nampaknya sedang memperluas usaha ini di seluruh negara," tulis Menendez dalam suratnya bertarikh 13 Januari.

"Walaupun dakwaan kerajaan bahawa rang undang-undang kewarganegaraan bertujuan untuk melindungi minoriti agama, kegagalannya untuk memasukkan kumpulan Muslim yang menghadapi penganiayaan di negara-negara jiran, seperti Ahmadiyah Pakistan dan Rohingya, memberi isyarat kepada tujuan anti-Islam," tulisnya.

Menendez juga menulis mengenai keadaan di Kashmir, mengatakan penutupan internet yang sedang berlaku di sana telah "menjejaskan kehidupan rakyat, pekerjaan, dan ekonomi dalam keadaan yang lebih buruk."

Memperluaskan pasaran

Minyak sawit, yang ditapis untuk digunakan sebagai minyak masak serta menjadi bahan dalam kosmetik dan biofuel, merupakan eksport pertanian terbesar Malaysia.

India adalah pengimport terbesar bagi minyak kelapa sawit Malaysia dengan menerima lebih daripada 4.4 juta metrik tan pada 2019, yang meningkat 75 peratus berbanding 2.5 juta tan metric pada 2018, menurut Lembaga Minyak Sawit Malaysia.

Walaupun eksport bulanan ke India berjumlah 318,000 hingga 550,000 tan metrik pada awal 2019 namun angka tersebut menurun kepada 219,956 tan metric pada Oktober, 142,696 tan metric pada November dan 138,647 tan metric pada Disember, lapor lembaga berkenaan.

Pada Isnin, Menteri Industri Utama Malaysia Teresa Kok Suh Sim berkata negara itu mungkin perlu mencari pasaran baharu untuk eksport minyak sawitnya. Beliau menamakan Pakistan dan negara-negara Afrika sebagai lokasi yang berpotensi untuk mengeksport minyat sawit Malaysia.  

"Pakistan adalah pasaran yang baik. Ia mempunyai kira-kira 220 juta penduduk dengan kadar kelahiran sebanyak 2.7 peratus. Oleh itu, secara purata mereka mempunyai 5 juta bayi setiap tahun," katanya.

"Dengan pertambahan penduduk, ia memerlukan minyak kelapa sawit kerana ia adalah minyak yang paling murah. Jadi, kita menjangkakan Pakistan menjadi pasaran baru dan sesetengah negara Afrika boleh turut menjadi pasaran baru, "katanya kepada pemberita selepas melawat kilang penapis minyak sawit berhampiran Kuala Lumpur.

Malaysia mengeksport kurang daripada 1.1 juta tan metrik ke Pakistan – yang menurun sedikit berbanding 2018 - dan jumlah yang lebih kecil ke negara-negara Afrika pada 2019, menurut statisik Lembaga Minyak Sawit Malaysia.

Sementara itu, Indonesia bakal menerima keuntungan besar sekiranya Malaysia tidak dapat menyelesaikan pertikaiannya dengan India apabila eksport minyak sawit dikaut oleh negara jirannya itu, menurut seorang profesor di Universiti Tun Abdul Razak.

Barjoyai Bardai berkata Malaysia mungkin terpaksa mengurangkan harga jualan komoditi itu demi mendapatkan pelanggan baru. Walaupun eksport minyak sawit menguasai hanya 2.8 peratus daripada jumlah Keluaran Dalam Negara Kasar, lebih daripada 1 juta orang terlibat dalam penanaman, pemprosesan dan penjualannya di seluruh dunia.

"Kenyataan Mahathir telah menjadikan keadaan menjadi lebih buruk. Kita tidak boleh membenarkan harga minyak sawit terus turun," katanya kepada BeritaBenar.

Tindakan India itu dibuat selepas keputusan Kesatuan Eropah pada tahun lepas untuk menghentikan penggunaan minyak sawit sebagai sumber bahan api yang boleh diperbaharui menjelang 2030 kerana kebimbangan berhubung pembersihan hutan.

Langkah memperluaskan perdagangan minyak sawit merupakan penyebab utama bagi pembersihan hutan dan kemusnahan habitat semula jadi di beberapa bahagian negara tropika Asia serta  Amerika Tengah dan Amerika Selatan, menurut Kesatuan Antarabangsa Bagi Pemuliharaan Alam Semulajadi, iaitu kumpulan yang dianggotai kerajaan, pertubuhan pemuliharaan dan saintis yang berpejabat di Switzerland.

Mahathir menganggap kenyataan itu sebagai tidak berasas, tidak adil dan tidak wajar.

Lihat Laman Penuh