Mahathir ke Jepun, Terima Anugerah Maharaja Akihito

Hadi Azmi
2018.11.05
Kuala Lumpur, Malaysia
181105-MY-Mahathir-Jepun1000.jpg Perdana Menteri Malaysia, Mahathir Mohamad bersama rakan sejawatannya Shinzo Abe, selepas mengadakan pertemuan di kediaman rasmi Abe di Tokyo, Jepun, 12 Jun 2018.
AP

Perdana Menteri Mahathir Mohamad kini berada di Jepun untuk lawatan kerja kali ketiga sejak Mei, di mana beliau dijangka menerima anugerah dari Maharaja Akihito yang akan dihadiri oleh Perdana Menteri Jepun Shinzo Abe di Istana Empayar pada Selasa.

Anugerah ‘Order of the Paulownia Flowers’ yang akan dianugerahkan kepada Mahathir merupakan pingat kedua tertinggi di negara matahari terbit itu, selepas ‘Order of the Chrysanthemum’ dan pernah dianugerahkan kepada bekas Perdana Menteri India, Manmohan Singh dan mendiang Perdana Menteri Singapura yang pertama, Lee Kwan Yew.

Bercakap kepada wartawan Malaysia di Tokyo pada Ahad, Duta Malaysia ke Jepun Ahmad Izlan Idris berkata anugerah itu merupakan penghargaan kerajaan Jepun bagi usaha berterusan Mahathir untuk “dasar pandang ke timur” nya serta dan kerana terus mengekalkan hubungan dua hala antara kedua-dua negara.

Mahathir, sebaik tiba di Tokyo, dianugerahkan ijazah kehormat doktor falsafah oleh University of Tsukuba yang disampaikan oleh presiden universiti itu, Prof Kyosuke Nagata.

Dalam ucapan beliau pada majlis serba sederhana di dewan kuliah universiti berkenaan, Mahathir secara terbuka menjemput universiti itu untuk membuka cawangannya di Malaysia.

“Kami berpendapat ini cara terbaik untuk mewujudkan universiti (Jepun) di Malaysia. Kami telah berusaha untuk menjemput  cawangan universiti Jepun menubuhkan kampus di Malaysia. Malangnya, undang-undang tidak membenarkannya (buat masa ini),”  katanya seperti dilaporkan oleh agensi berita nasional Malaysia, Bernama pada Isnin.

Perdana Menteri itu yang berucap pada majlis penganugerahan ijazah kehormat itu  turut berkata “Seperti yang anda maklum, kami kini mempunyai kampus cawangan universiti Australia dan Amerika di Malaysia, tetapi tiada cawangan universiti Jepun,”

“Ini akan membolehkan lebih ramai pelajar Malaysia belajar, sebab kos akan menjadi lebih rendah. Malaysia boleh menjadi pusat bagi pelajar lain dari rantau Asia untuk datang belajar di sebuah universiti Jepun tanpa perlu pergi ke negara itu. Para pelajar kebanyakannya miskin. Kos hidup di Jepun pula tinggi. Saya harap universiti ini akan membuka kampus cawangan di Malaysia, mengajar dalam bahasa Jepun, mendidik rakyat Malaysia tentang budaya Jepun,” katanya lagi.

Perhatian negatif


Dasar pandang ke timur yang dilancarkan oleh Mahathir pada 1982 telah berjaya menghantar hampir  10,000 pelajar dari Malaysia untuk mendapatkan pendidikan dari universiti-universiti serta kolej teknikal di Jepun.

Timbalan Presiden Alumni Look East Policy Students (ALEPS) Isrami Ismail semasa bercakap kepada BeritaBenar pada Isnin berkata mereka inilah yang merupakan tulang belakang negara dalam merealisasikan pembangunan Malaysia dari negara pertanian satu ketika dulu kepada negara perindustrian.

“Kita sedia maklum bahawa dengan kos hidup yang agak tinggi di Jepun, penghantaran pelajar ke negara matahari terbit itu terhad. Namun kampus tempatan di Malaysia akan bakal menyelesaikan masalah tersebut,” kata Isrami.

ALEPS ditubuhkan sebagai satu usaha Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) Malaysia dan dianggotai oleh bekas penuntut institusi pendidikan di Jepun.

Sementara itu, semasa mengulas mengenai penghormatan tertinggi maharaja Jepun yang akan diterima Mahathir, penganalisa kanan dari Penang Institute berkata beliau merasakan bahawa ianya akan menarik perhatian negatif daripada Beijing.

“Sejak Mahathir mengambilalih tampuk kuasa, pandangannya terhadap pelbagai projek mega yang dimeterai dengan China telah menimbulkan kemarahan pemerintah di Beijing,” kata Lim Chee Han kepada BeritaBenar.

Tambah Lim, walaupun lawatan itu dianggap dapat menyelesaikan masalah antara Kuala Lumpur dan Beijing, hasilnya masih samar dan tidak ada sebarang pengumuman besar dilakukan sejak rombongan itu kembali ke tanah air.

Selain China, Lim juga berkata imej yang digarap Mahathir sebagai wira dunia ketiga ketika kali pertama menjadi Perdana Menteri dahulu membuatkannya tidak diyakini di barat terutama sekali Amerika Syarikat.

“Kadangkala kenyataan beliau terlalu hampir dengan retorik anti-semitik dan ini tidak diterima baik oleh institusi-institusi kewangan yang berkuasa di Amerika.

“Oleh sebab itu, Jepun mungkin tinggal satu-satunya jalan untuk Mahathir mendapatkan bantuan kewangan,” kata Lim lagi.

‘Bon Samurai’

Pada Jumaat, kerajaan Malaysia dalam pembentangan belanjawan tahun 2019 mendedahkan bahawa ia telah berjaya mendapat pinjaman “Bon Samurai” daripada kerajaan Jepun semasa lawatan Perdana Menteri Mahathir ke negara matahari terbit itu pada Jun dan Ogos lalu.

Mengulas mengenai bon tersebut, Mahathir pada Jumaat berkata bon berkenaan bernilai 200 billion yen (7.4 billion ringgit) adalah perolehan pertama dan akan digunakan untuk melunaskan hutang berfaedah tinggi yang sedang ditanggung negara.

“Kerajaaan dahulu mengambil hutang pada kadar faedah 6 peratus dan mereka cuma dapat 90 peratus daripada jumlah yang dipinjamkan. Apabila kita ditawarkan hutang pada kadar faedah 0.65 peratus untuk membayar hutang-hutang tersebut, ia jelas lebih baik,” kata Perdana Menteri itu semasa ditemui media pada Jumaat.

Mahathir juga berkata jumlah tersebut cuma yang pertama dan kerajaan mungkin menerima lebih lagi di masa hadapan.

Sehingga hujung bulan April, kerajaan terdahulu telah membelanjakan 7 billion ringgit secara tersembunyi untuk melangsaikan hutang skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dan bertanggungjawab untuk membayar sehingga 43.9 billion ringgit lagi akibat daripada skandal tersebut.

Walau bagaimanapun, pakar geopolitik Asia Timur James Chin berkata hubungan antara Malaysia dan China masih dapat diperbaiki kerana Beijing sedang menunggu untuk Mahathir meletakkan jawatan supaya mereka dapat memulakan semula perbincangan dengan pengganti beliau, Anwar Ibrahim.

“Semua orang tahu Mahathir meminati negara Jepun dan ini terbukti melalui polisi-polisi perdana menteri itu. China tahu mereka hanya perlu bersabar selama 2 tahun sementara menunggu Mahathir meletakkan jawatan. Mereka ingin tahu apakah perancangan Anwar,” kata Chin.

Mahathir juga dijangka menghadiri satu sesi perbincangan bersama perdana menteri Jepun Shinzo Abe sebelum pulang ke tanah air pada Rabu.

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.