Istana Kelantan Tarik Balik Gelaran Mahathir

Hata Wahari
2018.02.08
Kuala Lumpur
180208-my-mahathir-kelantan1000.jpg Pengerusi gabungan pembangkang Pakatan Harapan, Mahathir Mohamad ketika menjawab soalan pemberita pada satu sidang media di pejabat Parti Pribumi Bersatu Malaysia di Petaling Jaya, 30 Januari, 2018.
[S. Mahfuz/BeritaBenar]

Yang di-Pertuan Agong, Sultan Muhammad V yang juga merupakan Sultan Kelantan, menarik balik darjah kebesaran yang dianugerahkan kepada bekas Perdana Menteri, Mahathir Mohamad berkuatkuasa pada Selasa, menurut Setiausaha Kerajaan Negeri Kelantan kepada BeritaBenar.

Setiausaha kerajaan tersebut Mohd Faudzi Che Mamat ketika dihubungi pada Khamis mengesahkan penarikan balik pingat darjah kebesaran itu.

“Ya, saya mengesahkan bahawa Sultan Kelantan telah menarik balik gelaran yang dikurniakan kepada Mahathir Mohamad pada 2002,” kata Mohd Faudzi kepada BeritaBenar semasa dihubungi dari Kuala Lumpur pada Khamis.

Mohd Fauzi bagaimanapun enggan mengulas lanjut mengapa gelaran itu ditarik balik.

Seorang pegawai pejabat Mahathir ketika dihubungi BeritaBenar mengesahkan penarikan darjah kebesaran, dan sedang dalam proses untuk menghantar semula darjah kebesaran itu.

Mahathir yang merupakan Pengerusi gabungan parti pembangkang terbesar Malaysia, Pakatan Harapan (PH) dan juga Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) menerima surat penarikan balik Darjah Kerabat (DK) Al-Yunusi Kelantan itu di kediamannya di Seri Kembang pada Khamis.

Darjah DK itu hanya dikurniakan kepada 25 individu pada satu-satu masa, dan lazimnya kepada kerabat diraja.

Selain Mahathir, penarikan darjah kebesaran juga dibuat terhadap dua pemimpin kanan Parti Amanah Negara (AMANAH)

Sultan Kelantan menarik balik pingat yang membawa gelaran Datuk kepada Naib Presiden Parti Amanah Negara (PAN) Husam Musa dan pengerusi parti itu bagi negeri Kelantan, Wan Abd Rahim Wan Abdullah.

Sama seperti surat yang dihantar kepada Husam dan Wan Abd Rahim, makluman mengenai penarikan balik pingat untuk Mahathir juga ditandatangani Mohd Faudzi.

Sebenarnya, penarikan semula pingat kebesaran Sultan Kelantan itu bukanlah sesuatu yang baru.

Sultan Kelantan pernah menarik balik anugerahnya pada 2010 membabitkan beberapa individu termasuk Anggota Parlimen Gua Musang Tengku Razaleigh Hamzah dan Presiden Pertubuhan Pribumi Perkasa (PERKASA) Ibrahim Ali.

Mahathir dan isteri, Siti Hasmah Mohd Ali pada 7 Disember lepas telah memulangkan  dan menyerahkan kembali Darjah-darjah dan Bintang-bintang Kebesaran Selangor kepada Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor.

Beliau memulangkan Darjah Kebesaran Seri Paduka Mahkota Selangor (SPMS) kelas pertama dan Darjah Yang Amat Dihormati Kelas Pertama (DK) Selangor.

Mahathir, Perdana Menteri paling lama Malaysia menerima darjah kebesaran SPMS pada tahun 1978 dan DK sebulan sebelum melepaskan jawatan secara rasmi sebagai Perdana Menteri pada Oktober 2013.

Dalam sistem Di-Raja di Malaysia, pemimpin-pemimpin kerajaan dan orang yang telah memberi jasa kepada rakyat, dikurniakan pingat dan bintang kebesaran, yang membawa gelaran seperti Dato' dan Dato' Seri.

Pemulangan pingat-pingat dikurniakan Sultan Selangor kepada Mahathir, yang dibuat beberapa hari sebelum sambutan Hari Keputeraan Sultan Sharafuddin Idris Shah yang ke-72 pada 11 Disember, dipercayai susulan  kenyataan pihak istana dan Sultan Sharafuddin yang tidak berpuas hati dengan tindak-tanduk bekas perdana menteri itu termasuk kenyataan Mahathir mengenai bangsa Bugis.

“Untuk membina nama baik sangat sukar, untuk menghancurkannya sangat mudah. Mahathir menjadi perdana menteri selama 22 tahun, bukan dengan usaha sendiri sahaja. Parti (Umno) yang letak beliau di situ dan sekarang dia mahu menghancurkan parti itu.

“Beliau fikir 22 tahun pentabirannya sangat hebat. Beliau tak mahu mana-mana perdana menteri lain jadi lebih baik daripada beliau dan cuba jatuhkan mereka. Sebab itu saya kata beliau ada ‘inferiority complex’,” kata Sultan Sharafuddin dalam satu wawancara yang disiarkan The Star pada Disember lalu.

Sultan Kelantan yang dilantik sebagai Yang diPertuan Agong  ke-15 pada 14 Oktober 2016 dilihat amat rapat dengan Perdana Menteri, Najib Razak dengan mengadakan lawatan rasmi ke Pejabat Perdana Menteri  pada Isnin.

Mahathir merupakan pengkritik paling lantang kerajaan Najib berikutan pendedahan yang dibuat berkaitan dengan dana 1 Malaysia Development Berhad (1MDB) di mana  sebanyak RM2.6 bilion telah dimasukkan ke dalam akaun peribadi Najib, serta hutang 1MDB berjumlah kira-kira RM42 bilion ringgit.

1MDB yang sarat dengan hutang itu menjadi sasaran penyiasat pengubahan wang haram di beberapa negara, termasuk Amerika Syarikat, Switzerland dan Singapura, tetapi tidak ada tindakan undang-undang diambil di Malaysia. Najib menubuhkan dana berkenaan pada 2009 untuk menggalakkan pembangunan ekonomi di Malaysia.

Mahathir, pengerusi gabungan pembangkang Pakatan Harapan yang terdiri daripada empat parti pembangkang utama iaitu Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM), Parti Keadilan Rakyat (PKR), Parti Amanah Negara (PAN) dan Parti Tindakan Demokratik (DAP).

Pertembungan sengit dijangka berlaku antara Pakatan Harapan dan UMNO dan Barisan Nasional yang dipimpin Najib di dalam pilihanraya umum ke-14 Malaysia, yang perlu diadakan paling akhir Ogos tahun ini.

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.