Ahli Parlimen Parti Mahathir Calonkan Pemimpin Lain Sebagai PM Malaysia

Amy Chew
2020.02.28
Kuala Lumpur, Malaysia
200228-MY-Mahathir-Muhyiddin1000.jpg Mahathir Mohamad (kanan) bercakap kepada media semasa mengumumkan kemenangan pilihan raya umum, dengan Muhyiddin Yassin yang juga presiden parti Bersatu pimpinan Mahathir, berdiri di sebelah di sebuah hotel di Kuala Lumpur, 9 Mei, 2018.
[AP]

KEMASKINI pada 6.35 petang waktu tempatan ETS - 2020-02-28

Bekas menteri dalam negeri dilihat bakal menjadi pemimpin utama Malaysia yang berikutnya, selepas Yang di-Pertuan Agong memperkenan keputusan Yang Dipertua Dewan Rakyat untuk tidak mengadakan mesyuarat khas bagi memilih Perdana Menteri negara itu.

Kenyataan itu menunjukkan perubahan keadaan berbanding semalam di mana Perdana Menteri interim Mahathir Mohamad selepas mengadap Yang di-Pertuan Agong berkata Dewan Rakyat akan mengadakan mesyuarat khas pada Isnin, untuk menentukan Ahli Parlimen yang mendapat sokongan majority untuk memimpin negara.

"Seri Paduka Baginda turut berkenan dengan keputusan yang telah diambil oleh Yang Dipertua Dewan Rakyat untuk tidak memanggil mesyuarat khas Dewan Rakyat pada Isnin, 2 Mac, 2020," menurut kenyataan Istana Negara pada Jumaat.

"Istana Negara akan berhubung dengan ketua-ketua pimpinan parti politik yang mempunyai wakil dalam Dewan Rakyat bagi memberi peluang kepada mereka untuk mengemukakan pencalonan nama Ahli Parlimen sebagai bakal perdana menteri," kata kenyataan itu lagi.

Dalam peristiwa yang mengejutkan, gabungan blok parti Barisan Nasional dan berpuluh-puluh Ahli Parlimen parti Bersatu pimpinan Mahathir bersama memberi sokongan kepada Muhyiddin Yassin, yang berkhidmat sebagai Menteri Dalam Negeri dibawah Mahathir, sebagai calon pilihan bagi perdana menteri. Bagaimanapun masih belum jelas sama ada Mahathir akan turut menjadi calon perdana menteri, menurut beberapa kenyataan.

"Mesyuarat Ahli Parlimen Bersatu hari ini telah memutuskan untuk mencalonkan Presiden Bersatu dan Ahli Parlimen Pagoh Muhyiddin Yassin sebagai Perdana Menteri kelapan untuk perkenan Yang di-Pertuan Agong," kata Setiausaha Agung Bersatu Marzuki Yahya dalam kenyataan pada Jumaat.

Dengan penampilan yang serius dan kurang menonjol, Muhyiddin, 72, merupakan menteri dalam negeri sebelum Mahathir meletakkan jawatan pada Isnin yang menyebabkan terbubarnya kerajaan Pakatan Harapan (PH) yang ditadbir oleh pemimpin berusia 94 tahun itu.

Pencalonan Muhyiddin menerima sokongan komponen parti-parti Barisan Nasional, gabungan yang menguasai politik Malaysia sehingga kekalahan pada pilihan raya umu 2018, bersama dengan Parti Islam Se-Malaysia (PAS).

Tetapi, penasihat media Mahathir, A Kadir Jasin, berkata pencalonan Muhyiddin tidak diputuskan oleh Majlis Tertinggi Bersatu.

"Sebagai penjelasan, keputusan itu tidak dibuat oleh Bersatu. Majlis Tertinggi tidak diajak berunding atau dimaklumkan mengenai perkara itu," kata Kadir dalam catatan Facebook pada Jumaat.

"Pendirian Majlis Tertinggi adalah seperti perjumpaan pada Isnin di mana Tun Dr Mahathir Mohamad kekal sebagai Perdana Menteri," katanya.

Sementara itu, Anwar Ibrahim yang telah dinamakan sebagai pengganti Mahathir apabila Pakatan Harapan merampas kuasa pemerintahan pada 2018, berkata beliau juga menerima sokongan untuk menjadi Perdana Menteri Malaysia kelapan.

"Pakatan Harapan mempunyai sokongan yang lebih. Marilah kita lihat proses demokrasi ini, "kata Anwar dalam catatan FB.

Dalam kenyataan berasingan, Majlis Presiden Pakatan Harapan menyatakan keyakinannya bahawa Anwar telah "menerima pencalonan terbesar" daripada kalangan Ahli Parlimen.

"Majlis Presiden percaya calon Pakatan Harapan, Dato 'Seri Anwar Ibrahim harus diberi peluang untuk menghadap Yang di-Pertuan Agong untuk membuktikan keyakinan majoriti Ahli Parlimen," kata kenyataan itu.

Dengan semua perkara yang berlaku pada Jumaat, pihak-pihak yang menyokong Muhyiddin dilantik sebagai Perdana Menteri berjaya menguasai 96 kerusi parlimen, manakala pihak Anwar mendakwa telah menguasai sekurang-kurangnya 92 kerusi. Seorang calon untuk perdana menteri mesti memperolehi 112 kerusi parlimen untuk mendapatkan sokongan majoriti yang diperlukan dalam membentuk kerajaan baru.

Bagi Mahathir, status beliau masih belum jelas sehingga lewat Jumaat. Tiada kenyataan yang dikeluarkan oleh perdana menteri interim itu atau parti-parti di Borneo Malaysia yang sejak sekian lama menjadi penentu dalam politik negara.

Peguam Negara letak jawatan

Sementara itu Tommy Thomas telah meletakan jawatannya sebagai Peguam Negara dan mengesahkan kepada BeritaBenar dalam satu pesanan ringkas tanpa memberi sebab kenapa beliau berbuat demikian.

Thomas, seorang peguam kanan Kristian dari etnik India telah dilantik oleh Mahathir pada 2018 sebagai pendakwaraya tertinggi negara, adalah daripada etnik minoriti Malaysia yang pertama berkhidmat ke jawatan itu.

Namun, pengumuman Mahathir disambut dengan kecaman Melayu Muslim yang bimbang pelantikan itu akan menyebabkan kompromi terhadap status dan hak-hak orang Melayu dan Bumiputera serta status Islam sebagai agama rasmi Persekutuan.

Pada minggu lepas, Thomas mengumumkan bahawa pejabatnya telah mengugurkan semua pertuduhan terhadap dua Anggota Dewan Undangan Negeri dan sepuluh lagi lelaki yang didakwa terlibat dalam memberi sokongan kepada kumpulan pemberontak Sri Lanka, dengan mengatakan ‘tiada prospek realistik’ bahawa mana-mana tertuduh akan disabitkan.

Muhyiddin, yang masih menjadi menteri ketika peguam negara menggugurkan pertuduhan itu pada 21 Februari lalu, mengkritik keputusan Thomas, manakala PAS, parti Islam konservatif meminta Thomas untuk meletakkan jawatan, menurut laporan. Parti Islam itu juga mengancam untuk mengadakan perhimpunan awam jika kerajaan tidak memecat Thomas dan mengembalikan semula pertuduhan terhadap 12 lelaki dalam kes kumpulan pemberontak Harimau Pembebasan Tamil Eelam [LTTE]

Penganalisis: Muhyiddin dilihat sebagai 'Melayu dahulu’

Status Mahathir masih belum jelas sehingga lewat Jumaat. Tiada kenyataan yang dikeluarkan oleh perdana menteri interim itu atau parti-parti di Borneo Malaysia yang sejak sekian lama menjadi penentu dalam politik negara.

Menurut penyelidik felo di Institut Alam dan Tamadun Melayu di Universiti Kebangsaan Malaysia, Mohd Faizal Musa, sokongan Barisan Nasional dan PAS kepada Muhyiddin untuk menjadi perdana menteri berikutnya dilihat sebagai "langkah untuk menyelamatkan beberapa elit politik. "

Ditanya mengapa Muhyiddin menerima sokongan Barisan dan PAS, Faizal memberitahu BeritaBenar: "Ini kerana beliau selalu dilihat sebagai orang Melayu dahulu. Anwar mempunyai sokongan daripada bukan Melayu. Jadi, itulah yang telah digambarkan. "

Awal minggu ini, Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah menemu bual secara individu dengan hampir semua 222 Ahli Parlimen selama dua hari untuk menentukan siapa yang disokong mereka untuk dilantik sebagai perdana menteri selepas Mahathir meletak jawatan itu pada 24 Feb.

Pada hari sama, Yang di-Pertuan Agong menerima peletakan jawatan Mahathir tetapi beberapa jam kemudian melantiknya sebagai perdana menteri interim.

Menurut Perlembagaan Persekutuan, Yang di-Pertuan Agong mempunyai bidang kuasa untuk melantik Ahli Parlimen yang menerima sokongan majoriti daripada 222 Ahli Parlimen sebagai perdana menteri. Calon itu hanya memerlukan sokongan daripada 112 Ahli Parlimen.

Pada Jumaat, Speaker Dewan Rakyat Mohamad Ariff Md Yusof menolak kenyataan Mahathir pada Khamis bahawa Yang di-Pertuan Agong bertitah kepadanya yang temu bual dengan semua Ahli Parlimen tidak dapat menyelesai masalah kepimpinan negara kerana tiada Ahli Parlimen yang memperoleh majoriti ketara.

"Oleh itu, mesyuarat khas Dewan Rakyat akan diadakan pada 2 Mac untuk menentukan siapa mendapat sokongan majoriti bagi menjadi perdana menteri berikutnya. Bagaimanapun, sekiranya Parlimen gagal menemukan calon dengan sokongan majoriti, kita perlu mengadakan pilihan raya mengejut," kata Mahathir kepada pemberita pada Khamis.

Yang Dipertua Dewan Rakyat memberitahu beliau telah menerima Surat Pemakluman Memanggil Mesyuarat Khas Dewan Rakyat yang ditandatangani perdana menteri interim untuk memaklumkan bahawa pihak kerajaan telah bersetuju supaya Dewan Rakyat dipanggil bermesyuarat pada Isnin.

"Namun demikian, saya mendapati surat berkenaan tidak menepati Peraturan Mesyuarat 11(3) kerana tiada Pemberitahuan Usul yang lengkap,” kata Mohamad Ariff dalam satu kenyataan.

“Saya berpendapat keperluan untuk mengadakan Mesyuarat Khas Dewan Rakyat akan dibuat selepas mendapat pemakluman titah rasmi daripada Yang di-Pertuan Agong berhubung proses pemilihan Perdana Menteri," katanya.

Pada awalnya kekecohan peletakan jawatan Mahathir, Muhyiddin berkata parti Bersatu berada di belakang Mahathir sebagai pilihan bagi perdana menteri.

Muhyiddin pernah berkhidmat sebagai timbalan perdana menteri di bawah pentadbiran Perdana Menteri Najib Razak, tetapi telah dipecat dari jawatan itu pada 2015 selepas beliau secara terbuka dan lantang mengkritik mengenai skandal kewangan yang dikaitkan dengan Najib yang didakwa mencuri ratusan juta dolar daripada 1MDB, sebuah dana pelaburan negara.

Kedua-dua Mahathir dan Muhyiddin kemudiannya keluar dari parti Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu (UMNO), serta BN dan kemudiannya menyertai pembangkang serta berkempen pada pilihan raya lalu untuk menyingkirkan Najib daripada berkuasa, dan menghapuskan rasuah. Najib kini berdepan dengan 42 pertuduhan berkaitan perlbagai kesalahan rasuah berkait dengan urusan 1MDB.

Apabila terdapatnya laporan yang mengatakan Muhyiddin mencari rakan sekutu dan mungkin bekerjasama dengan UMNO dan mempunyai potensi membentuk kerajaan baru, Mahathir memberitahu media bahawa beliau dan Muhyiddin mempunyai pandangan yang berbeza berhubung kerjasama dengan bekas parti pemerintah itu.

"Kedudukan saya, tentu sahaja, saya tidak akan menerima UMNO sebagai parti komponen tetapi Muhyiddin lebih relaks, agak bersedia untuk menerima mereka," kata Mahathir.


Nisha David di Kuala Lumpur turut membantu kepada laporan ini.

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.