Mahathir Mohon Mahkamah Soal Balas Najib

Hata Wahari
2016.05.10
Kuala Lumpur
160510-my-mahathir620 Bekas Perdana Menteri Malaysia Mahathir Mohamad bersama beberapa pemimpin lain, menadahkan tangan berdoa pada satu perhimpunan di Shah Alam, Selangor, 27 Mac 2016.
AFP

Bekas Perdana Menteri Mahathir Mohamad pada Selasa telah membuat permohonan kepada mahkamah untuk memanggil dan menyoal balas Perdana Menteri Najib Razak berhubung fakta bercanggah yang terkandung dalam afidavitnya yang difailkan pada April lepas, kata Peguamnya kepada BeritaBenar.

Mohamed Haniff Khatri berkata, permohonan itu yang dibuat secara bersama antara Mahathir dan dua lagi bekas anggota UMNO, Khairuddin Abu Hassan dan Anina Saadudin di Pejabat Pendaftar Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, mempertikaikan kenyataan Najib yang didapati bercanggah, tidak konsisten serta kurang jelas dalam afidavit yang bertarikh 12 April lepas.

Pada 23 Mac lepas, Mahathir bersama Khairuddin dan Anina telah menfailkan saman terhadap Najib berhubung dakwaan salah laku dalam jawatan awam berhubung siasatan kes 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Saman yang dikemukakan itu turut mendakwa Najib sengaja mengganggu siasatan berkenaan syarikat dana negara itu dan juga syarikat lain yang berkaitan, serta siasatan aliran masuk wang RM2.6 bilion dan RM42 juta daripada SRC International ke dalam akaun peribadinya.

Mohamed Haniff yang mewakili ketiga-tiga mereka semasa dihubungi BeritaBenar di pejabatnya berkata, permohonan itu bertujuan memohon kepada mahkamah agar Najib hadir ke mahkamah untuk menjawab beberapa persoalan termasuk pertikaian terhadap penggunaan perkataan “pegawai awam”.

Najib telahpun memfailkan permohonan untuk membatalkan saman Dr. Mahathir baru-baru ini, yang sekaligus bermaksud Perdana Menteri tidak mahu hadir ke mahkamah untuk menjawab soalan, tambah peguam itu.

Mohamed Haniff berkata, permohonan mahkamah oleh ketiga-tiga plaintif pada Selasa, adalah antara beberapa siri tuntutan yang telah dikemukakan keatas Najib dengan kali ini mahu mahkamah membuat keputusan untuk memanggil Perdana Menteri hadir di mahkamah.

Kenyataan bercanggah


Menurut permohonan itu juga, ketiga-tiga plaintiff mendakwa Najib dalam afidavitnya berkata “sebagai Perdana Menteri Malaysia, Menteri Kewangan, Pengerusi Barisan Nasional dan Presiden UMNO”, beliau “bukannya kakitangan kerajaan atau pegawai awam.”

“Sedangkan dalam perenggan 25 Afidavit Defendan (1) tersebut, Defendan telah pun mengaku berada dalam pejabat awam....,” kata permohonan itu.

Permohonan itu juga menyebut Najib dalam afidavitnya menafikan telah melucutkan jawatan Timbalan Perdana Menteri Muhyiddin Yassin dan Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah Shafie Apdal dalam rombakan Kabinet tahun lepas.

Najib juga menafikan empat anggota Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) yang sedang menyiasat dakwaan ke atas 1Malaysia Development Berhad (1MDB) telah dilantik sebagai Menteri atau Timbalan Menteri yang menyebabkan mereka kehilangan kelayakan untuk terus bertindak sebagai anggota jawatankuasa tersebut, menurut permohonan itu.

Permohonan itu menyebut fakta-fakta tersebut “tidak dapat disanggah kesahihannya dan berada dalam domain awam”.

Disoal di mahkamah


“Demi keadilan dan integriti proses  hukum adalah amat penting dan wajar bagi plaintif (Mahathir, Khairuddin dan Anina) dibenarkan memanggil Defendan (Najib) untuk disoal-balas, agar Defendan dapat menjelaskan kenyataannya yang samar, kurang persis, bercanggah dan tidak konsisten dengan fakta-fakta kontemporari yang tidak boleh disanggah,” kata permohonan itu.

Mahathir, 90, yang menjadi perdana menteri dari 1981 hingga 2003, adalah antara pengkritik Najib yang paling lantang. Sejak tahun lepas, beliau telah menerajui gesaan supaya Najib meletakkan jawatan berikutan skandal kewangan, terutamanya berhubung deposit wang berbilion ringgit ke dalam akaun bank peribadi perdana menteri itu pada 2013.

Pada Januari, Peguam Negara Mohamed Apandi Ali membersihkan Najib daripada potensi salah laku dan mengarahkan siasatan terhadap perdana menteri itu ditutup, dengan menyatakan bahawa "tiada kesalahan jenayah" yang dilakukan beliau.

Wang sebanyak US$681 juta yang dimasukan ke akaun peribadi perdana menteri itu merupakan sumbangan peribadi kepada Najib daripada keluarga diraja Arab Saudi, dan sebahagian besar daripadanya telah dikembalikan kepada penyumbangnya, demikian menurut Apandi.

Najib menegaskan bahawa beliau tidak pernah mengambil wang untuk kepentingan dirinya.

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.