Isu Bugis: Polis Ambil Keterangan Mahathir Untuk Siasatan Atas Tiga Akta

N. Nantha
2017.12.13
Kuala Lumpur
171213-my-mahathir620.jpg Beberapa anggota Polis Malaysia berbual dengan barisan peguam bekas Perdana Menteri Mahathir Mohamad selepas memberi keterangan di Yayasan Kepimpinan Perdana, Putrajaya, 13 Disember, 2017.
(N. Nantha/BeritaBenar)

Pihak berkuasa Malaysia telah merekodkan kenyataan bekas perdana menterinya Mahathir Mohamad untuk disiasat di bawah tiga akta atas kenyataan beliau yang dikatakan menghina keturunan Bugis di Malaysia.

Bugis merupakan salah satu etnik kecil di Malaysia. Tiada data sahih yang merekodkan jumlah sebenar walaupun dikatakan ada lebih 100,000 rakyat Malaysia yang berbangsa Bugis termasuklah Perdana Menteri Malaysia Najib Razak

Ketika perhimpunan kleptokrasi di Petaling Jaya pada Oktober lepas, Mahathir dilaporkan telah mengeluarkan kenyataan mengkritik Perdana Menteri Najib Razak dengan mengatakan Najib berasal daripada keturunan lanun Bugis yang sesat ke Malaysia dan meminta beliau balik ke tempat asal.

Kenyataan Mahathir yang juga Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia yang menggunakan isu ras dan etnik itu dianggap bahaya dan telah mendapat kecaman rakyat Malaysia berketurunan Bugis serta menimbulkan kemurkaan Sultan Selangor dan Sultan Johor yang berketurunan Bugis.

Polis telah mengambil kenyataan Mahathir, selama 45 minit bermula 2 petang di Yayasan Kepimpinan Perdana di Putrajaya, iaitu pejabat beliau selepas bersara daripada jawatannya sebagai perdana menteri.

Kenyataan Mahathir telah direkodkan oleh pasukan dari Bukit Aman yang tiba seawal 1.30 petang, terdiri dari empat orang pegawai dan dua anggota.

Jawab di mahkamah

Pasukan peguam Mahathir yang diketuai oleh Mohamed Haniff Khatri Abdulla berkata anak guamnya telah memberikan kerjasama kepada pasukan polis yang menyenaraikan sebanyak 32 soalan dalam tujuh helai kertas dan dikemukakan kepada Mahathir semasa soal siasat itu.

"Ada soalan yang dijawab dan ada setengah yang beliau tidak jawab dan menggunakan hak beliau untuk menjawab soalan tersebut di mahkamah nanti," kata Haniff ketika ditemui pemberita di luar bangunan Yayasan Kepimpinan Perdana, selepas selesai sesi ambil keterangan di Putrajaya itu.

Haniff berkata, soalan-soalan berkisar kepada kenyataan Mahathir yang dikeluarkannya semasa perhimpunan Anti - Kleptokrasi di Petaling Jaya pada Oktober 14 dan juga satu lagi program di Shah Alam pada bulan Julai lalu.

Menurut Haniff, Mahathir disiasat dibawah tiga kesalahan iaitu hasutan, kenyataan berbentuk provokasi dan juga kesalahan di bawah akta Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia.

"Pegawai polis yang datang pada hari ini memberitahu tiga laporan polis telah dibuat dan siasatan menjurus kepada tiga pertuduhan di bawah tiga akta.

“Satu daripadanya di bawah Akta Hasutan 1948, kedua adalah Seksyen 504 Kanun Keseksaan dan satu lagi di bawah Akta Komunikasi dan Multimedia 1998,” tambahnya lagi.

Cabar dakwa di mahkamah

Mahathir, katanya, bersedia untuk menjawab segala pertuduhan mengenai isu Bugis itu di mahkamah dengan anak guamnya tidak gentar untuk dihukum.

“Tun tidak bimbang akan hukuman serta pertuduhan, tetapi kalau nak buat tuduhan, lebih baik buat pertuduhan. Jangan buang masa dia. Ini kali ke-5 polis ambil keterangan darinya merangkumi pelbagai isu.

"Sudah-sudahlah membuang masa pemimpin tua ini. Jikalau ada kesalahan dan yakin beliau telah melakukannya, sila dakwanya di mahkamah," kata Haniff lagi dengan sinis.

Menurut sumber, Mahathir dikatakan telah memberitahu pegawai-pegawai penyiasat bahawa ini adalah suatu tindakan yang bodoh sekiranya beliau didapati menyasarkan dan memalukan kesemua kaum Bugis kerana beliau dan parti pembangkang juga mahukan sokongan dari etnik tersebut.

"Beliau memberitahu polis tersebut bahawa jawapan akan diberikan di mahkamah dan juga menjelaskan bahawa kenyataan Bugis beliau bukan ditujukan pada semua tetapi hanya kepada pencuri yang dikenali sebagai Najib," kata sumber itu kepada BeritaBenar pada Rabu.

Kenyataan Mahathir mengenai Bugis telah mendapat reaksi dari Istana Selangor dan dalam satu kenyataan pada 2 November lalu, Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah, dikatakan murka dan dukacita dengan ucapan Mahathir dan telah meminta polis untuk menyiasat beliau kerana dikatakan mengeluarkan kenyataan benci terhadap bangsa Bugis.

Sultan Selangor juga dalam temubual dengan akhbar tempatan berbahasa Inggeris The Star baru-baru ini, telah mengatakan bahawa Mahathir mempunyai masalah "inferiority complex" dan kemarahan beliau boleh membakar negara.

Mahathir pulangkan pingat

Mahathir pada Khamis lalu telah memulangkan kedua-dua pingat Darjah Kebesaran yang beliau terima dari Istana Selangor termasuklah pingat tertinggi yang dianugerahkan kepada beliau dan isterinya, Siti Hasmah Mohamad Ali turut berbuat demikian.

“Saya tidak fikir saya layak untuk memegang kedua-dua darjah kebesaran tersebut, Saya dianugerahkan darjah kebesaran itu pada masa itu kerana baginda (Sultan Selangor) fikir saya berhak,” kata Mahathir pada Selasa kepada pemberita.

Mahathir, Perdana Menteri Malaysia paling lama menerima darjah kebesaran Darjah Kebesaran Seri Paduka Mahkota Selangor SPMS pada tahun 1978 dan Darjah Yang Amat Dihormati Kelas Pertama (DK) sebulan sebelum beliau melepaskan jawatan secara rasmi sebagai Perdana Menteri pada Oktober 2013.

Pada Selasa, Dewan Di-Raja Selangor mengesahkan bahawa Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah telah berkenan menerima kembali empat pingat kebesaran yang dipulangkan Mahathir dan isterinya yang diserah kepada istana minggu lepas berikutan kemarahan Sultan itu.

Dalam sistem Di-Raja di Malaysia, pemimpin kerajaan dan orang yang telah membawa jasa kepada rakyat oleh pihak istana negeri dikurniakan pingat dan bintang kebesaran, yang turut membawa gelaran seperti Dato' dan Dato' Seri.

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.