Bekas Pemimpin Malaysia Menangi Pilihan Raya Umum Bersejarah

Staf BeritaBenar
2018.05.09
Kuala Lumpur, Malaysia
180509-MY-elex-Mahathir-620.jpg Mahathir Mohamad membuat gerakan isyarat tangan semasa sidang akhbar di sebuah hotel di Kuala Lumpur, 9 Mei 2018.
[AP]

Mahathir Mohamad muncul sebagai pemenang selepas memimpin blok pembangkang utama Malaysia untuk meraih kemenangan mengejut pada awal pagi Khamis (waktu tempatan) menewaskan gabungan parti pemerintah yang pernah beliau bantu sehingga menjadi kuasa politik yang dominan di negara itu.

Mahathir, yang akan berusia 93 tahun pada 10 Julai, keluar dari tempoh persaraan politik beliau dua tahun lepas dan mendesak agar kerajaan dibersihkan. Beliau kemudian menjadi kuasa pendorong pembangkang dan berpegang teguh kepada ikrar untuk menghancurkan gabungan parti pemerintah Barisan Nasional (BN) pada hari pengundian.

Blok Pakatan Harapan (PH) pimpinan beliau yang terdiri daripada empat parti telah menewaskan Barisan Nasional pimpinan bekas protégénya, Perdana Menteri Najib Razak, yang telah dicemari dakwaan rasuah sepanjang tempoh sembilan tahun berkuasa.

Pada Rabu malam, beberapa jam selepas sekurang-kurangnya 70 peratus daripada sejumlah 15 juta pengundi berdaftar keluar untuk membuang undi, Mahathir mendakwa Pakatan telah memenangi jumlah kerusi parlimen yang mencukupi dalam pilihan raya umum itu, yang membolehkannya membentuk kerajaan seterusnya.

“Nampaknya kita telah dapat mencapai jumlah 112 dan jumlah untuk BN adalah kurang daripada itu,” kata Mahathir kepada pemberita. “Ini bukan berita palsu. Mereka jauh ketinggalan. Kemungkinan besar mereka tidak dapat membentuk kerajaan.”

Keputusan akhir yang disiarkan pada pagi Khamis (waktu tempatan) di laman sesawang Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia menunjukkan bahawa Pakatan telah memenangi sekurang-kurangnya 113 kerusi, lebih satu kerusi daripada jumlah 112 kerusi parlimen yang perlu dimenangi untuk mendapat majoriti mudah dan membentuk kerajaan baharu.

Dalam pilihan raya 9 Mei, pengundi dan penganalisis meramalkan bahawa Mahathir dan Pakatan mungkin memenangi undi popular berbanding Barisan namun tidak akan memenangi kerusi yang cukup untuk mendapat majoriti di parlimen, sebahagiannya kerana peta pilihan raya yang baharu digubal, yang menurut pemerhati dan pengkritik, kelihatan seolah-olah bakal merangsang peluang blok parti pemerintah untuk menang.

Pada pilihan raya 2013, BN hilang undi majoriti namun terus mengekalkan kekuasaan dengan memenangi 133 kerusi.

Mahathir, bekas doktor perubatan yang dikenali sebagai “Doktor M,” telah mentadbir negara yang majoriti penduduknya Islam itu secara kuku besi selama 22 tahun mulai 1981.

Semasa pemerintahannya, beliau telah membantu merubah Malaysia menjadi antara negara paling makmur di Asia Tenggara.

Pada 29 Feb 2016, Mahathir meninggalkan Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu  (UMNO), parti peneraju dalam blok parti pemerintah yang mendominasi politik Malaysia sejak kemerdekaan dari Britain pada 1957.

Bagaimanapun, untuk membantu menjatuhkan Najib, Mahathir berkata UMNO perlu dihancurkan.

Semasa ditemu bual oleh BeritaBenar pada September 2016, Mahathir menggambarkan UMNO sebagai “tidak dapat dipulihkan, sukar untuk mengembalikannya kepada keadaan sebelum ini.”

“Ia menjadi amat teruk. Ia dengan jelas, dan ketaranya menjadi sangat korup. Pemimpin-pemimpinnya korup,” katanya.

Mahathir telah mengejutkan negara apabila beliau beralih arah kepada pembangkang dan bergabung dengan musuh ketatnya, bekas Timbalan Perdana Menteri Anwar Ibrahim, yang pernah dipenjarakannya atas pertuduhan liwat. Anwar kini menjalani hukuman penjara atas sabitan liwat yang lain, namun dijangka dibebaskan pada Jun.

Anak pengetua

Merupakan anak seorang pengetua sekolah, Mahathir mendapat pendidikan di Kolej Sultan Abdul Hamid, antara sekolah tertua dan paling berprestij di negeri asalnya, Kedah.

Beliau memulakan kerjaya politik pada 1946 apabila menyertai UMNO. Selepas mendapat ijazah dalam bidang perubatan dari Universiti Malaya, Mahathir bertugas sebagai seorang pegawai kesihatan kerajaan dan kemudian membuka klinik kesihatan swasta di Kedah selama tujuh tahun.

Beliau telah dipilih sebagai anggota parlimen pada 1964 dan dilantik sebagai perdana menteri keempat negara pada 16 Julai 1981.

Di kemuncak kepimpinannya, Mahathir telah membangunkan industri berteknologi tinggi Malaysia. Beliau turut menyelia pembangunan projek mega termasuk Menara Berkembar  Petronas – bangunan paling tinggi di dunia sehingga 2004.

Dari 1991 hingga 1995, negara telah mengalami pertumbuhan ekonomi dengan kadar pengangguran yang rendah.

Bagaimanapun, sepanjang tempoh beliau menjadi perdana menteri, Mahathir turut berdepan kritikan selepas mengarahkan penangkapan dan penahanan lebih 100 orang, termasuk pemimpin pembangkang dan aktivis, di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri pada 1987. Kira-kira 30 tahun kemudian, Mahathir tidak memohon maaf namun rela dipersalah kerana penangkapan itu.

Semasa temu bual dengan Bloomberg News bulan lepas, Najib menggambarkan Mahathir sebagai seorang yang “obsess dengan kuasa dan membuat keputusan.”

Sementara itu, pihak berkuasa Amerika Syarikat mendakwa antara 2009 dan 2014, eksekutif tertinggi 1MDB dan sekutu Najib telah menggelapkan sekurang-kurangnya $4.5 bilion dari dana itu melalui satu skim pengubahan wang haram yang kompleks menerusi pemerolehan hartanah dan deposit bank di Amerika Syarikat, Singapura, Switzerland dan negara-negara lain.

Najib belum mengeluarkan kenyataan rasmi mengenai keputusan pilihan raya itu. Tiada pemimpin BN yang mengeluarkan sebarang komen kepada pemberita yang berhimpun di ibu pejabat parti UMNO pada Rabu.

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.