Follow us

Mahathir: Najib Pernah Tolak Penubuhan RCI

Fadzil Aziz
Putrajaya
2017-09-18
E-mel
Komen
Share
Bekas Perdana Menteri Mahathir Mohamad selepas memberi keterangan kepada Suruhanjaya Siasatan Diraja ditemui media di perkarangan Istana Kehakiman, Putrajaya, 18 September, 2017.
Bekas Perdana Menteri Mahathir Mohamad selepas memberi keterangan kepada Suruhanjaya Siasatan Diraja ditemui media di perkarangan Istana Kehakiman, Putrajaya, 18 September, 2017.
[Fadzil Aziz/BeritaBenar]

Perdana Menteri Najib Razak telah dengan sendiri menentang penubuhan sebuah Suruhanjaya DiRaja bagi menyiasat kes kerugian Bank Negara Malaysia (BNM) sebanyak RM44 bilion [AS$10 bilion] dalam urusniaga tukaran mata wang asing sekitar tahun 1990-an, kata bekas perdana menteri Mahathir Mohamad semasa memberi keterangannya pada Isnin.

Mahathir yang kini merupakan pengkritik paling lantang kerajaan Barisan Nasional berkata Najib yang merupakan ahli kabinetnya pada tahun 1993 telah bersetuju apabila kerajaan yang diterajuinya menolak permintaan bekas ketua pembangkan Lim Kit Siang dari Parti Tindakan Demokratik (DAP) yang memohon satu suruhanjaya DiRaja dibentuk untuk menyiasat kerugian BNM pada ketika itu.

“Ya, ahli kabinet termasuk Najib, turut menyokong keputusan tidak mengadakan RCI ketika itu,” Mahathir berkata ketika ditanya oleh peguam bekas Timbalan Perdana Menteri Anwar Ibrahim, Gurdial Singh Nijar semasa prosiding di Istana Kehakiman pada Isnin.

Mahathir menambah permohonan Kit Siang itu telah diajukan oleh pemimpin pembangkang tersebut kepada Anwar di Dewan Rakyat dan mengesahkan perkara tersebut telah dibincangkan dalam mesyuarat kabinet yang dianggotai Najib.

Najib ketika itu merupakan Menteri Pertahanan dalam kabinet Mahathir yang telah memimpin negara itu dari 1981 hingga 2003.

Mahathir, kini seorang pemimpin tertinggi gabungan pembangkang Pakatan Harapan, hadir sebagai saksi ke-24 suruhanjaya siasatan tersebut, yang dilihat sebagai pentas pentadbiran Najib untuk memberi tekanan kepada bekas perdana menteri itu.  

Sebelum ini, Anwar yang merupakan Ketua Umum Pakatan Harapan telah memberi keterangan sebagai saksi ke-21.

Pakatan pembangkang telah menyifatkan penubuhan suruhanjaya itu sebagai cubaan kerajaan Barisan Nasional membalas dendam terhadap Mahathir serta mengalihkan perhatian umum daripada skandal 1Malaysia Development Berhad.

Pada 15 Julai lalu, Yang di-Pertuan Agong memberi perkenan bagi penubuhan suruhanjaya itu untuk menyiasat kerugian yang dialami Bank Negara Malaysia disebabkan urusan niaga mata wang asing pada 1990-an mengikut Akta Suruhanjaya Siasatan.

Mohd Sidek, yang juga pengerusi Petronas, turut dibantu Hakim Mahkamah Tinggi Kamaludin Md Said, Ketua Pegawai Eksekutif Bursa Malaysia Tajuddin Atan, pengerusi bersama Pasukan Petugas Khas Pemudahcara Perniagaan (Pemudah) Saw Choo Boon dan anggota Institut Akauntan Malaysia K. Puspanathan, manakala Setiausahanya ialah Dr Yusof Ismail, yang juga setiausaha bahagian bagi Bahagian Pelaburan Strategik, Kementerian Kewangan.

Sebelum kewujudan suruhanjaya itu, satu Pasukan Petugas Khas yang telah ditubuhkan Najib mendapati wujudnya kes prima facie dalam kerugian Bank Negara yang dianggarkan AS$10 bilion (RM44.2 bilion).

Kerugian urus niaga mata wang itu berlaku semasa pemerintahan Mahathir sebagai perdana menteri dan Anwar sebagai Menteri Kewangan, iaitu sekitar tahun 1993 hingga 1998.

Tekanan kepada pengkritik Najib

Mahathir dalam keterangannya juga berkata niat penubuhan suruhanjaya itu adalah memberi tekanan kepadanya, Anwar dan juga pengkritik-pengkritik Najib, walaupun BNM telah memperkenalkan pelbagai langkah kawal selia selepas kerugian tersebut.

“Daripada rentetan peristiwa di dalam Perenggan 32 hingga 41 di atas, ianya dapat dilihat, walaupun isu forex yang sudah 25 tahun berlalu, Najib Razak melalui “pembantu-pembantunya” telah berjaya mewujudkan penubuhan Suruhanjaya Siasatan DiRaja ini dalam tempoh kurang daripada 25 hari (secara tepat19 hari sahaja),” kata Mahathir ketika membaca keterangan bertulisnya mengenai dakwaan menteri-menteri, bekas pegawai tinggi bank negara itu serta individu lain yang membantu Najib untuk menubuhkan suruhanjaya itu.

Mahathir juga berkata, siasatan terhadapnya oleh kerajaan Najib adalah untuk mencipta persepsi beliau adalah seorang kleptokrat. Beliau kini mencabar Najib untuk sendiri hadir memberi keterangan kepada suruhanjaya itu.

“Dia (Najib Razak) sepatutnya datang ke sini. Dia sepatutnya menjelaskan kenapa tidak bangkitkan isu ini dulu, tetapi hanya bangkitkannya sekarang. Sebaliknya, Najib kini tersenyum melihat semua ini,” katanya dengan sinis kepada media selepas memberi keterangan.

Ahli suruhanjaya perlu pegang amanah


Bekas perdana menteri itu juga dalam keterangannya mengingatkan kelima-lima ahli suruhanjaya itu supaya melaksanakan tugas sebagai pemegang amanah tanpa berpihak kepada sesiapa termasuk Najib.

“Saya dengan ini berharap dan memohon bahawa kesemua anda lima orang yang budiman yang telah dilantik oleh Ke Bawah Duli Yang Maha Mulia Yang di-Pertuan Agong sebagai Pesuruhjaya yang mengendalikan siasatan keatas Suruhanjaya Siasatan DiRaja ini, akan melaksanakan tugas anda untuk mencari kebenaran di atas nama Ke Bawah Duli Yang Maha Mulia Yang di-Pertuan Agong dan membuat rekomendasi yang betul dan tepat tanpa mengambil pihak untuk membantu Najib Razak merealisasikan niat jahatnya yang sebenar,” katanya dalam keterangan saksi.

Sebelum itu, saksi ke-23, bekas Menteri Kewangan Daim Zainuddin, berkata beliau tidak dimaklumkan oleh BNM mengenai penglibatan bank pusat itu dalam perdagangan mata wang asing ketika itu.

“Jika mereka (BNM) tidak maklumkan kepada saya, apa boleh saya buat? Bank negara di seluruh dunia, sama ada di Amerika Syarikat atau Australia, mereka semua badan bebas.

“Kita tidak persoalkan keputusan mereka. Mereka yang tentukan dan kita tidak campur tangan. Peranan mereka adalah untuk maklumkan kepada saya. Jika mereka tidak lakukan sedemikian, bagaimana harus saya tahu?” katanya ketika disoal suruhanjaya itu.

Tambahnya, terdapat lebih seribu agensi dibawah kementeriannya dan tidak mungkin beliau mengetahui kesemua kegiatan agensi-agensi tersebut.

“Sebab itulah kita bergantung hanya pada laporan yang diaudit,” Daim yang merupakan menteri kewangan dari 1986 hingga 1991 berkata.

Suruhanjaya siasatan itu telah menetapkan laporan penuh inkuiri tersebut akan siap dalam tempoh tiga bulan dan akan dipersembahkan kepada Yang di-Pertuan Agong sebelum 13 Oktober depan.

Mandat yang diberikan kepada suruhanjaya itu adalah untuk menentukan sama ada penglibatan BNM dalam aktiviti urus niaga mata wang asing yang menyebabkan kerugian tersebut bertentangan dengan Central Bank Ordinance 1958 atau mana-mana undang-undang yang berkaitan.

Selain itu, suruhanjaya itu menentukan sama ada terdapat elemen menyembunyikan fakta dan maklumat sebenar berhubung kerugian BNM dalam aktiviti urus niaga mata wang asing itu dan memberi kenyataan yang mengelirukan Jemaah Menteri, Parlimen dan rakyat.

Suruhanjaya itu juga mengesyorkan tindakan yang sesuai terhadap pihak-pihak yang terlibat secara langsung atau tidak langsung jika didapati mereka menyebabkan kerugian BNM itu,  sekali gus mengesyorkan langkah bagi memastikan perkara sama tidak berulang.

Lihat Laman Penuh