Peguam Tertuduh Kes Pembunuhan Kim Jong Nam Persoal Laporan Kimia

N. Natha
2017.07.28
Shah Alam, Malaysia
170728-MY-suspect-620.jpg Polis mengiringi warga Indonesian Siti Aisyah, antara suspek dalam kes pembunuhan Kim Jong Nam di perkarangan Mahkamah Shah Alam, 28 Julai, 2017.
[N. Natha/BeritaBenar]

Seorang daripada peguam bagi dua wanita yang dituduh membunuh abang tiri pemimpin diktator Korea Utara pada Jumaat mempersoalkan laporan kimia agen saraf yang diharamkan penggunaannya dan didakwa telah digunakan dalam serangan aneh di lapangan terbang Malaysia pada Februari lepas.

Peguam Gooi Soon Seng berkata pihak pembela akan meminta pendapat pakar untuk menentukan sama ada agen VX atau bahan kimia beracun lain digunakan dalam pembunuhan itu. Semasa sidang pendengaran kes pada Jumaat di Shah Alam, Selangor, pendakwaraya menyerahkan sebanyak 33 dokumen kepada pihak pembelaan, termasuk laporan bedah siasat dan toksikologi.

Peguam yang mewakili suspek warga Indonesia, Siti Aisyah bercakap kepada media selepas anak guamnya muncul di mahkamah, di mana hakim telah menetapkan 2 Oktober depan sebagai tarikh bermulanya pembicaraan kes pembunuhan melibatkan Siti Aisyah dan warga Vietnam Doan Thi Hoang.

"VX sepatutnya menjadi agen yang sangat kuat dan sukatan 0.1 mililiter sudah cukup untuk membunuh seseorang, tetapi kita boleh mengatakan ia tidak ada kesan sampingan kepada kedua-dua wanita," katanya selepas kedua-dua wanita itu muncul di mahkamah pada Jumaat.

Mereka telah didakwa melakukan pembunuhan kerana menyapu muka mangsa Kim Jong Nam dengan agen VX, yang boleh membawa maut, di sebuah terminal lapangan terbang di Kuala Lumpur yang penuh sesak pada Feb 13 lepas. Kim, abang tiri kepada pemimpin Korea Utara, Kim Jong Un, meninggal dunia kira-kira 15 minit kemudian, tetapi kedua-dua wanita itu, tidak melaporkan apa-apa kecederaan terhadap diri mereka selepas menyapu bahan kimia itu, kata polis Malaysia.

VX, pendek untuk "agen beracun X," adalah sebatian kimia sintetik yang sangat toksik yang boleh menyebabkan kematian dengan pendedahan kepada kuantiti yang rendah menerusi  penyedutan atau penyerapan melalui kulit, menurut American Chemical Society (Persatuan Kimi Amerika).

Berbaju kalis peluru dan Berbaju Melayu


Kedua-dua wanita itu hadhir di Mahkamah Tinggi Shah Alam. Tangan mereka digari dan memakai baju kalis peluru serta berpakaian tradisional Melayu "baju kurung."

Kira-kira 250 pegawai polis, termasuk pasukan gerak tempur, mengawal sekitar mahkamah semasa berlangsungnya sidang mahkamah yang berlangsung selama 30 minit.

Doan kelihatan tenang semasa pendengaran, tetapi Aisyah kelihatan menangis ketika sidang tu hampir tamat.

Hakim Azmi Ariffin memutuskan kedua-dua defendan itu dibicarakan secara bersama. Azmi juga menetapkan perbicaraan selama 11 hari pada Oktober ini, dengan 12 hari lagi pada bulan berikutnya. Peguam-peguam kepada kedua-dua wanita berkata mereka akan membuat pengakuan mereka pada hari pertama perbicaraan, pada 2 Oktober.

Pendakwaraya berkata 30 hingga 40 orang saksi akan dipanggil. Bukti yang diserahkan kepada peguam bela termasuk rakaman CCTV, menurut ketua pendakwa Muhammad Iskandar Ahmad. Peguam bela Gooi Soon Seng telah mengadu pada bulan lalu bahawa beliau tidak dapat menjalankan pembelaannya dengan baik bagi anak guamnya kerana tidak mempunyai bukti utama yang dikumpulkan oleh pihak pendakwaraya.

Andreano Erwin, pemangku Duta Besar Indonesia ke Kuala Lumpur, berada di mahkahamah semasa sesi pendengaran itu. Beliau memberitahu pemberita bahawa Aisyah mungkin merasa sedih dan tegang selepas berada dalam tahanan polis selama kira-kira lima bulan dan mungkin terpaksa menunggu tiga bulan lagi untuk memulakan perbicaraannya.

"Sesiapa yang berada dalam keadaan yang tidak menentu seperti Siti akan merasakan tekanan yang sama," kata Andreano, menggunakan nama pertama Aisyah.

Hanya yang didakwa

Kedua-dua wanita yang berhadapan hukuman mati jika didapati bersalah, berkata mereka telah tertipu dengan diberitahu yang mereka akan mengambil bahagian dalam rancangan gurauan realiti TV dengan kamera tersembunyi.

Kedua-duanya merupakan suspek yang didakwa dalam pembunuhan Kim, walaupun pihak berkuasa Malaysia mengenal pasti tujuh lagi warga Korea Utara sebagai suspek awal dalam siasatan mereka.

Korea Selatan menyalahkan Pyongyang atas pembunuhan itu, dan penyiasat Malaysia berkata mereka sedang mencari empat lagi lelaki Korea Utara yang sempat terbang pulang dari Malaysia pada hari Kim dibunuh.

Tiga lagi warga Korea Utara yang disoal siasat oleh polis berhubung kes berkenaan, termasuk setiausaha kedua Kedutaan Pyongyang di Kuala Lumpur, telah dibebaskan dan dihantar pulang ke negara mereka.

Mereka dibenarkan pulang pada akhir Mac sebagai sebahagian daripada penyelesaian dalam krisis diplomatik dua hala selepas pembunuhan itu berlaku, di mana pihak Kuala Lumpur bersetuju untuk menyerahkan mayat Kim kepada Korea Utara sebagai pertukaran bagi sembilan rakyat Malaysia yang telah dicegah daripada meninggalkan negara komunis itu.

Pyongyang menafikan bahawa ia menjadi dalang di dalam  serangan tersebut, dengan mengatakan bahawa Korea Selatan dan Amerika Syarikat, telah melancarkan kempen untuk menghina kerajaan komunis itu.

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.