Mahkamah Malaysia Benarkan Najib Razak Ke Singapura Bersama Isteri

Warga tempatan dan aktivis anti-rasuah kecewa dengan keputusan itu dan terkejut tiada bantahan dari pihak pendakwa raya.
Noah Lee & Nisha David
2021.10.18
Kuala Lumpur
Mahkamah Malaysia Benarkan Najib Razak Ke Singapura Bersama Isteri Bekas Perdana Menteri Najib Razak tiba di Mahkamah Rayuan di Putrajaya, Malaysia, 5 April 2021.
[Reuters]

Mahkamah Rayuan Malaysia pada Isnin memberikan kebenaran kepada bekas Perdana Menteri Najib Razak, yang telah disabitkan dengan tujuh pertuduhan jenayah rasuah pada tahun lepas, untuk mendapatkan kembali pasport antarabangsanya bagi membolehkan beliau pergi ke Singapura bersama isterinya melawat anak perempuan yang dijangka melahirkan anak kedua tidak lama lagi, lapor agensi berita nasional Bernama.

Kebenaran itu, bagaimanapun mendapat kritikan daripada warga media sosial, aktivis anti-rasuah dan peguam terkemuka Malaysia yang mempersoal kenapa Najib yang telah disabitkan bersalah di mahkamah diberi pelepasan untuk meninggalkan negara.

Lebih mengejutkan apabila permohonan Najib mendapatkan dokumen perjalanan tidak ditentang oleh pasukan pendakwa raya yang didengar di hadapan Hakim Kamaludin Md Said yang mengetuai panel tiga hakim.

"Mahkamah mendapati ada alasan munasabah permohonan ini dibuat. Mahkamah membenarkan permohonan ini dan pasport akan dikembalikan," kata Hakim Kamaludin, seperti dipetik Bernama.

Disebabkan oleh kekangan akibat pandemik COVID-19, kehadiran secara fizikal di mahkamah telah dihadkan, termasuk wartawan.

"Mahkamah mengizinkan permohonan ini dan pasport akan dikembalikan," tambah hakim, mengenai keputusan sebulat suara yang dibuat berhubung kebenaran tersebut.

Pada Mei 2018, semasa kerajaan baharu pimpinan Mahathir Mohamad pada ketika itu telah melarang Najib dan isterinya keluar negara, di tengah-tengah siasatan peringkat antarabangsa melibatkan pengubahan wang haram dan rasuah berkaitan berbilion dolar yang didakwa diseleweng daripada dana negara 1Malaysia Development Berhad (1MDB), yang ditubuhkannya semasa menjadi perdana menteri.

Dua bulan selepas itu Najib diminta menyerahkan pasport diplomatiknya setelah beliau didakwa atas kesalahan jenayah pecah amanah dan penyalahgunaan kuasa berkaitan dengan 1MDB.

Pada Julai tahun lepas, Hakim Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, Nazlan Ghazali telah menjatuhkan hukuman penjara 12 tahun ke atas bekas perdana menteri itu serta mengenakan denda sebanyak RM210 juta (AS$49.3 juta) selepas mendapati beliau bersalah terhadap satu pertuduhan menyalahguna kuasa, tiga pertuduhan pecah amanah jenayah dan tiga pertuduhan pengubahan wang haram berhubung dakwaan bahawa beliau telah menerima secara haram RM42 juta (AS$9.67 juta) daripada SRC International Sdn Bhd, anak syarikat 1MDB.

Hukuman tersebut bagaimanapun telah ditangguhkan oleh Mahkamah Tinggi, bagi memberi peluang kepada Najib untuk merayu kes di mahkamah yang lebih tinggi. Malaysia mengamalkan sistem kehakiman 'two-tier', di mana sesuatu kes mahkamah boleh dibawa ke dua peringkat tinggi untuk rayuan.

Beliau juga kini sedang berhadapan dengan tindakan muflis yang sedang diambil keatasnya kerana didakwa gagal membayar tunggakan cukai berjumlah AS$411 juta.

Najib telah memfailkan permohonan untuk mendapatkan pasportnya pada Jumaat lepas, hari yang sama isteri beliau Rosmah Mansor mendapat kebenaran dari Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur untuk mendapatkan dokumennya untuk tujuan yang sama.

Anak perempuan Najib dan Rosmah -- Nooryana Najwa Najib, 33 -- dijangka melahirkan anak keduanya di republik itu kira-kira dua minggu lagi.

Rosmah yang sedang menghadapi perbicaraan jenayah berkaitan rasuah melibatkan projek panel solar sekolah di Sarawak, sebelum ini telah diminta menyerahkan pasport sebagai syarat jaminan selepas didakwa di mahkamah pada 2019.

Kebenaran diperolehi Najib itu menjadikan beliau individu ketiga yang mempunyai kes mahkamah berprofil tinggi dibenarkan mendapatkan kembali pasport antarabangsa buat sementara untuk melakukan perjalanan ke luar negara dalam tempoh seminggu.

Sebelum Rosmah dan Najib, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur serta Mahkamah Tinggi Shah Alam telah memberikan kebenaran serupa kepada bekas Timbalan Perdana Menteri Ahmad Zahid Hamidi pada Isnin lepas.

Ahmad Zahid yang juga adalah presiden parti Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu (UMNO) -- yang berdepan dengan 40 pertuduhan menerima rasuah di Mahkamah Tinggi Shah Alam dan 47 lagi pertuduhan pengubahan wang haram, pecah amanah dan rasuah di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur -- telah memohon untuk mendapatkan kebenaran mahkamah untuk mendapatkan pasportnya buat sementara bagi membolehkan beliau terbang ke Jerman bagi mendapatkan rawatan kesihatan.

Mahkamah memberi kebenaran kepada Najib mendapatkan pasportnya secara sementera bermula 20 Oktober hingga 22 November.

Ada risiko

Sementara itu, Muhammad Rafique, seorang peguam jenayah yang terkenal, mengatakan perbicaraan Rosmah dan Zahid masih berjalan, yang menjadikan kes mereka berbeza dengan jenayah Najib yang telah disabitkan.

"Risiko [Najib] melarikan diri, walaupun sedikit, masih ada,” kata Rafique kepada BenarNews.

Pelepasan sementara dokumen perjalanan dilakukan mengikut budi bicara mahkamah, kata peguam itu.

"Tetapi pejabat Peguam Negara tidak membantah meninggalkan lebih banyak yang ingin diketahui," katanya, merujuk kepada pihak pendakwaan.

“Persoalan yang kita semua harus tanya adalah mengapa pihak pendakwaan tidak membantah kepada permohonan seorang yang telah dijatuh hokum untuk meninggalkan negara. Kalau begini pendirian pihak pendakwaan harap rakyat biasa juga mendapat layanan serupa” tambahnya lagi.

Cynthia Gabriel dari Pusat Memerangi Rasuah dan Kronisma (C4) pula menyifatkan berita itu sebagai satu perkara yang tidak masuk akal.

"Seorang penjenayah yang disabitkan kesalahan di mahkamah dibenarkan untuk membuat perjalanan (ke luar negara)? Tetapi peminjam PTPTN tidak boleh keluar negara!

"Ini sesuatu yang tidak masuk akal? Dan mengapakah pihak pendakwaan tidak membuat bantahan?," soal beliau di Twitter.

Aktivis itu merujuk kepada Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional, dikenali dengan akronim PTPTN. Peminjam yang disenaraihitam kerana gagal membuat pembayaran pinjaman pelajaran mereka dengan dana kerajaan itu tidak dibenarkan keluar negara selagi tidak menjelaskan hutang mereka dengan PTPTN.

Seorang warganet mempersoalkan mengapa anak seorang menteri hendak melahirkan bayi di luar negara, dipercayai merujuk kepada Najib, dan membuat perbandingan dengan isteri Tengku Mahkota Johor, iaitu menantu kepada Sultan Johor, yang memilih untuk bersalin di hospital kerajaan di Johor.

"Isteri TMJ pun bersalin di Hospital Sultanah Aminah Johor Bahru. (Tapi) anak menteri hendak bersalin di Singapura," kata pengguna Twitter @RozyRazit dalam satu muatnaik baru-baru ini.

Kritikan tersebut telah menarik perhatian Najib yang kemudiannya telah membalas di ruangan komen tweet warganet itu.

Bekas Perdana Menteri itu menyatakan bahawa Nooryana telah menetap di Singapura sejak lebih dua tahun lalu kerana mengikuti suaminya seorang warga Kazakhstan yang menjalankan perniagaan di Singapura.

"Ini pun jadi isu? Anak perempuan saya sudah menetap di sana sejak 2-3 tahun lalu sebab mengikut suaminya yang menjalankan perniagaan di Singapura.

"Menantu saya warga Kazakhstan. Kalau dia berniaga di Malaysia, (nanti) kamu tuduh dia menggunakan kabel pula," kata Najib, merujuk kepada frasa yang biasa digunakan di Malaysia mengenai penggunaan pengaruh dan pertalian untuk tujuan peribadi.

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.