Bekas Menteri Termuda Malaysia Didakwa Pecah Amanah RM1.12 Juta

Syed Saddiq Syed Abdul Rahman mengaku tidak bersalah di hadapan hakim Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur Azura Ali.
Noah Lee & Nisha David
2021.07.22
Kuala Lumpur
Bekas Menteri Termuda Malaysia Didakwa Pecah Amanah RM1.12 Juta Syed Saddiq Abdul Rahman bercakap kepada pemberita selepas didakwa dengan dua pertuduhan pecah amanah di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur, 22 Julai, 2021.
[S. Mahfuz/BenarNews]

Bekas menteri termuda semasa era pentadbiran kerajaan Pakatan Harapan pada Jumaat mengaku tidak bersalah terhadap pertuduhan pecah amanah dan penyalahgunaan harta membabitkan wang berjumlah RM1.12 juta (AS$264,619) milik parti politik yang ditubuhkan secara bersama oleh Perdana Menteri Muhyiddin Yassin pada tahun 2018 dan 2020.

Syed Saddiq Syed Abdul Rahman, kini 29 tahun, pernah menjadi menteri termuda dalam sejarah Malaysia apabila dilantik sebagai Menteri Belia Dan Sukan lebih tiga tahun lepas didakwa atas dua pertuduhan melakukan pecah amanah dana milik Angkatan Bersatu Anak Muda (ARMADA) Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) dan salah guna wang kempen Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur.

Ahli Parlimen Muar dari Johor itu mengaku tidak bersalah di hadapan Hakim Azura Ali dan memohon untuk dibicarakan dengan Hakim berkenaan kemudiannya menetapkan ikat jamin sebanyak RM330,000 (AS$77,968) dengan syarat tambahan perlu menyerahkan pasport antarabangsanya pada mahkamah dan perlu melaporkan diri di pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia sebulan sekali.

Menurut kertas pertuduhan pertama "Bahawa kamu, pada 6 Mac 2020, di CIMB Bank Berhad di Menara CIMB KL Sentral, Kuala Lumpur sebagai Ketua ARMADA Malaysia dan di dalam kapasiti tersebut kamu telah diamanahkan dengan penguasaan keatas dana ARMADA Malaysia, telah melakukan pecah amanah jenayah ke atas dana tersebut, di mana kamu dengan curangnya telah membuat pengeluaran tunai berjumlah RM1 juta melalui cek CIMB Bank Berhad bernombor 000108 tanpa mendapat kebenaran daripada Majlis Pimpinan Tertinggi, Parti Pribumi Bersatu Malaysia dan dengan itu kamu telah melakukan suatu kesalahan di bawah seksyen 405 kanun keseksaan yang boleh dihukum di bawah seksyen 406 kanun yang sama,"

Bagi pertuduhan kedua, Syed Saddiq yang kini menerajui sebuah gerakan politik baharu Parti Ikatan Demokratik Malaysia, atau MUDA telah didakwa menyalahgunakan harta iaitu, wang sumbangan untuk kempen PRU14 sebanyak RM120,000 yang dikutip melalui akaun Maybank Islamic Berhad milik Armada Bumi Bersatu Enterprise.

Kesalahan tersebut dilakukan di Maybank Islamic Berhad, Jalan Pandan 3/6A, Taman Pandan Jaya di antara 8 April sehingga 21 April 2018 dan tertuduh didakwa mengikut Seksyen 403 Kanun Keseksaan.

Ahli politik itu berdepan dengan hukuman penjara tidak lebih 10 tahun dan sebatan sekiranya didapati bersalah bagi pertuduhan pertama manakala pertuduhan kedua di bawah Seksyen 403 Kanun Keseksaan membawa hukuman penjara minimum enam bulan tetapi tidak melebihi lima tahun, dan sebatan, serta boleh juga dikenakan denda.

Syed Saddiq diwakili peguam Gobind Singh Deo dan Ambiga Sreenevasan manakala pendakwaan dikendalikan Pengarah Kanan Bahagian Perundangan dan Pendakwaan SPRM, Faridz Gohim Abdullah dan Timbalan Pendakwa Raya SPRM, Muhammad Asraf Mohamed Tahir.

Anggota Parlimen Muar itu dilaporkan telah membayar RM80,000 (AS$18,901) sebagai sebahagian wang jaminan di mahkamah pada hari yang sama.

Motif politik

Pendakwaan terhadap Syed Saddiq itu dibuat hanya beberapa hari sebelum Parlimen Malaysia dibuka semula pada 26 Julai ini, selepas ia ditutup sejak kerajaan Perikatan Nasional pimpinan Muhyiddin mengisytiharkan darurat pada 11 Januari lepas.

Dalam satu kenyataan yang dibuat pada malam Khamis, ahli politik itu yang dipecat daripada BERSATU oleh Muhyiddin kerana tidak sehaluan pada tahun lalu mendakwa bahawa pendakwaan terhadapnya adalah bermotifkan politik dan menegaskan akan melawan kes di mahkamah.

Beliau mendakwa yang pendakwaan terhadapnya itu dibuat kerana enggan menyertai parti Perikatan Nasional, yang sedang berada dalam keadaan goyah susulan penarikan semula sokongan parti Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu (UMNO) terhadap kepimpinan Muhyiddin baru-baru ini.

"Berani kerana benar... Detik-detik seperti ini mengingatkan kembali sebab mengapa saya menyertai politik...Kebenaran akan sentiasa menang.

"Saya lebih rela masuk mahkamah dari masuk Perikatan Nasional. Bring it on!," kata Syed Saddiq dalam satu muatnaik di akaun Facebooknya.

"Jika mereka ingat bahawa ancaman ini akan melemahkan semangat saya untuk membawa perubahan kepada Malaysia, mereka silap. Ini hanya akan menguatkan lagi azam saya. Saya percaya Malaysia perlu dibaik pulih. Lagi ditekan, lagi saya lawan," tambah beliau.

Susulan daripada pendakwaan tersebut, Syed Saddiq yang menafikan segala tuduhan terhadapnya telah membuat permohonan terbuka kepada orang ramai untuk meminta sumbangan mereka bagi membiayai wang ikat jamin serta kos guaman.

Untuk rekod, Syed Saddiq adalah antara pengasas BERSATU bersama Muhyiddin dan bekas Perdana Menteri Mahathir Mohamad, serta beberapa ahli politik lain. Parti itu diasaskan pada tahun 2016 bagi melawan kerajaan Barisan Nasional pimpinan presiden UMNO ketika itu, Najib Razak.

Bersama-sama dengan tiga lagi parti pembangkang iaitu Parti Keadilan Rakyat, Parti Tindakan Demokratik, dan Parti Amanah Negara, BERSATU membentuk gabungan politik dinamakan Pakatan Harapan yang kemudiannya memenangi Pilihan Raya Umum 14 yang diadakan pada 9 Mei 2018, dan menyaksikan Mahathir dilantik sebagai Perdana Menteri Malaysia ketujuh.

Bagaimanapun, kerajaan Pakatan Harapan jatuh pada Februari 2020 apabila berlakunya krisis politik dan peralihan kuasa dengan Muhyiddin selaku presiden BERSATU membawa keluar parti itu daripada gabungan tersebut dan membentuk jajaran politik baharu bersama UMNO dan beberapa parti politik lain.

Beliau kemudiannya dilantik menjadi Perdana Menteri dan menamakan jajaran politik baharu itu sebagai Perikatan Nasional pada Mac.

Tindakan Muhyiddin itu telah membawa perpecahan dalaman kepada BERSATU, dan membawa kepada pemecatan Mahathir selaku pengerusi, Syed Saddiq, serta beberapa lagi pemimpin parti itu yang tidak bersetuju dengan beliau, dengan Mahathir menubuhkan parti PEJUANG dan Syed Saddiq dengan MUDA.

Sementara itu, beberapa ahli politik telah mengecam kerajaan Muhyiddin atas pendakwaan ke atas Syed Saddiq termasuk Ketua Pembangkang Anwar Ibrahim yang menyifatkan tindakan itu sebagai "intimidasi politik" dan "pendakwaan terpilih".

"Saya telah dimaklumkan oleh sebilangan Ahli Parlimen bahawa pimpinan Perikatan Nasional telah menggunakan rasuah dan intimidasi bagi memaksa mereka memberikan sokongan terhadap kerajaan Perikatan Nasional yang gagal, sebagai timbal balas untuk jawatan atau bagi mengelakkan daripada menghadapi pertuduhan di mahkamah.

"Dan disebabkan oleh corak salahguna kuasa ini, saya mahu mempersoalkan mengenai masa pendakwaan dibuat terhadap Syed Saddiq ini, dan saya mahu supaya siasatan ke atas apa-apa dakwaan salahlaku dibuat dengan telus dan profesional," kata Anwar dalam satu kenyataan pada Khamis.

Presiden Parti Keadilan Rakyat itu juga mendesak supaya Muhyiddin dan Perikatan Nasional menghentikan salah guna kuasa dan "menghadapi realiti bahawa sokongan kepada mereka di Parlimen telah merosot" dengan cara terhormat.

Walaubagaimanapun, seorang menteri dari parti BERSATU menafikan tuduhan bahawa pendakwaan ke atas Syed Saddiq bersifat politik.

Mohd Redzuan Md Yusof, Menteri di Jabatan Perdana Menteri yang memegang portfolio tugas khas, menyifatkan tohmahan mengenai perkara itu hanyalah "permainan mereka yang tidak mahu bersama dengan kerajaan".

"Pendakwaan yang dihadapi Syed Saddiq bukan bersifat politik. Bila kita menjadi pemimpin politik, kita kena berjaga-jaga.

"Tak ada perkara seperti mencampurkan politik dengan undang-undang. Dia kena jawab di mahkamah. Kalau dia kata dia boleh buktikan apa yang dia lakukan bukan satu kesalahan," tambah Redzuan.

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.