Lembaga Penasihat SPRM Harapkan Dapat Sokongan Terbuka Majlis Raja-Raja
2017.03.28
Kuala Lumpur

Lembaga Penasihat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) pada Selasa telah menggesa Majlis Raja-Raja untuk menyatakan sokongan secara terbuka terhadap langkah-langkah menentang rasuah oleh suruhanjaya itu di seluruh negara.
Pada satu sidang media, pengerusi lembaga tersebut, Tunku Aziz Tunku Ibrahim berkata pencegahan rasuah adalah "perjuangan semua pihak" dan ia sepatutnya ditentangi oleh semua rakyat Malaysia termasuk Majlis Raja-Raja.
"Saya benar-benar berharap bahawa Majlis Raja-Raja akan secara terbuka, menyatakan sokongan kepada usaha oleh SPRM," katanya kepada wartawan pada Selasa.
Kenyataan itu timbul berikutan titah Yang Di-Pertuan Agong, Sultan Muhammad V pada pembukaan sidang Parlimen baru-baru ini, yang menegur penjawat awam yang terbabit dengan rasuah serta mereka yang membocorkan maklumat sulit.
Tunku Aziz juga memaklumkan bahawa Sultan Perak, Sultan Nazrin Shah adalah pemerintah terawal yang menyuarakan kebimbangan baginda terhadap gejala rasuah yang berleluasa di negara itu.
Sultan Nazrin pada Disember lepas bertitah yang rasuah adalah antara punca kejatuhan beberapa tamadun Islam yang hebat, antaranya Bani Umaiyyah dan Bani Abbas.
Tunku Aziz menambah, dengan sokongan majlis itu, ia akan mendorong SPRM untuk berusaha lebih kuat dalam usahanya menentang gejala rasuah itu.
Terbaru, Sultan Johor Sultan Ibrahim Sultan Iskandar dilaporkan berkata, baginda ditawarkan RM2 juta oleh seorang individu yang berlaku sebagai ejen yang ingin membeli pangkat kenamaan 'Tan Sri' di negeri itu.
Ketua Pesuruhjaya SPRM Dzulkifli Ahmad pada Isnin telah menghadap Sultan Ibrahim berkenaan pendedahan baginda itu namun tiada pendedahan kepada media telah dibuat.
Tunku Aziz ketika diminta mengulas lanjut bagaimanapun enggan memberi sebarang komen terhadap pendedahan Sultan Johor itu,
"Saya akan biarkan SPRM untuk mengendalikan perkara tersebut,"katanya.
Namun, beliau berkata pendedahan Sultan Ibrahim adalah bukti bahawa bukan rakyat sahaja yang menentang rasuah, tetapi juga pemimpin negeri.
Dalam sebuah kenyataan akhbar selepas pertemuan itu, SPRM berkata mereka telah mengenalpasti individu yang dimaksudkan oleh Sultan Johor itu dan berjanji akan menyiasat perkara tersebut secara telus dan berjanji untuk mengambil tindakan sewajarnya terhadap pelaku.
Sementara itu, Tunku Aziz juga berkata SPRM mencadangkan proses penapisan yang lebih ketat dalam pelantikan penjawat awam kanan dan idea itu telah dikemukakan suruhanjaya berkenaan semasa perjumpaan dengan Ketua Setiausaha Negara Ali Hamsa baru-baru ini.
Menurut Tunku Aziz lagi, agensi-agensi yang mempunyai kuasa menguatkuasakan undang-undang adalah lebih terdedah kepada gejala rasuah seperti Jabatan Imigresen, Jabatan Kastam dan polis
'Hukuman tidak setimpal dengan kesalahan'
Dalam pada itu, seorang lagi ahli lembaga penasihat SPRM, bekas Hakim Mahkamah Rayuan, Mohd Noor Abdullah berkata, penghakiman pada masa kini tidak mengenakan tindakan keras kepada pesalah rasuah.
Beliau memberi contoh, jumlah denda yang dikenakan terhadap pesalah rasuah yang jauh lebih rendah daripada jumlah rasuah yang terlibat dalam sesuatu kes itu, dengan tidak dikenakan hukuman penjara.
"Kes rasuah melibatkan jumlah wang yang besar 'dihukum' dengan denda yang kecil. Hukuman sebegitu tidak setimpal dengan kesalahan yang dilakukan. Pesalah patut dipenjarakan," kata beliau dalam sidang media sama.
Beliau kemudian mencadangkan pesalah rasuah dijatuhi hukuman paling berat, iaitu pemenjaraan untuk tempoh yang panjang dan denda yang tinggi, dibandingkan dengan amalan sekarang dimana hukuman bermula dari minimum ke maksimum.
Malaysia pada Januari telah dilaporkan turun ke nombor 55 daripada 54 dan mendapat skor 49 daripada 100 di dalam Indeks Persepsi Rasuah (CPI) 2016 oleh Transparency International-Malaysia yang membuat pemerhatian tahunan terhadap 176 buah negara.
Walaubagaimanapun, agensi pencegahan rasuah di Malaysia baru-baru ini telah mendapat reputasi yang lebih baik di bawah penerajuan Ketua Pesuruhjaya baru Dzulkifli Ahmad.
Beberapa penangkapan dan pendakwaan individu berprofil tinggi telah dibuat.
Semasa awal pelantikannya, Dzulkifli berkata fokus utamanya selepas menerajui SPRM adalah untuk memastikan sektor perkhidmatan awam bersih daripada gejala rasuah penyelewengan dan salah guna kuasa.
“Kita tidak mahu perkhidmatan awam dicemari dengan perbuatan rasuah dan ada pegawai kanan yang dilihat menjalani kehidupan mewah melebihi pendapatannya serta mengumpul harta melalui perbuatan jenayah rasuah,” katanya.